Wednesday, December 31, 2008

GAZA TERUS BERMANDI DARAH



Baru-baru inilah ungkapan yang boleh kita simpulkan ialah tangis, darah dan penuh kepiluan menyelubungi warga Palestin apabila satu lagi siri kekejaman pihak Israel membedil bumi Gaza yang melibatkan seramai 310 orang terbunuh dan turut mencederakan 1400 orang lagi mangsa yang tidak berdosa. Ini merupakan serangan yang bukan menghairankan warga Palestin khasnya dan dunia amnya kerana sebelum ini telah ramai yang menjadi mangsa kerakusan dan kekejaman pihak Israel. Segala rayuan dan perasaan peri kemanusiaan sememangnya tiada dalam kamus hidup mereka selagi mana matlamat menakluki Palestin tidak tercapai.

Kita melihat beberapa negara-negara Arab, Malaysia dan lain-lain lagi bingkas bangun dari lamunan menunjukkan respon mengecam tindakan kekejaman Israel itu. Yang menjadi persoalan yang bermain di minda kita semua sebagai umat Islam bilakah perdamaian akan berlaku. Siri kekejaman ini akan terus berlaku selagi mana kuasa besar barat iaitu Amerika Syarikat (US) menaungi atau menaja siri kerakusan Israel ini. Suara dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga tidak dihiraukan oleh mereka. Adakah kita ingin melihat satu perang besar lagi akan tercetus yang melibatkan orang Islam dan puak Yahudi laknatullah ini.


Respon Israel mengatakan tindakan mereka membalas serangan bom itu adalah kerana pihak pejuang HAMAS melepasakan atau menghantar beberapa serangan ke atas bumi Israel terlebih dahulu yang membuatkan mereka berasa marah dan terus menunjukkan taring membalas dengan terus mengorbankan mangsa yang tidak berdosa. Inilah kata-kata atau jawapan telah sekian lama digunakan oleh Israel apabila para pejuang HAMAS bertindak balas.

Akhirnya, persoalan dan kekejaman ini sampai bila akan menemui noktahnya dengan perdamaian antara kedua-dua belah pihak. Tetapi harus diingat oleh kita semua harapan sinar baru untuk melihat kekejaman Israel ini berkurangan menyerang bumi Palestin dengan menanti kemunculan Presiden baru AS iaitu Barrack Obama yang bakal menggantikan diktator laknatullah, George W. Bush. Kita sama-sama mengharapkan laungan yang dimainkan oleh Obama yang akan cuba mengendurkan taring AS yang sebelum ini hanya memekakkan telinga untuk menjadi kuasa besar dunia.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam sama-sama berdoa agar bumi Palestin akan diwarnai lembaran mentari baru yang ceria kerana semua warga Palestin turut sama mengidamkan bumi merdeka seperti mana negara lain yang bebas merdeka dan berdaulat.

SALAM PERJUANGAN BUAT SEMUA...TAKBIR!!!

Nukilan http://fadziljamal.blogspot.com

Tuesday, December 30, 2008

SALAM MAAL HIJRAH 1430



Salam hijrah kepada anda yang budiman.
Gerbang sinar baru telah terbuka tirainya...Ayuh muslimin muslimat!!!
Bangkitlah dan sematkan tekad serta azam yang baru untuk berhijrah menjadi seorang muslim sejati. Buang segala sifat-sifat mazmumah kehinaan diri, serlahkan akhlak terpuji menjadi contoh umat akhir zaman.

Kepada rakan-rakan mahasiswa khususnya Universiti Malaya, marilah kita sama-sama bulatkan tekad menjadi seorang intelektual yang boleh menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
Ingatlah kita golongan harapan sinar baru yang mampu merubah zaman.

Semoga tahun baru hijrah ini menjadi titik tolak perubahan kepada diri kita sendiri dan akan memberi impak kepada orang lain.


SALAM HARAPAN & PERUBAHAN!!!

WE LOVE UM



Wednesday, November 12, 2008

KETIKA CINTA BERTASBIH


'SEMUA DIJEMPUT HADIR'

'TERUS INTIM DENGAN BUKU, BERCINTA DENGAN ILMU DAN KEKAL MENCINTAI PERJUANGAN MENEGAKKAN KALIMATULLAH'

Sunday, November 9, 2008

MU Pulang Hampa...


Arsenal membuktikan mereka masih berada di landasan untuk mencabar kejuaraan liga selepas menundukkan Manchester United 2-1 di Stadium Emirates malam tadi walaupun turun tanpa dua tonggak utamanya iaitu Adebayor dan Van Persie.

Pemain sayap Perancis, Samir Nasri menjadi wira Arsenal selepas menjaringkan gol pada kedua-dua babak perlawanan untuk membolehkan Arsenal melonjak ke tangga ketiga liga.

Nasri menjaringkan gol pertama pada minit ke-22 apabila bola rembatan derasnya daripada luar kotak penalti terbias di kaki Gary Neville sebelum menerjah masuk menewaskan Van de Sar. Gol kedua Arsenal hadir pada minit ke-48 apabila Nasri berada di posisi terbaik untuk menyudahkan umpanan Fabregas.

Pemain muda Brazil, Rafael da Silva kemudian mengurangkan defisit gol pada minit terakhir permainan namun semuanya sudah terlambat yang menyaksikan juara bertahan itu tewas di tangan Arsenal.

http://fadziljamal.blogspot.com

Monday, November 3, 2008

TIP-TIP PELAJAR CEMERLANG...


  • Jadikan setiap hari adalah hari terbaik dan sepanjang kehidupan anda akan cemerlang.
  • Orang biasa yang melakukan tindakan luar biasa menghasilkan prestasi luar biasa.
  • Orang yang penyayang akan dikelilingi oleh ramai orang yang sayang kepadanya.
  • Orang yang pembenci akan dikelilingi oleh orang yang benci kepadanya.
  • Sayangi, bantu dan doakan semua kawan-kawan anda bagi mendapat keberkatan dalam pelajaran.
  • Maafkan semua orang sebelum tidur setiap malam bagi mencuci hati dan mencerdaskan minda.
  • Pelajar terbilang sentiasa taat perintah Tuhan. Dirikanlah sembahyang lima waktu (bagi orang Islam)

Bercintalah dengan pelajaran,
Bertunang dengan mengulangkaji,
Berkahwinlah dengan pepriksaan,
Dan berbulan madu dengan kejayaan.

Oleh : Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah

Sunday, November 2, 2008

Rasa Izzah atau Mulia dengan Islam...

"Sesunggunya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam"
Ali Imran : 19

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf (kebaikan), mencegah kemungkaran (buruk dan keji) serta kamu beriman kepada Allah"
Ali Imran : 110

Ke dua-dua ayat di atas jelas membuktikan Islam merupakan agama yang terbaik untuk umat manusia. Umat Islam perlu merasa izzah atau mulia dengan Islam. Namun begitu menjadi persoalan kepada kita adakah umat Islam pada hari ini merasakan diri mereka merupakan satu komponen umat Islam yang melengkapi antara satu sama lain yang membentuk umat yang terbaik seperti mana ayat di rakamkan oleh Allah dalam Surah Ali imran: 110 di atas.

Di dalam tafsir pimpinan Ar-Rahman dalam Surah Ali Imran : 11o pada nota kakinya ke 124 dan muka surat 148 menyebut keistimewaan dan kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada umat Muhammad s.a.w selagi mereka tetap setia menjalankan tiga dasar utama iaitu menyuruh berbuat kebaikan, melarang daripada kejahatan(keburukan) serta beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Oleh itu, umat Islam perlu kembali berpegang teguh dengan ajaran Islam dan bertanggungjawab menjalankan tiga dasar utama yang menjadi kayu ukur sebagai umat terbaik dikalangan umat manusia seperti mana yang dinyatakan dia atas.


"Kita adalah golongan yang dimuliakan Alah dengan Islam. Apabila kita mencai kemuliaan dengan yang lain daripada Islam, Allah timpakan kehinaan ke atas kita"
Saidina Umar al-Khattab






Saturday, October 25, 2008

Pastikan Julang Trofi





Malaysia akan bertemu Vietnam pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil jam 8.45 malam ini. Persembahan bertenaga dan aksi menarik sudah pasti di tagih oleh ribuan penyokong Malaysia yang akan membanjiri stadium malam ini. Misi untuk mempertahankan kejuaraan dua kali berturut-turut juga dicari oleh skuad negara. Namun sejauh manakah mereka bersedia? Sama-samalah kita nantikan debaran pertembungan malam ini.

Belasah je Vietnam tu =)
Selamat berjuang skuad negara!

Thursday, October 23, 2008

Musnahkan Myamnar...



Debaran malam ini kian terasa. Mampukah skuad negara akan meneruskan kemaraan ke final? Semuanya akan terjawab apabila Malaysia bertemu Myanmar pada perlawanan peringkat separuh akhir Pestabola Merdeka yang berlangsung pada pukul 8.45 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kita mengharapkan momentum kemenangan dan persembahan bertenaga skuad negara sebelum ini akan diteruskan pada malam ini.

Perlu di ingat pasukan Myammar juga merupakan antara pasukan terkuat di Asia Tenggara dan sudah pasti skuad negara tidak memandang tendah dan bermain sambil lewa pada pertembungan malam ini. Sudah pasti Safee Sali akan menjadi taruhan untuk mencipta jaringan sambil di sokong trio penggempur iaitu Zaquan Adha, Indra Putra dan Hairuddin Omar serta bahagian tengah yang diketuai Shukor Adan. Kita berharap skuad negara akan ke final dan yang pasti persembahan yang menarik pada malam ini akan menjanjikan sokongan padu para penyokong Malaysia.

Selamat Berjuang skuad negara!
Majulah sukan untuk negara =)

Tuesday, October 21, 2008

Malaysia Belasah Afghanistan


Pasukan Malaysia terus cemerlang di dalam Kejohanan Pestabola Merdeka apabila menewaskan Afghanistan 6-0 sekaligus meletakkan Malaysia selaku juara kumpulan. Ternyata persembahan skuad negara begitu bertenaga apabila menang kesemua perlawanan dengan jaringan yang selesa dan mudah.

Malaysia menempah tiket ke separuh akhir dan akan bertemu pasukan Myanmar. Kita mengharapkan skuad negara akan meneruskan kemaraan ke final untuk mempertahankan kejuaraan. Kita ingin lihat skuad negara terus berada di puncak untuk memberi saingan kepada pasukan-pasukan yang lain terutamanya di Asia.

Selamat berjuang kepada skuad negara!

Wednesday, October 15, 2008

PESTA TANGLUNG UM MERIAH


Pro-M turut memeriahkan suasana Pesta Tanglung di DTC



Kekuatan Pro-M


Pro-M untuk semua =)



Suasana ceria kaum Cina bersama Pro-M

Wednesday, August 27, 2008

Anwar Menang


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail meraikan kejayaannya memenangi piilhan raya kecil P44 Permatang Pauh di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini, malam tadi. Anwar menang dengan majoriti lebih besar berbanding Dr Wan Azizah sebelum ini dengan majoriti undi sebanyak 15,671. Kemenangan ini amat bermakna bagi beliau untuk merintis jalan ke Putrajaya seterusnya membawa perubahan baru kepada Malaysia.
Tahniah Anwar Ibrahim !!!

Berikut keputusan penuh Pilihan raya kecil P44 Permatang Pauh:-

1) Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) : 31,195 undi
2) Arif Shah Omar Shah (BN) : 15,524 undi
3) Hanafi Mamat (AKIM) : 92 undi

Makluman

Kepada semua mahasiswa,
Anda dijemput untuk menghadiri Dialog AUKU

Tarikh: 29/8/08
Tempat: UIA Gombak

Ahli Panel:

Dato Saifudin (BN)
YB Yusmadi (PKR)
YB Salahudin (PAS)

Ajak kawan2 lain ke dialog ini.Semoga hak mahasiswa terbela..
Butiran lanjut di http://momentumuiam.blogspot.com/

Student Power!

Monday, August 4, 2008

FESKUM Kembali Lagi...


Festival Konvokesyen Universiti Malaya (FESKUM '08) kembali lagi menemui warga kampus UM dan masayarakat luar. Pembukaan FESKUM '08 kali ini di adakan pada 4/8/08 ( Isnin ) di Dewan Tunku Canselor (DTC) dan program ini berterusan sehingga 9/8/08.

Program ini menjanjikan aktiviti atau pengisian yang menarik antaranya ialah jualan gerai-gerai makanan, pameran agensi-agensi, syarikat-syarikat swasta dan sebagainya. Semua warga UM dan orang ramai sudah pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk merasai kehangatan program terbesar universiti ini.

Apa yang diharapkan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung akan mendapat manfaat dari program yang dianjurkan ini. Bagi pelajar yang bergraduasi pada sesi kali ini diucapkan setinggi-tingi tahniah dan syabas kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Semoga anda semua berbakti kepada ummah, bangsa dan negara.

Sala Perjuangan Mahasiswa!!!

Thursday, July 31, 2008

Pertembungan Malaysia-Chelsea menarik


Pertembungan Malaysia menentang Chelsea berakhir dengan keputusan 2-0 berpihak kepada kelab terbaik EPL ( Chelsea ). Pasukan Malaysia membariskan pemain berpengalaman antaranya ialah Mohd Hairuddin Omar, Norhafiz Zamani Misbah, Hardi Jaafar, Safee Sali dan ramai lagi. Ternyata pasukan Malaysia bukan tandingan kelab gergasi EPL itu dengan membariskan pemain bertaraf bintang seperti Nicholas Anelka, Ashley Cole, Deco, Andriy Shevchenko dan ramai lagi.

Walaupun pemain Malaysia cuba 'membelah' pertahanan Chelsea namun jentera serangan Malaysia yang diketuai Safee Sali gagal memecah kebuntuan. Para penyokong yang hadir amat berpuas hati dengan persembahan para pemain Malaysia yang berjuang bersungguh-sungguh untuk memastikan Malaysia tidak terus aib dipentas bola sepak negara.

Kita mengakui Malaysia bukan tandingan Chelsea namun jika diukur dengan persembahan yang mereka tunjukkan telah terbukti Malaysia mempunyai harapan yang cerah untuk berjaya pada masa akan datang.
Malaysia Boleh!!!

Mohd Fadzil Bin Jamal
http://fadziljamal.blogspot.com


Wednesday, July 16, 2008

"PMIUM terus prihatin"



Mahasiswa terus menabur jasa dan memberi khidmat kepada masyarakat dengan menghulurkan bantuan dan sokongan dalam pelbagai aspek. Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berasa terpanggil apabila seramai 20 orang mahasiswa telah turun padang melihat dan menyelami masalah mangsa kebakaran kawasan setinggan Kerinchi yang kini ditempatkan di dewan Stadium Hoki Kuala Lumpur baru-baru ini.

Suasana sedih bercampur gembira apabila melihat riak wajah mangsa apabila sekumpulan mahasiswa datang memberikan bantuan. Beberapa pihak telah tampil memberikan bantuan kepada mangsa seperti Pusat Pungutan Zakat MAIWP. Selain itu, mahasiswa dari Maa’ruf Club Universiti Islam Antarabangsa (UIA) turut menghulurkan bantuan.

Antara barangan yang disumbangkan oleh PMIUM dan Maa’ruf Club ialah beras dan gula. Diharap bantuan yang tidak seberapa itu sekurang-kurangnya dapat mengubati duka semua mangsa yang terlibat.

Menurut beberapa mangsa punca kejadian masih tidak dapat diketahui kerana kejadian berlaku begitu pantas sekali. Semua barang-barang milik mangsa tidak berjaya diselamatkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. Kita berharap pihak berwajib prihatin terhadap semua mangsa yang terlibat dan memastikan mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa.



Mohd Fadzil Bin Jamal
http://fadziljamal.blogspot.com

Sunday, July 13, 2008

Tawaran palsu menjejaskan imej UM

Terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyamar sebagai kakitangan UM sambil menawarkan tempat untuk menjadi pelajar dengan syarat mereka membayar RM500 hingga RN2000 seorang. Perbuatan ini amat dikesali apabila terdapat mangsa yang telah ditipu dan terpedaya dengan taktik licik sindiket ini.

Pihak universiti amat menyesali dengan perbuatan sindiket ini terutama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof. Datuk Dr. Mohd Amin mendedahkan isu ini sejak dua hari lalu. Orang ramai yang telah menjadi mangsa sindiket ini telah pun membuat laporan polis dan diharap hasil siasatan yang positif dihasilkan.

Menurut Prof. Datuk Dr. Mohd Amin pihak universiti tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menjadi agen menawarkan tempat untuk pelajar kerana semua urusan penempatan pelajar universiti diuruskan oleh Unit Pusat Universiti (UPU). Beliau juga menyesali perbuatan terkutuk ini kerana akan mencemarkan imej dan reputasi UM.

Akhirnya kita berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan perbuatan seperti ini lagi dan mengambil pengajaran terhadap apa yang telah berlaku.

Pak Lah undur Jun 2010

Gambar : Pak Lah bersama Dato' Seri Najib Tun Razak di PWTC.


Monday, July 7, 2008

Empat IPTA tumpu graduan MA & PHD

Isu pendidikan tinggi menjadi perhatian baru-baru ini dengan pengumuman 4 buah IPTA menumpukan graduan MA & PHD pada sesi pengajian baru 2008/2009. Universiti yang dimaksudkan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Pengumuman dibuat kerana empat buah universiti ini ingin menumpukan lebih banyak penyelidikan menjelang tahun 2020 dan juga penerbitan ilmiah seperti jurnal, artikel, tesis dan sebagainya.

Selain itu, purata kemasukan pelajar-pelajar baru dalam ijazah sarjana muda sama jumlahnya dengan para pelajar MA & PHD iaitu situasi 50/50. Dalam waktu yang sama UiTM telah diarah oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengambil 200000 pelajar baru sesi 2008/2009 bagi memastikan para pelajar ijazah sarjana muda mendapat tempat untuk meneruskan pengajian mereka.

Friday, July 4, 2008

PERMULAAN YANG BAIK

Baru-baru ini, semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negara ini telah menerima kemasukan pelajar-pelajar baru yang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda. Keceriaan sudah pasti tampak terserlah pada raut wajah ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke menara gading yang juga merupakan gedung ilmu menghasilkan ’produk’ berguna. Pihak pentadbiran universiti pula sibuk dengan urusan menyambut para pelajar dan tetamu yang sudah pasti datang dengan latarbelakang keluarga yang berbeza.

Seperti yang kita sedia maklum, acara yang wajib dilakukan kepada mahasiswa baru adalah Minggu Haluan Siswa (MHS).yang menjadi tapak permulaan kepada mereka untuk mengenali suasana dan realiti alam kampus yang penuh dengan onak dan cabaran.
Sudah pasti di medan ini adalah yang paling sesuai untuk membentuk mahasiswa yang intelek dan juga merealisasikan misi universiti untuk berjaya kelak.

Saya tertarik untuk berkongsi maklumat kepada khalayak pembaca tentang situasi Minggu Haluan Siswa (MHS) di Universiti Malaya yang kini telah berubah wajah. Pada sesi kali ini, saranan dari Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang ingin melihat MHS pada kali ini, lebih intelek dan berilmiah telah disambut baik oleh Naib Canselor UM iaitu Dato’ Rafiah Salim.

Saya difahamkan ternyata mahasiswa baru pada sesi kali ini berpuas hati dengan pengurusan pembantu mahasiswa (PM) kolej kediaman, prihatin dan mengambil berat terhadap aktiviti kerohanaian seperti solat fardhu lima waktu serta tidur tidak lewat malam seperti yang berlaku sebelum ini. Pertandingan cheers dan supp di antara kolej kediaman juga tidak dipertandingkan. Aktiviti stupid debate yang menjadi isu panas yang mencemari MHS yang lepas juga tidak diadakan pada sesi kali ini.

Saya amat kagum dengan perubahan ini. Ternyata, pihak universiti amat prihatin dengan isu-isu yang sebelum ini telah mencemarkan nama baik Univesiti Malaya sebagai pusat keilmuan yang ulung. Justeru, permulaan yang baik ini harap diteruskan pada sesi akan datang untuk memastikan mahasiswa yang bergraduasi dari Universiti Malaya mempunyai taraf keintelektualan yang tinggi seterusnya sedia memberi khidmat untuk masyarakat dalam apa jua bidang.

Tuesday, June 10, 2008

SALAM PERJUANGAN....

Kepada sahabat2 SMPI 07/08 yg dikasihi....


Pendaftaran subjek untuk semester hdpn bagi pelajar SPET sesi kemasukan 2007/2008 bermula pada

23hb-28hb Jun 2008


Masa: 9pg (23 Jun) - 11.59mlm (28 Jun)


Harap maklum..Sebarkan kpd sahabat2 kita yg lain..

Cadangan subjek untuk semester hdpn boleh dirujuk di blog hafiz ilyas iaitu http://hafizilyas.blogspot.com


Sebarang masalah hubungi ana di talian 013-6299293...

Thursday, April 17, 2008

LELAKI AKHIR ZAMAN...

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Payah untuk kutemui
Yang benar-benar sibuk dengan urusan baiki diri
Yang ada kini hanya
Sibuk dengan urusan mengumpul dunia
Walau diketahui dunia ini hanya penuh tipu daya

Keberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Susah untuk kutemui
Yang benar-benar takut pada Ilahi
Sentiasa mendambakan kasih Ilahi
Yang ada hanya mengharapkan kasih insani
Yang melalaikan orang dan diri sendiri

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Sukar untuk kutemui
Ahli profesional yang bertaqwa
Yang benar-benar meletakkan Islam dijiwa
Menggunakan profesionnya sebagai matlamat keakhirat sana
Yang ada hanya ahli profesional yang lalai dan leka
Yang hidupnya lebih berat dari barat
Ibadah dan amal terasa amat berat

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Payah untuk kutemui
Yang sentiasa bergelumang dengan majlis ilmu yang bermanfaat
Yang sanggup bersusah dan penat
Dalam mengejar dan memahami ilmu yang berkat
Yang ada kini hanyalah berbangga dengan ijazah yang ada
Tapi ilmu fardhu ainnya kosong belaka

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Susah untuk kutemui
Yang suka berbincang tentang ilmu akhirat
Syahid yang sentiasa menjadi matlamat
Mensyiarkan Islam dan menjunjung syariat
Yang ada cuma menghidupkan sunnah barat
Dan melupakan kehidupan akhirat

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Sukar untuk kutemui
Yang sentiasa bermunajat dan berzikir
Sentiasa bertafakkur dan berfikir
Sunnah Rasulullah cuba dipahat dan diukir

Namun kutetap berfikir..
Adakah masih ada lagi
Lelaki diakhir zaman ini
Seperti yang kufikir..

Sunday, April 6, 2008

INSAN TERPILIH...

CATATAN PENULIS
SABTU (5 APRIL 2008)


Pesta Buku Antarabangsa KL 08 sekali lagi menemui khalayak pencinta ilmu dan bahasa. Saya bersama rafik saya Aiman (bukan nama sebenar) di anatara orang yang berkesempatan mengunjungi pesta buku ini yang dilangsungkan di PWTC. Setibanya kami disana tepat jam 2.30 petang, orang ramai telah pun membanjiri kawasan ini.
Apabila kami melangkah masuk ke dalam PWTC ini terasa kehangatan tempat tersebut yang menjadi kebanggaan parti 'UMNO' bermesyuarat dan bersua muka anatara satu sama lain. Kami terus melangkah mencari booth-booth menarik untuk dilawati. Terdapat pelbagai syarikat penerbitan buku yang menyertai pesta buku ini. Saya berasa kagum dengan kebanjiran pengunjung yang bukan sahaja datang dari kawasan terdekat malah pengunjung luar terutama murid-murid sekolah dari negeri-negeri lain. Ini membuktikan komited khalayak pembaca sangat menggalakkan dan semangat ini diharapkan terus menyala sampai ke penghujung pesta buku ini.
Kami terus berlegar di ruang bawah PWTC kemudian naik ke ruangan 3 dan 4 untuk melihat secara lebih dekat kehangata pesta buku pada kali ini. Setelah selesai 'tawaf' di PWTC ini, kami mencari booth sasaran iaitu PTS Publications kerana kami ingin melihat pelbagai jenis buku terutamanya novel 'Salju Sakinah' yang menjadi buruan khalayak pembaca pada pesta buku kali ini.
Akhirnya, kami menemui booth PTS Publications di Tun Razak Hall 2 no. 2071-2075. Pertemuan yang tidak dijangka berlaku apabila saya dipertemukan dengan penulis berpengalaman iaitu Abdul Latip Talib di booth PTS ini. Saya tidak melepaskan peluang berkongsi pengalaman beliau di dalam bidang penulisan sastera ini kerana saya mengetahui bukan mudah untuk menjadi seorang penulis yang berhadafkan dakwah kepada para pembaca. Beliau menyatakan sifat minat itu sangat penting dalam jiwa seorang penulis yang mahu berkecimpung dalam lapangan penulisan satera.
Beliau yang kini beralih angin menumpukan karya-karya berunsurkan tokoh-tokoh Islam dan sejarah seperti Khalid Memburu Syahid, Tariq-Menang ataupun syahid, Salahudin Penakluk Jerusalem, Si Bongkok Tanjung Puteri, Setelah Roboh Kota Melaka dan banyak lagi.Semoga usaha murni beliau dalam menghasilkan karya berunsurkan sejarah ini mendapat pertolongan dan keredhaan Allah s.w.t.
Akhir kalam, saya menyeru kepada para pembaca agar dapat meluangkan sedikit masa untuk mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa KL 2008 ini kerana aktiviti ini menjanjikan seribu satu kelainan dan banyak manfaat yang boleh kita kongsikan bersama teman-teman lain.
"Semoga kau terus intim dengan buku, bercinta dengan ilmu dan kekal mencintai perjuangan menegakkan kalimatullah".
Salam perjuangan dari saya...

MENARIK...

PESTA BUKU ANTARABANGSA KL 2008

TARIKH : 4-13 APRIL 2008

TEMPAT : PWTC

MASA : ISNIN-KHAMIS (10.00PAGI-7.00MALAM) ,
JUMAAT-AHAD (10.00PAGI-9.00MALAM)

PROMOSI

*Saudara Zaid Akhtar akan berada di Pesta Buku Antarabangsa ini pada hari Ahad (6 April 2008) sekitar Zuhur. Anda semua boleh menemui beliau di Booth PTS Publications (Tun Razak Hall 2: 2071-2075, 2080-2084).

PENANTIAN BERAKHIR...



Penantian selama ini berakhir apabila novel 'Salju Sakinah' berjaya diterbitkan dan kini telah pun berada di pasaran sejak dua minggu yang lepas. Novel ini merupakan hasil sentuhan seorang penulis muda yang semakin matang dalam dunia penulisan sastera. Orang yang dimaksudkan ialah Zaid Akhtar. Novel ini mempunyai kekuatannya tersendiri dengan menampilkan naratif yang menarik dan gaya bahasa yang indah seterusnya mampu membuatkan para pembaca terkesan apabila membacanya. Novel ini juga sarat dengan nasihat dan pengajaran yang boleh diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Semoga usaha murni penulis dalam menyampaikan mesej dakwah melalui bidang penulisan mendapat rahmat dan pertolongan daripada Allah s.w.t. Novel ini boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa KL 2008 bertempat di PWTC atau di kedai-kedai buku berhampiran anda.

Komen Pembaca:

1) Novel Salju Sakinah sangat seronok dibaca kerana jalan ceritanya yang menarik, gaya bahasa yang santai tetapi sarat dengan pengajaran dan keinsafan. Apatah lagi, senario kisahnya berkisar di negara asing, secara tidak langsung mendedahkan kita akan situasi sebenar di sana. Malah penulisnya berjaya membawa pembaca seolah-olah mereka berada di situ. Di samping itu, selitan nasihat dan tips tertentu amat berguna kepada pembaca agar lebih menghayatinya. Sebenarnya, buku ini sesuai untuk semua peringkat usia dan seharusnya menjadi salah satu koleksi pilihan sama ada untuk tatapan sendiri ataupun cenderahati. ~Zuarida Mohyin Wartawan Utusan Malaysia

2) Novel berunsur Islam memang pun sudah banyak tetapi amat sukar mencari roh keIslaman dalam novel yang banyak ini. Novel Salju Sakinah saya kira sudah mampu menyediakan hidangan untuk pembaca mengecapinya. Citra muslimah setabah Sumayyah begitu ketara menjadi kekuatan novel ini. Naratifnya cukup Islamik, namun pengarang dengan penuh sedar memilih untuk tidak didaktik dalam menghantar amanatnya. Kadang-kadang terasakan seolah-olah novel ini dikarang oleh seorang wanita. Sebagai penelaah novel saya amat merasai Salju Sakinah berupaya menjentik hati dan membangunkan jiwa. Inilah novel Islamik berperspektif muda yang matang, yang jarang-jarang sekali kita temui di antara banyak novel di Malaysia.~Azizi Haji Abdullah, Penerima SEA Write Award 1988 & MASTERA 2007

TAHUKAH ANDA???

Dunia dikejutkan lagi dengan kemunculan satu isu berkaitan penghinaan terhadap Islam dan kitab suci Al-Quran pada 27 Mac 2008 di Belanda. Isu ini dicetuskan oleh Greet Wilders yang juga Ahli Parlimen Belanda tanpa rasa bersalah melakukan PENERBITAN & TAYANGAN FILEM PENDEK yang diberi nama "FITNA". Isu ini sangat menuntut perhatian kita kerana sebelum ini isu penghinaan terhadap Islam telah banyak dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya pihak Barat yang angkuh akan kekuasaan mereka mengepalai dunia.

SINOPSIS PERISTIWA:
*Filem ini merupakan filem pendek Belanda karya politikus Belanda, Greet Wilders pemimpin Party for Freedom (PPV) di Parlimen Belanda.
*Dalam tayangan filem pendek 16.48 minit tersebut terdapat 3 bahagian plot yang diselitkan :
1) The Quran & Terror
2) The Quran as a means for Islam
3) Islam and the Netherlands

*Mesej yang cuba oleh pembikin filem ini cukup jelas iaitu menunjukkan bahawa ayat-ayat Al-Quran yang sedia ada sekarang adalah sebagai satu platform untuk muslim bertindak ganas dan demokratik. Wilder melabelkan filem ini sebagai "a call to shake off the creeping tyranny of Islamization" erti kata lain "panggilan bagi menghentikan pendominasian permodenan Islam".

*Filem ini bermula dan berakhir dengan menyelitkan karikatur yang mencela Nabi Muhammad yang pernah juga pernah menjadi kontroversi hebat pada tahun 2006 yang lalu. Mereka ini seolah-olah sengaja ingin meniupkan api kemarahan umat Islam supaya bertindak agresif terhadap isu ini.

Oleh itu, saya menyeru kepada khalayak pembaca supaya menyedari bahawa agama kita sangat mudah dipermainkan oleh Barat. Justeru, persiapan dari aspek fizikal, mental, rohani dan semangat perjuangan untuk menegakkan agama Islam sentiasa tersemat dan terus membuak-buak di hati anda semaua. Salam perjuangan dari saya...

*Boikot barangan Belanda sebagai tanda bantahan kita terhadap isu ini...Takbir!!!

Monday, March 31, 2008

TAZKIRAH...

LELAKI ACUAN AL-QURAN

Yang Hatinya Disaluti Rasa Taqwa Kepada Allah SWT
Yang Sentiasa Haus Dengan Ilmu
Yang Sentiasa Dahaga Dengan Pahala
Yang Solatnya Adalah Maruah Dirinya
Yang Tidak Pernah Takut Berkata Benar
Yang Tidak Pernah Gentar Untuk Melawan Nafsu

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Lelaki Yang Menjaga Tutur katanya
Yang Tidak Bermegah Dengan Ilmu Yang Dimilikinya
Yang Tidak Bermegah Dengan Harta Dunia Yang Dicarinya
Yang Sentiasa Berbuat Kebaikan Kerana Sifatnya Yang Pelindung
Yang Mempunyai Ramai Kawan Dan Tidak Mempunyai Musuh Yang Bersifat Jembalang

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Lelaki Yang Menghormati Ibubapanya
Yang Sentiasa Berbakti Kepada Kedua Orang Tua Dan Keluarga
Yang Bakal Menjaga Keharmonian Rumahtangga
Yang Akan Mendidik Anak-Anak Dan Isteri Mendalami Agama Islam
Yang Mengamalkan Hidup Penuh Kesederhanaan Kerana Dunia Baginya Adalah RumahSementara Menunggu Akhirat

Lelaki Acuan Al-Quran Sentiasa Bersedia Untuk Agamanya
Yang Hidup Di Bawah Naungan Al-Quran Dan Mencontohi Sifat Rasulullah SAW
Yang Boleh Diajak Berbincang Dan berbicara
Yang Sujudnya Penuh Kesyukuran Dengan Rahmat Allah Ke Atasnya

Lelaki Acuan Al-Quran Tidak Pernah Membazirkan Masa
Yang Matanya Kepenatan Kerana Kuat Membaca
Yang Suaranya Lesu Kerana Penat Mengaji Dan Berzikir
Yang Tidurnya Lena Dengan Cahaya Keimanan
Yang Bangun Subuhnya Penuh Dengan Kecerdasan
Kerana Sehari Lagi Usianya Bertambah Penuh Kematangan

Lelaki Acuan Al-Quran Sentiasa Mengingati Mati
Yang baginya Hidup Di Dunia Adalah Ladang Akhirat
Yang Mana Buah Kehidupan Itu Perlu Dibajai Dan Dijaga MeneruskanPerjuangan Islam Sebelum Hari Kemudian

Lelaki Acuan Al-Quran Ialah Lelaki Yang Tidak Mudah Terpesona Dengan BuaianDunia
Kerana Dia Mengimpikan Syurga
Di Situlah Rumah Impiannya

Bersama Wanita Acuan Al-Quran...

Saturday, March 29, 2008

MAKLUMAN...

AGM '08

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE- 48
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM ( PMIUM )

TARIKH : 30 MAC 2008
MASA : 6.30 PETANG
TEMPAT : AUDITORIUM FAKULTI KEJURUTERAAN

* Cabutan bertuah menanti anda!

Anda semua dijemput hadir...

Saturday, March 15, 2008

SALJU SAKINAH

Siri 4
HAJAT SEORANG SAHABAT
Oleh Zaid Akhtar

BILAL Saad mulai melaungkan azan seperti biasa - tepat pada waktunya. Sumayyah bingkas dari kerusi, mencapai tuala yang tersangkut pada penyidai besi di antara katil dan almari. Ketika itu, spontan pandangannya tertancap pada gambar berbingkai yang tergantung di dinding. Foto ceria empat orang gadis berdiri dalam posisi yang begitu mesra dan riang. Kelihatan dirinya berdiri di tengah bersama Hakimah. Sementara Fatihah berdiri mengapit di sebelah kanan gadis itu. Dan di sebelah kiri Sumayyah, berdiri seorang gadis Arab berkulit cerah - Wafa’. Mereka bergambar berlatarbelakangkan Petra semasa lawatan ke kota purba itu tahun lepas.
Ya. Sudah dua tiga hari dia tidak bertemu dengan Wafa’ yang mendiami rumah sebelah. Jirannya yang berketurunan Palestin itu sangat rapat dengan mereka. Malah pelajar jurusan Bahasa Arab itu selalu juga berkongsi cerita derita yang dialami bangsanya. Lazimnya selepas Asar, jika tiada sebarang urusan, gadis itu akan bertandang ke mari. Ke mana perginya dia sehari dua ini?
Perut yang berkeroncong tatkala kakinya menapak untuk ke bilik air mendesaknya singgah sebentar ke dapur. Jadual giliran memasak yang tertampal pada pintu ke ruang dapur dijelingnya sekilas.
“Alamak, giliran aku masak hari ini!” bisiknya sendiri. Dalam kepalanya mulai mencongak-congak lauk apa yang mahu dimasak nanti.
Tanpa lengah, dia masuk ke bilik air untuk bersuci. Hampir dua puluh lima minit kemudian, setelah selesai solat, berwirid dan berdoa agar ditenteramkan hati; dia lalu bersiap-siap untuk keluar mencari barang-barang dapur.
Belum sempat dia menyarung sepatu, tombol pintu sudah dipulas dari luar. Fatihah muncul di muka pintu lalu memberi salam.
Dia menjawab sambil mencapai sepatu kulitnya yang berwarna perang tua. Sepatu hitam milik Hakimah yang ada di situ menandakan teman serumahnya itu sudah pulang.
“Nak ke mana?”
“Cari lauk. Aku masak hari ni,” balas Sumayyah. “Nampak penat, kau dari mana, Teh?”
Fatihah menanggalkan sepatunya dan menyusunnya di rak.
“Waduh, panjang ceritanya, Mai.”
Gadis kelahiran Muar itu meletakkan kura tangan kanannya ke dahi tanda keletihan. Nada berseloroh dalam suaranya sedikit menggedik hati Sumayyah. Temannya yang seorang ini memang gemar berjenaka. Memang bakat semula jadinya barangkali.
“Kalau panjang sangat, tolong potong biar pendek. Aku dah nak keluar ni.”
“Aku dari Bait Raihani tadi. Tolong mereka kemas barang. Malam ni kena pindah.”
“Pindah?”
Di matanya terbayang wajah Raihani, Nur Hizza, dan Surayya. Ketiga-tiganya siswi tahun satu, masih mentah dan belum biasa dengan kerenah penduduk tempatan. Lebih tepat lagi, belum masak dengan fiil buruk Arab.
Fatihah mengangguk. Hidung mancungnya yang berkeringat dikesat dengan tisu. Selaku Timbalan Exco Lajnah Kebajikan, banyak masalah yang dihadapi pelajar dalam pengetahuannya.
“Tuan rumah suruh keluar. Dia bagi notis empat hari. Mana sempat budak-budak tu nak cari rumah sewa baru.”
“Jahatnya!”Rasa kasihan melimpah. Memang ada juga terjadi kes tuan rumah menaikkan sewa rumah mendadak dengan alasan yang tidak munasabah – tetapi tidak selalu. Biasanya ia berlaku kepada penyewa yang tidak memiliki surat perjanjian yang menjamin sewa tidak akan dinaikkan oleh tuan rumah dalam tempoh tertentu.
“Silapnya mereka lambat beritahu senior atau exco. Dah nak pindah baru nak minta tolong.”
Sumayyah geleng kepala. Ini pun satu penyakit. Suka bertindak sendiri-sendiri. Dah terhantuk baru nak terngadah! Kita duduk jauh dari keluarga, nak harap siapa lagi kalau bukan kawan-kawan?
Sukar baginya untuk membayangkan situasi yang dihadapi oleh pelajar-pelajar baru sewaktu berhadapan dengan helah dan gertak tuan rumah. Bahasa Arab pun belum kuat. Tentunya tergagap-gagap mereka bertiga bertengkar dengan tuan rumah yang pastinya sudah memiliki penyewa baru.
“Exco siswa dah tahu?”
“Dah,” balas Fatihah seraya menanggalkan stoking. “Lutfi dah berunding pun dengan tuan rumah, tapi gagal. Aku dah minta mereka carikan pikap untuk angkut barang-barang. Kalau budak-budak tu beritahu awal, taklah kelam-kabut macam ni. Rumah sewa baru pun tak dapat lagi.” “Habis mereka nak tidur di mana malam ni?”
“Mungkin tumpang sekejap di Bait Raudhah kot.”
Dia selesai menyarung sepatu. Di dalam hatinya berazam untuk menziarahi Raihani dan teman-temannya malam nanti jika tiada aral menghalang. Kebajikan adik-adik mesti dijaga meskipun tanggungjawabnya dalam persatuan sudah dilepaskan. Semasa mereka mula-mula sampai dahulu pun, dialah yang menyambutnya di lapangan terbang.
“Kalau mereka beritahu awal boleh juga kita tolong bertekak dengan tuan rumah. Ya tak?”
Sumayyah tergelak kecil. Pengalaman bertengkar dengan Arab memang ada, tetapi seboleh mungkin cuba dielakkannya. Sangat kurang manis bagi gadis Melayu.
“Oh ya, Marianis nak datang jumpa kau malam nanti. Katanya ada perkara besar nak bincang,” sambung Fatihah.
“Apa hal? Aku kan dah nak balik, patutnya dia bincang dengan orang lain.”
“Entah. Tapi dia suruh kau tunggu di rumah dan jangan ke mana-mana malam ni.”
Tombol pintu dipulas. Sumayyah melangkah keluar. Dia mahu segera melaksanakan niat asal. Fatihah kalau dilayan berbicara, banyak kerja yang akan tergendala.
Apa pula hajat besar si Marianis?
Dia lekas terbayang wajah lembut Marianis selaku pemimpin tertinggi siswi Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Yarmouk (PERMAYA). Sudah beberapa hari juga dia tidak bertemu gadis kelahiran Selangor itu.
Bukankah pelajar semester akhir sudah melepaskan tanggungjawab masing-masing dalam mesyuarat bulanan yang lepas?
Apakah ada lagi tanggungjawabnya yang belum selesai?
Atau ada tugasan baru yang mahu diberikan?
Apa hajatnya sekali pun, yang pasti Maghrib nanti dia akan ke Bait Raihani.

Thursday, February 14, 2008

PASTI TERUJA...



Di kesempataan ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang perkara menarik yang terdapat di dalam buku di atas. Setelah selesai membaca dan meniliti buku ini, saya melihat buku ini mempunyai jalan cerita yang sangat baik hasil sentuhan seorang penulis muda tanah air yang sedang mencipta nama.

Sinopsis :

Hidup,walau di bawah langit mana pun, penuh rona-padang uji buat menentukan darjah kematangan insan, apatah insan muda remaja.

Afham dan Amal Hayati, dua siswazah Jordan yang tidak pernah bertemu juga sama-sama belum bersedia kembali ke tanah air membawa hati ke Turki, sebuah negara dua benua yang dipisahkan oleh selat kecil indah, simbolis-Bosphorus-yang pancarona terlalu!

Melanjutkan pengajian, menebarkan ilmu di madrasah, bertemu Emine, Ilhan Yakin, Erfan, mereka terpanggil mengambil peranan demi mempertahankan prinsip dan tanggungjawab.

Rona Bosphorus-kisah anak Malaysia di perantauan rencam rona rindu dan ceria, rona dura dan bahagia, gemilang rona sejarah, semarak rona insaf.

Dapatkan segera di kedai-kedai buku berhampiran anda!

Judul : Rona Bosphorus

Penulis : Zaid Akhtar

Harga : RM 16.00

Kategori : Novel Remaja ( Pemenang tempat kedua kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002)




Tuesday, February 12, 2008

SALJU SAKINAH

Siri 3
MENGUSIR GUNDAH DI HATI
Oleh Zaid Akhtar

ASAR hampir masuk. Bila-bila masa sahaja azan akan berkumandang dari masjid universiti. Suara Bilal Saad yang sedikit sengau tetapi mersik itu pastinya sekali lagi akan menjejali ruang udara kampus dan kawasan sekitarnya.
Sumayyah menggenyeh-genyeh matanya. Dia cuba bangkit perlahan-lahan. Seboleh mungkin, akan dielakkannya daripada tidur dalam waktu Asar. Amalan itu boleh mewarisi kepapaan. Dia ingat benar kata-kata Ustaz Omar yang mengajarnya Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah ketika di sekolah menengah dulu.
Dia tidak pasti sudah berapa jam dia terlena. Seingatnya, sejurus selesai menunaikan fardu Zuhur secara berjemaah sepulangnya dari perpustakaan tadi, dia terus merebahkan jasadnya ke tilam. Rasa bungkam, kecewa, malu dan pelbagai lagi cuba diusirnya sejauh mungkin dengan tidur. Walaupun itu bukan penawar terbaik dia kira, namun itulah ikhtiar pertamanya bagi membuang kesedihan dan kemurungan yang mulai bertakung di hati.
Kedukaan itu sedikit berkurangan, tetapi dia pasti ia akan datang kembali. Keluh-kesah begini – sering datang dan pergi -hanya mampu diubati oleh bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan taqarrub kepada Ilahi. Jika bayangan silam itu mampir lagi, dia mesti banyak bertadarus dan bermunajat.
Kadangkala terasa juga mahu menyumpah seranah, malah sesekali terdetik juga rasa sesal lantaran terlanjur menjalin tautan hati dan mengimpikan hari bahagia. Tetapi dia lekas sedar, itu karat mazmumah yang masih bersarang di jiwa. Sebagai seorang muslimah, dia wajib yakin, segala-galanya sudah ditentukan Allah. Dan hanya dengan mencintai Tuhan tidak akan ada sebarang penyesalan.
Dia menarik nafas sebelum melepaskannya perlahan-lahan. Mulai sekarang dia mesti belajar menerima hakikat pertemuan dan perpisahan. Ada hikmahnya, ada rahsianya. Cuma manusia kadangkala menjadi tidak sabar dan sering bertindak menurut nafsu dan perasaan.
Sumayyah menyentuh bantalnya yang sedikit basah. Dia menggeleng. Bagaimana aku boleh tewas dengan perkara sekecil ini? Alangkah tidak wajarnya, alangkah kecilnya jiwa.
Aku mesti bertindak lebih matang. Mesti lebih berjiwa besar!
Dia berlunjur dan melakukan sedikit regangan. Bersenam. Kemudian perlahan-lahan dia bingkas, melangkah beberapa tapak sebelum menarik kerusi meja tulisnya dan duduk. Bayu awal musim panas yang sesekali menerobos jendela menabrak pipinya. Nyaman nian.
Bait Fatimah az-Zahra’ sunyi sepi. Mungkin Hakimah dan Fatihah sedang terlena. Mungkin juga mereka belum pulang dari kampus. Semasa dia pulang tadi, tiada sesiapa pun di rumah. Namun pada kebiasaannya, pada waktu begini, masing-masing berkurung di kamar sambil diulit mimpi sesudah keletihan dibakar terik matahari musim panas.
Sumayyah memandang kalendar meja di atas meja tulisnya. Bulan Mei sudah berlangsung separuh. Hari ini 16 hari bulan. Dia mencapai marker-pen dan memangkah angka enam belas pada kalendar itu. Jadual peperiksaan akhir yang tertampal di dinding dijeling sekilas. Ya, tinggal beberapa hari sahaja lagi dia akan menamatkan perjuangannya sebagai seorang mahasiswa.
Sesekali kedengaran suara lantang Diana Haddad mendendangkan lagu Ammaneih. Dia pasti, ia datang dari rumah gadis Kristian yang terletak di aras dua pangsapuri empat tingkat bersetentang dengan bangunan pangsapuri yang didudukinya. Nawwal namanya, sangat peramah dan berasal dari Amman - memang peminat setia penyanyi Lubnan itu.
Kuliah hanya berbaki kurang dua minggu. Selepas itu bermulalah minggu ulang kaji, dan pada minggu seterusnya peperiksaan akhir akan menjelma. Bermakna tidak sampai sebulan dia akan kembali ke tanah air tercinta. Tidak sampai sebulan lagi dia akan meninggalkan Dataran Syam.
Wajah abah, umi, Kak Long dan Kak Ngah tiba-tiba lekas terpapar di ruang mata. Dan dia teramat sedar, ada amanah yang masih terbeban di pundak bahunya yang belum terlaksana. Amanah yang sangat besar dan terpaksa dipikulnya sepanjang permusafirannya ke sini. Amanah keluarga.
Apa khabar agaknya mereka?
Rindu lekas bersemarak.
Sejak bergelar mahasiswa di Universiti Yarmouk hampir empat tahun yang lalu, hanya sekali dia pulang ke tanah air. Itupun pada cuti musim luruh tahun pertama, semata-mata kerana pernikahan Kak Long. Lantas setiap kali cuti bermula, dia tidak seperti pelajar lain yang berebut menempah tiket untuk balik bercuti. Sebaliknya dia pernah memilih Mesir sebagai destinasi percutiannya sambil menziarahi rakan-rakan dan tempat-tempat menarik di sana. Paling tidak pun, kalau ketandusan biaya, dia akan melawat lokasi-lokasi bersejarah di dalam Jordan sahaja. Selebihnya masa dihabiskan dengan membaca dan menadah kitab. Umi merungut-rungut juga memujuknya supaya pulang pada cuti musim panas atau luruh, tetapi berjaya dipujuknya dengan baik ditambah abah tidak pula melarang.
“Peluang itu bukan datang selalu. Semasa belajar di rantau inilah. Dah bekerja dan berumahtangga esok, lagilah payah nak ke mana-mana,” Kak Ngah, kakak yang sangat rapat dengannya turut menyokong tindakannya.
Sihatkah abah? Bagaimana perusahaan kerepek yang abah usahakan secara kecil-kecilan selepas bersara? Tentu banyak pendapatan tambahan walaupun sudah memiliki pencen. Bolehlah buat biaya pergi haji sekali lagi.
Umi juga bagaimana agaknya? Sudah semakin pulihkah daripada kencing manis yang tiba-tiba menyerang awal tahun ini? Umi kena selalu makan ubat dan dengar nasihat doktor.
Kak Long pula, bila lagi akan menimang cahaya mata pertama? Usah tertekan, kak. Mungkin belum ada rezeki.
Dan Kak Ngah, tentu seronok sesudah berjawatan selesa; apakah terus-terusan dibuai keindahan alam pertunangan? Jangan ditangguh-tangguhkan lagi pernikahan, kak. Banyak dugaan dan fitnahnya.
Rindu memang terus-terusan bernyala. Hanya kepulangannya yang mampu memadamkan segala rindu dendam yang selama ini hanya dikendurkan melalui e-mel, chatting sesekali dengan Kak Ngah, juga panggilan telefon.
Sabarlah hati sabarlah. Tinggal beberapa minggu saja lagi.

Friday, January 25, 2008

BAYU DINGIN MEDITERRANEAN

Oleh Zaid Akhtar

BERITA jam lapan sedang ke udara. Pandangannya ditumpukan ke skrin kaca. Perhatian diberikan segenapnya. Menyorot inti utama berita. Berita yang berlegar-legar dalam skop yang itu juga.Topik yang sentiasa menjadi pertikaian. Tidak pernah berkesudahan.

Dia mengerutkan dahinya. Sesekali mendengus. Muak dengan perkembangan yang disampaikan. Liputan sidang damai yang sedang berlangsung di Tel Aviv di antara Yasser Arafat dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. Pertemuan diplomasi yang sudah termakruf akan natijahnya. Ucapan kedua-duanya juga diselang-selikan dengan sedutan beberapa siri sidang damai yang telah lalu, yang tidak pernah mendatangkan manfaat bagi Islam.

Melambat-lambatkan kebangkitan!

Remote-control ditekan. Televisyen padam serta merta. Tubuh yang letih disandarkan ke sofa lembut. Matanya melilau mengitari ruang tamu. Di depan ada almari. Di atasnya ada televisyen, piala, medal, bunga, dan susunan buku. Sebuah radio tua mengisi di sudut kanan. Di dinding, ada foto berbingkai. Gambar Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Ziyad merenung kubah kuning keemasan yang seakan-akan maya. Lama. Tidak semena-mena rindunya terhadap Quds tanah airnya semacam melimpah.

“Jangan engkau kuatkan azam untuk mendatangi melainkan yang tiga ini: Masjidil Haram, Masjidil Aqsa, dan Masjidku ini.”

Suara uzur bapanya menuturkan hadis itu memancing tumpuannya. Buku yang sedang dibaca segera dikatup. Ziyad menghadapi bapanya. Memandang wajah tua yang putih bersih.

“Bapa teringatkan Quds?” sapanya. Dia melihat mata lelaki itu berkaca.Syeikh Mahfodz tersenyum.

“Aku sedih. Umat Islam sekarang tak dapat melakukan apa yang disabda oleh Rasulullah SAW,” luahnya, bernada kesal. Matanya yang agak terperosok ke dalam meneliti mashaf al-Quran yang lusuh. Menghayati maknanya barangkali. Bapanya seorang ulama. Seorang tokoh mujahid yang kehilangan tanah air dan telah dilupakan.

Ziyad terus memandang bapanya yang lumpuh. Menanti-nanti kalimat yang bakal terluah. Dia tahu; bila bapanya berkeadaan begitu, ada sesuatu yang ingin diberitahu. Mungkin tentang mimpinya yang semakin gharib kebelakangan ini. Bapanya pernah bermimipi Perang Teluk akan terjadi. Dan mimpi bapanya terbukti benar.

Syeikh Mahfodz mulai membaca ayat-ayat suci al-Quran. Matanya terpejam. Dia hafiz. Ziyad hanya mendengar. Surah al-Isra’, ayat satu hingga lapan. Dibaca secara tartil. Sayu.
“Quds adalah kiblat asal kita sebelum diubah ke Kaabah.” Dia menutup mashaf. “Masjidil Aqsa sudah sebati dengan jiwa aku. Aku membesar di situ. Belajar di situ. Madrasah tarbiah yang telah membentuk sakhsiahku.”

Ziyad mengangguk. Dia tahu asal-usul meraka. Sejarah bapanya menentang penjajahan Yahudi. Bapanya berasal dari Rafat di Tebing Barat. Tetapi dibesarkan di pinggir Masjidil Aqsa. Sejak berhijrah ke Jordan, bapanya tidak pulang-pulang ke Palestin. Kesemua ahli keluarganya terbunuh dalam perang, kecuali dia dan adik lelakinya yang masih menetap di sana.

“Mengapa bapa? Ada yang tak kena?” Ziyad terus menyoal. Dia sedar bapanya mahu mengungkapkan sesuatu.

Syeikh Mahfodz menatap wajah anaknya dalam-dalam. Kemudian mengangkat tangannya. Ziyad merapati bapanya. Lantas memeluk lelaki itu.

“Aku mahu kau juga jadi seorang pejuang.”

Air mata bapanya membasahi bahu. Air mata seorang bekas pejuang yang tua dan lumpuh. Dia mengerti bapanya amat kesal kerana menjadi pelarian ke Jordan, sementara adiknya masih lagi berjihad. Keadaan waktu itu yang mendesak, yang memaksanya lari ke Jordan. Mereka tiada senjata untuk melawan. Sekadar membiarkan leher disembelih Yahudi tanpa sebarang ikhtiar, bukan caranya.Sebab itulah yang membawa bapanya ke sini. Biarpun telah beberapa dekad ia berlalu, namun semangat jihad itu masih seperti dulu.

Bayu padang pasir yang berhembus menggoyangkan langsir. Ziyad kembali dari imbauan lampau. Dia mengesat birai matanya yang sedikit basah. Terngiang-ngiang pesan bapanya di gegendang. Hajat bapanya yang mahu dia menjadi pejuang; menyambung sisa-sisa
perjuangannya sewaktu muda dulu.

Dua minggu selepas peristiwa itu, bapanya meninggal setelah angin ahmarnya menyerang lagi. Itu empat tahun yang lalu. Sekarang dia mahasiswa tahun akhir Kuliyyah Siasah Universiti Yarmouk, Irbid.Pengajian politiknya akan berakhir musim panas ini. Tetapi, akhir-akhir ini dia sering terpanggil.
Bayangan Masjidil Aqsa acapkali mengganggu tidurnya. Kerinduannya terhadap bumi berkat itu semakin membara. Mungkin perlu dia menziarahi Palestin buat kali pertama.

Thariq yang muncul dari dapur menghidupkan radio. Di tangan kanannya sepinggan humus dan falafil. Tangan kirinya menatang teko dan roti. Habibi Ya Nural Ain dendangan Amru Dhiyab sedang berkumandang. Keheningan segera terisi. Ziyad menceber.Irama arab cukup dibenci. Faudho.

“Sudah berapa kali aku kata, usah ingat dia lagi. Nawwal tak sesuai dengan kau. Dia Masihi.Pegangan kita jauh berbeza.” Thariq mengomel.

Ziyad menggeleng-geleng. Kesal dengan anggapan itu. Adiknya yang satu ini memang sering menuduhnya menggilai Nawwal – gadis Kristian yang menjadi rakan sekuliah.

“Apa kena kau ni? Aku dah lupakan dia,” tegasnya. Dia mencubit roti, lalu dicecah dengan humus sebelum disuap ke mulut. Thariq mencapai majalah Al-Mujtama’. Menatap sekali imbas ilustrasi muka depan. Kemudian menyelak helaian demi helaian.

“Aku nak ke Quds cuti musim bunga ini.”

Thariq masih leka membaca. Telinganya gagal menangkap jelas apa yang dituturkan. Ditambah suara Amru Dhiyab yang lantang.

“Aku akan ke Quds sebelum semester musim panas ini,” luah Ziyad sekali lagi.

“Kau gila?” Mata Thariq terbeliak. “Engkau tu tinggal satu semester lagi. Ingat sikit, sejak Netanyahu berkuasa, semangat anti-Arab semakin berleluasa. Semua pelawat dari Jordan disyaki pengintip.” Al-Mujtama’ dicampak ke tepi. Dia tidak setuju dengan keinginan abangnya. Niat itu suci, tetapi agak gila.

Ziyad tersenyum polos.

“Adik, barangkali kau dah lupa pesan bapa. Lagipun, Pakcik Ma’mun ada di sana. Mereka juga keluarga kita kan.”

“Aku tau. Tapi kenapa kau terburu-buru? Kau ada satu semester saja lagi. Ibu tentu tak setuju. Nahas kalau terjadi apa-apa.” Thariq memandang tepat wajah abangnya. Meminta penjelasan.

Ziyad geleng. Hatinya sudah bulat untuk ke Baitul Maqdis awal Jun nanti. Sudah lama dia memikirkan keinginannya yang satu ini. Semangatnya untuk menyaksikan sendiri intifadhah muslimin Palestin meluap-luap. Kalau ibunya tidak setuju, tahulah dia bagaimana mahu memujuk. Jus limau yang masih berbaki diteguknya sekali.

“Untuk apa takut? Ajal maut di tangan Tuhan,” selanya seraya bingkas dan melangkah ke kamar.

Thariq terkasima. Memandang roti, humus,dan falafil yang terbiar. Dia bagai tidak percaya dengan apa yang didengar.


* * * * * * * * * * * * * *

Makcik Sarah menghidangkan sepiring kinafah yang telah dipotong. Bibirnya dari tadi sentiasa mengukir senyum. Gembira dengan kedatangan anak saudaranya. Pakcik Ma’mun menghirup teh yang masih berasap. Aroma herbanya menusuk hidung. Sementara Ziyad mengeluarkan buah tangan yang dibawanya dari Jordan. Kiriman ibu.

“Jordan masih macam dulu, pakcik,” selanya. Hadiah bertukar tangan. Makcik Sarah yang peramah tidak putus-putus mengucapkan terima kasih. Ziyad senyum. Hatinya terharu, selebihnya bersyukur. Dia sendiri tidak menyangka akan berada di rumah bapa saudaranya. Setelah berjam-jam bersoal jawab di kedutaan, bahkan disoal siasat hampir sehari suntuk di sempadan, dia akhirnya beroleh visa. Bebas untuk menginjaki tanah airnya.
Tidak ramai rakyat Jordan yang beruntung dapat masuk ke Palestin.

“Lama betul pakcik tak ke sana, sejak kematian arwah bapa kau. Cuma, selalu juga ikut perkembangan di televisyen.”

“Sama saja, pakcik. Baik di Jordan, Lebanon, mahupun Palestin. Nasib kita orang Islam tak pernah berubah. Ditindas, ditekan di mana-mana.”

Siaran televisyen Israel 2 ketika itu sedang menyiarkan pertemuan Raja Hussein Jordan dengan Bill Clinton di Rumah Putih. Ziyad mencemik. Meluat dengan lakonan Barat. Sandiwara mereka tidak pernah tamat. Macam-macam muslihat yang dibuat. “Tengok tu. Sidang damai tak pernah putus. Tapi, semuanya membuang masa. Membuang duit.” Ada nada kesal dalam suara Ziyad. “Begitulah pemimpin kita … kalau sudah dicucuk hidung.”

Pakcik Ma’mun mengangguk. Segalanya sudah termaklum. Pemimpin Arab tidak pernah mahu bersatu. Saling bertelagah. Terlalu mengikut telunjuk Barat. Sedangkan kezaliman Yahudi kian bermaharajalela. Rakyat jugalah yang menjadi mangsa. Seinci demi seinci bumi mereka dirampas.

“Pakcik dah tak mampu nak aktif macam dulu. Selalu sangat uzur. Tak daya lagi nak berintifadhah. Cuma tinggal Munzir saja harapan kami.” “Emm … hampir terlupa saya. Ke mana dia?” Ingatannya cuba membayangkan sepupunya itu. Sudah empat tahun tidak bertemu. Kali terakhir ketika kematian bapanya. Mereka hampir sebaya. Pelajar Universiti Hebron itu barangkali sudah bekerja.

“Dia keluar sejak pagi.” Pandangan Pakcik Ma’mun tertancap pada jam di dinding.
“Selalunya dia dah pulang waktu begini.”

Ziyad menjamah kinafah buatan Nablus yang terbiar sejak tadi. Cukup manis. Sekali-sekala matanya terpandang kelibat Sandora sepupunya yang berulang-alik ke dapur. Gadis itu cukup menjaga aurat dan pergaulannya. Gadis-gadis arab memang terpelihara. Tidak sewenang-wenang bercampur dengan lelaki ajnabi.

Seketika, loceng berbunyi. Seorang lelaki muncul di pintu. Munzir yang baru pulang masuk ke ruang tamu. Terkejut campur gembira melihat kehadiran sepupunya. Ziyad bingkas. Mereka segera bersalaman, berpelukan. Dan akhirnya sama-sama duduk di kusyen lusuh.

“Ke mana kau tadi?” tanya bapanya.

“Bayt Lehem. Ada pertemuan dengan pelajar. Dengar cerita, lusa ada rapat umum di Hebron. Netanyahu dan pimpinan tertinggi Likud akan melawat penempatan Yahudi di sana.”

Ziyad sekadar mendengar. Di hatinya terbetik rasa tidak sabar. Dia mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin dari keluarga ini. Malah, dia mahu merasai sendiri derita Palestin yang sekadar didengar sekian lama.

“Kau terlibat?” Dia memandang Munzir. Lelaki yang melilit serban merah di leher itu memang bercirikan seorang mujahid. Dengan tarbus merah di kepala; mirip Hassan al-Banna. Tampak berani dan cekal.
Angguk. “20 ribu penduduk asal Muslim diusir. 400 pendatang haram Yahudi dari Amerika akan membuka penempatan baru di sana. Kami akan berdemonstrasi.”

* * * * * * * * * * * * * *

Selesai solat zuhur di Masjidil Aqsa, mereka meneruskan perjalanan ke Hebron kira-kira 60 kilometer ke selatan Quds. Munzir di sebelahnya sentiasa berzikir. Dua lagi rakan Munzir yang berada di depan hanya menyepi. Ziyad banyak membuang pandangannya ke luar. Tembok Baitul Maqdis semakin ditinggalkan di belakang. Di kiri kanan jalan, poster Netanyahu begitu banyak tertampal di sana sini. Beberapa slogan Yahudi juga turut terpampang sekali.

‘Tidak bermakna Israel tanpa Quds, tidak bermakna Quds tanpa Haikal’. Propaganda Yahudi itu menjengah ruang mata. Sempat dia membaca tulisan besar di tepi jalan yang ditulis dalam bahasa Arab. Tadi, semasa tiba di Masjidil Aqsa, dia ingin melihat sendiri pembinaan terowong Haikal Sulaiman yang digembar-gemburkan. Tetapi, Munzir melarang. Telah ramai yang tidak pulang katanya bila mendekati kawasan itu. Hati Ziyad berasa amat benci dengan Yahudi. Perangai mereka pun tidak pernah berubah sejak dahulu. Tamak. Suka menindas. Memang wajarlah mereka dilaknat di dalam al-Quran. Mereka melewati Bayt Lehem sebelum terus ke selatan. Ziyad teringat cerita bapanya. Saudara-maranya begitu ramai tinggal di bandar tempat kelahiran Nabi Isa AS ini. Itu dulu. Tetapi sejurus terjadinya Perang Arab-Israel pada 1967, ramai yang maut. Ada juga yang menjadi pelarian ke Lebanon.

“Sebelum sampai di sana, perbetulkanlah niat kita. Sekiranya kita ditakdirkan mati, biarlah sebagai syahid.” Munzir yang tadinya ralit berzikir menuturkannya. Mulutnya masih terkumat-kamit. Di wajahnya tiada sebarang kegentaran. Tenang. Ziyad mulai menghitung-hitung dirinya. Mentajdid niatnya kembali. Tidak pernah dia bermimpi akan berada di sini. Merasai detik-detik perjuangan. Alangkah baiknya, jika Thariq turut ada bersama. Kendatipun dia bersyukur, adiknya sanggup menjaga ibu dan keluarga sepemergiannya.

Perjalanan tidak terasa terlalu lama. Masing-masing asyik dalam zikir. Sepuluh minit, dua puluh minit. Sebentar kemudian mereka tiba di sebuah bandar. Di sebuah papan tanda tertera perkataan ‘Al-Khalil’, atau Hebron dalam bahasa Ibrani. Ziyad memandang sepupunya.

“Rapat umum itu bermula pukul berapa?”

“Dua.” Munzir menjawab sepatah. Bibirnya sentiasa basah. Zikirnya semakin deras.

Ziyad mengelih jam. 1:45 petang. Kereta terus bergerak. Satu kilometer kemudian kereta berhenti. Di luar, ratusan anak muda sudah menanti. Lengkap bersepanduk. Rata-ratanya menutup muka dengan kain serban; mengelak dicam pihak berkuasa. Laungan takbir berbaur suara manusia menjadikan suasana agak bingit.Ziyad sekadar melihat. Suasana begini terlalu asing baginya. Dia menuruti sahaja langkah Munzir. Lelaki bertarbus itu begitu sibuk. Bergegas ke sana ke mari. Bagai seorang ketua, setiap katanya akan dipatuhi. Dia begitu dihormati.Munzir mencapai pembesar suara. Kemudiannya, berucap seketika. Sejurus itu, mereka mula berarak perlahan-lahan menuju ke pusat bandar. Gema takbir terus kedengaran. Mereka mahu berdemonstrasi secara aman. Tatkala itu, matahari bersinar terik. Langit bersih membiru. Tiada sedikit pun awan yang berarak. Angin gurun yang bertiup dari tenggar sesekali mencium pipi. Panas.

Ziyad terkejut apabila bahunya dicuit orang. Munzir yang tadi berada di barisan paling depan sudah berada di sebelahnya. Mereka kini berada di tengah-tengah perarakan. Beberapa orang kanak-kanak masih lagi sempat berkejaran di celah-celah ratusan manusia.

“Aku harap kau mendapat pengalaman yang paling berguna. Inilah perjuangan kami,” tutur Munzir. Suaranya masih dapat didengar sekalipun takbir kian kuat. Dia menyarung topeng kain ke muka. Tidak lagi bertarbus. Yang nampak, hanya dua biji matanya.

“Aku tak pernah bermimpi bersama-sama kalian.” Ziyad melilit serbannya ke paras hidung.

“Munzir, kau yang merancang semua ini?”

Lelaki itu mengangguk. Ziyad tidak terkejut. Dari tadi dia sudah menjangka, lelaki inilah yang memimpin golongan pelajar dan belia. Pengatur setiap ucapan, rusuhan, dan tunjuk perasaan selama ini. Dia berasa dirinya terlalu kecil. Mereka berdua hampir sebaya. Tetapi sepupunya nyata jauh lebih matang. Malah, sudah bergelar seorang pejuang!

“Jihad tidak semestinya dengan senjata. Yang penting, kerana Allah,” bisik Munzir di telinganya sambil menguntum senyum.

Mereka semakin hampir dengan pusat bandar. Ziyad cuba-cuba menyusup ke barisan hadapan. Tiba-tiba, terdengar bunyi tembakan. Perarakan terbantut. Orang ramai mulai kelam-kabut. Masing-masing cuba menyelamatkan diri. Ledakan rifel bersimpang siur. Beberapa kedai di sekitar itu dihujani peluru sesat. Nun di depan, berderet-deret trak askar sedang menuju
ke arah mereka.

Munzir segera menarik tangannya. Mereka berundur ke belakang. Berlindung di balik tembok sebuah kedai. Bom gas pemedih mata yang ditembak dari jauh bersepah di jalan. Askar-askar rejim Zionis semakin dekat. Beberapa orang pelajar yang tidak sempat melarikan diri ada yang rebah. Masing-masing panik. Tidak menyangka perarakan akan disekat sebegini cepat. Biasanya askar-askar Israel akan bertindak bila rakyat memberontak.

Namun para pelajar yang tadinya bertempiaran cuba bertindak balas. Mereka melastik dan membaling batu. Beberapa pelajar yang rebah mula menjadi mangsa. Dipukul tanpa belas kasihan. Beberapa orang lagi yang gagal melarikan diri diheret masuk ke trak. Munzir sempat mengarahkan beberapa orang melempar bom asap. Setidak-tidaknya akan mengabui lawan;
membolehkan mereka melepaskan diri. Tanpa dijangka, beberapa jip muncul dari arah belakang. Masing-masing sudah kehilangan arah. Suasana menjadi semakin kalut. Mereka terkepung!

Munzir menjerit mengarahkan mereka supaya menyelamatkan diri. Dia gusar semakin ramai yang akan ditahan pihak berkuasa. Buruk padahnya. Mereka terus bertempiaran. Menerobos lorong-lorong di sekitar itu. Letusan senjata api di mana-mana. Jeritan dan tempikan mula kedengaran. Ada pelajar yang telah kena tembak. Ramai juga yang cedera.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, Ziyad mengikuti derap sepupunya. Mereka berlari sekuat hati. Nahas jika tertangkap. Ada jip askar yang mengikuti di belakang.

“Kita kena khianat. Celaka. Ada orang bocorkan rahsia!” Munzir menyumpah-nyumpah. Langsung tidak menyangka rancangannya memprotes pengusiran penduduk asal Arab dikesan lebih awal. Tentu ada yang jadi tali barut. Wajahnya membersut geram.

Mereka terus berlari. Ziyad mulai termengah-mengah. Lariannya tidak sederas tadi. Masing-masing kehilangan nafas. Tidak semena-mena, Munzir rebah. Mata Ziyad terbelalak melihat bahu sepupunya ditembusi peluru. Darah panas memancut-mancut keluar. Dia memangku Munzir. “Lari!” Suruh Munzir, lirih. Tubuhnya semakin lemah. Ziyad menggeleng. Tidak tergamak meninggalkan Munzir keseorangan nazak di situ. Dia cuba memapah sepupunya. Namun apabila dia bangkit, beberapa orang lelaki bersenjata api sudah berada di sekelilingnya.


* * * * * * * * * * * * * *

Irbid macam biasa. Malam kelam. Bulan agak terlindung. Namun tiada tanda-tanda hujan akan turun. Musim panas baru hendak bermula. Thariq berdiri di jendela kamarnya. Pandangannya dibuang ke luar. Telinganya menangkap suara pembaca berita stesen radio di Amman. Setiausaha Negara Amerika Syarikat dilaporkan akan menemui Benjamin Netanyahu di Tel Aviv untuk membincangkan proses damai di Timur Tengah. Thariq tidak berminat untuk terus mendengar. Semua itu pembohongan semata. Sidang damai tidak pernah menguntungkan Islam. Israel dan Amerika Syarikat sama sahaja. Cuma mereka yang masih tidak sedar.

Thariq mematikan radio. Nafasnya ditarik panjang-panjang. Sejak tadi, dia tidak keruan. Surat yang baru diterima dari Sandora hampir renyuk di tangan. Berita yang cukup menyedihkan. Dia tidak tahu bagaimana mahu memberitahu ibunya. Atmanya sendiri hampir tidak terkawal. Sukar untuk menerima kenyataan.

Bayu dingin dari Mediterranean terus berpuput. Sejuk. Thariq merapatkan jendela. Detik itu, sebak mula menggempur di dada. Hatinya bagaikan merusuh dan meronta-ronta. Turut sama terasa derita Palestin yang kehilangan tanah airnya. Sedang dia pula baru kehilangan saudaranya. Nasib mereka barangkali memang telah ditakdirkan; serupa.

Thursday, January 24, 2008

SEBUAH HARAPAN...

Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan membina sebuah lagi kampus baru di Terengganu iaitu di Bukit Besi.

Kampus baru yang berkeluasan 400 hektar akan mula beroperasi pada tahun 2009 dan akan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2012. Kampus berkenaan akan mengendalikan program baru iaitu Diploma Kejuruteraan Kapal dan Sukan Ekuin.

Majlis pecah tanah dijangka akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 3 Febuari ini.

Berita ini sudah pasti menggembirakan pelbagai pihak terutama golongan pelajar yang kini sedang bersaing merebut tempat ke menara gading. Kita berharap dengan tertubuhnya universiti ini nanti, ia mampu memberi sinar baru dalam bidang pendidikan tinggi.

Penubuhan universiti ini juga diharap mampu memberi nafas baru kepada UiTM yang sedia maklum terkenal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). Justeru, semua pihak harus berganding bahu agar harapan ini menjadi realiti bukannya fantasi.

Wednesday, January 23, 2008

SALJU SAKINAH

Siri 2
WARKAH DARI KAHERAH
Oleh Zaid Akhtar

KEINGINANNYA untuk mengulangkaji agak surut seketika. Hatinya lebih diasak untuk mengetahui isi surat yang baru diterima sebentar tadi. Pertanyaan bertalu-talu mendera minda. Berita baikkah? Atau sebaliknya?
Sumayyah bertasbih beberapa kali. Biar hati tenang. Biar jiwa tenteram. Selalunya perutusan dari Kaherah menitipkan khabar rindu dan ceria kepadanya. Moga warkah kali ini membawa berita yang serupa. Dia tidak lupa memanjatkan doa.
Tetapi entah mengapa nalurinya saat ini berasa kurang sedap. Selalunya tidak begini. Seperti ada perkara yang tidak kena. Barangkali rentetan insiden memalukan di Kulliyyah Syariah masih berlarutan, hinggakan dirinya mudah menyangka yang bukan-bukan. “Assalamualaikum.”
Peristiwa di pintu bilik kuliah tadi masih menjengah sesekali.
“Maafkan saya. Boleh saya masuk Prof.?”
Seisi bilik kuliah memandang ke arahnya. Berpuluh pasang mata tertumpu ke batang tubuhnya. Pembelajaran sudah bermula walaupun baru berusia dua minit. Prof. Abu Harith yang lengkap berkot dan tali leher melangkah ke pintu tempat dia berdiri.
“Masih ada yang lewat rupanya.”
Suara pensyarah yang terkenal dengan kewarakan dan ketegasannya itu bernada mendatar. Kala itu, dia mengutuk dirinya sendiri berkali-kali. Macam mana aku boleh terlewat?
“Sudah saya jelaskan berkali-kali. Pelajar adalah murid, yang bererti orang yang menghendaki. Murid yang menghendaki ilmu mesti tahu menghormati guru.”
“Saya faham, Prof.”
Hatinya berdebar-debar kencang menanti tindakan Prof. Abu Harith selanjutnya. Rahang lelaki separuh kurun itu bergerak-gerak.
Jambang putihnya jelas terjaga rapi.
“Untuk berlaku adil terhadap pelajar lain, saya mohon maaf.”
Dia dapat melihat beberapa pelajar Arab yang duduk di barisan hadapan sudah tergelak. Kelihatan juga beberapa pelajar lelaki sebangsa dengannya yang tersenyum sinis dan tergelak sama. Dia mulai menghidu hukuman yang bakal diterima. Beberapa pelajar Arab sebelum ini pernah menghadapi situasi serupa.
“Saya tak sengaja, Prof.” Dia merayu dengan nada sedikit tergigil. Jika dia dihalau, Tuhan sahaja yang Maha Tahu –alangkah segannya. Mana aku nak taruk muka?
“Inilah kali pertama….”
“Ya, saya tahu,” kata Prof. Abu Harith seraya tersenyum. “Walaupun kali pertama, malangnya hari ini, kamu Sumayyah tidak dibenarkan masuk. Jumpa lagi lusa. Wassalamualaikum.”
Pintu ditutup. Dan dia terpempan di situ. Di luar bilik kuliah, di hadapan pintu.
Ya Allah, malunya!
Dia menekup muka.
Kemudian dia menoleh ke kiri dan kanan. Tingkat dua perpustakaan ini agak lengang. Izzati yang menemaninya ke sini hilang di sebalik rak-rak buku, sibuk mencari bahan rujukan. Surat masih di tangan, masih belum dibuka. Lantas buku yang sedia terbuka ditutup, setelah diselitkan pen di celah-celahnya sebagai penanda. Walaupun hatinya kurang enak, tangan Sumayyah cekatan menyiat bucu surat dan perlahan-lahan mengeluarkan intinya.
Inilah surat pertama sejak tiga bulan yang lalu. Barangkali dihambat kesibukan, hingga tidak sempat mengutus berita. Tetapi dia tidak kisah itu semua. Yang penting, ukhuwah dan mahabbah di antara mereka kekal subur, biarpun hubungan ini sentiasa meresahkan. Di matanya gesit terbayang sebuah wajah.
Khabar apakah engkau, teman?Debaran di dadanya terasa semacam sumbang iramanya. Memang benarlah hubungan ini cukup meresahkan. Namun - dimulakan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim - dia cuba membaca setenang yang mungkin.
Baris demi baris ditatap dengan hati bergetar.
Suratnya agak ringkas. Padat dan terus kepada maksud. Dan sebaik sahaja selesai memahaminya, Sumayyah berasa pedih di ulu hati.
Berita inikah yang harus kuterima? Sebak sejenak.
Ada rasa pilu melonjak-lonjak. Ada sendu yang meronta-ronta mahu keluar. Ada ngilu yang menujah-nujah kalbu. Namun dia cuba bertahan, dan lekas mewajarkan; ini semua takdir. Ajal maut jodoh pertemuan di tangan Tuhan!
Hati, tabahlah!
“Ada berita baik, kak?”
Izzati yang muncul dari belakang memegang kedua-dua bahunya.
Sumayyah sedikit terperanjat, tetapi lekas mengukir senyum tawar. Gadis itu tergelak kecil melihatkan riak terkejutnya. Surat berisi berita duka yang ditulis menggunakan kertas kajang itu dilipat-lipat sebelum dikembalikan semula ke sampulnya. Dia tidak betah membacanya lagi. Sekali sudah memadai.
“Biasa-biasa saja, Zati.”
“Dah hujung-hujung ni pun dapat surat lagi?”
Sumayyah senyum lagi, separuh dipaksa-paksa. Dia sedar isi surat tadi mulai mempengaruhi dirinya. Dia mesti kuat dan cekal menghadapi situasi sepedih ini. Dia tidak boleh tewas kepada suasana. Dia mesti berselamba seperti tiada apa-apa. Dia wajib terima apa jua suratan-Nya.
“Daripada siapa, kak?”
“Kawan dari Kaherah.”
“Kawan? Yang mana satu? Yang jumpa akak masa di Mesir dulu?”
“Taklah. Ini yang lagi satu,” balas Sumayyah bersahaja.
“Wah, ada yang lagi satu?”
Izzati tergelak kecil. Sumayyah turut tergelak sama dalam separuh terpaksa. Itulah caranya mengusir gulana yang mula berlabuh di jiwa. Dengan sedikit jenaka sekurang-kurangnya dapat menyuntik ria.Dia menyelitkan surat di celah-celah buku notanya. Pembacaan yang tergendala tadi mahu disambungnya kembali. Masa lebih berharga daripada emas. Peperiksaan tidak berapa lama lagi akan menjelang.
Izzati menarik kerusi dan duduk di depan bersetentang dengannya. Langsung tidak terbaca apa yang tersembunyi di sebalik wajah Sumayyah yang bersahaja. Sebaliknya ralit menyelak-nyelak kitab yang baru ditemuinya sebelum kembali meneliti senarai isi kandungannya di muka surat ketiga. Sumayyah meneruskan pembacaan. Tetapi semuanya semacam tidak mesra. Huruf-huruf yang dibaca memang singgah di mata, tetapi gagal memasuki cepu kepala. Sebaliknya baris-baris ayat yang terkandung dalam warkah tadi yang lebih menguasai.
Tuhan, dugaan apakah ini?
Mengapa lembaran duka ini harus datang sewaktu aku hampir benar menghadapi peperiksaan besar tidak lama lagi? Peperiksaan yang akan menentukan masa depan dan hala tuju seterusnya.
Sumayyah, kau mesti kuat!
Dia seperti selalu, berkata begitu kepada dirinya. Kekecewaan dan kegagalan adalah titik tolak kejayaan yang lebih bermakna. Kekalahan adalah iftitah kemenangan yang lebih akbar.
Ya. Sumayyah mesti kuat.
Sumayyah mesti cekal. Mesti tekal. Sebagai bakal graduan salah sebuah universiti terkemuka di Timur Tengah, masakan dugaan sekecil ini tidak berupaya ditempuh. Sebagai mantan pimpinan sebuah persatuan pelajar, masakan mehnah sebegini harus dibayar dengan air mata?
“Kenapa kak?”
Dia mendongak, memandang tepat wajah hitam manis Izzati.
“Kenapa apa?”
“Kenapa saya lihat akak asyik mengeluh sejak tadi?”
Sumayyah memejamkan mata. Namun wajah yang sekian lama mendiami hatinya semakin
membesar dan terasa semakin sukar dipadam.


Iftitah - pembukaan