Friday, April 15, 2011

BN bakal jatuh di Sarawak?


Pendahuluan

Kehangatan pilihan raya negeri Sarawak kali ke 10 telah memasuki fasa terakhir. Proses pembuangan undi yang dijadualkan pada 16 April (Sabtu) bakal menentukan kerajaan baru yang bakal dibentuk untuk membela nasib rakyat Sarawak ke arah lebih baik dan maju. Mungkinkah Barisan Nasional (BN) akan terus kekal berkuasa? Atau ada kejutan baru dalam sejarah politik bumi kenyalang ini dengan menyaksikan buat pertama kalinya parti oposisi iaitu Pakatan Rakyat (PR) bakal membentuk kerajaan baru Sarawak? Segala persoalan ini akan dipulangkan kepada seluruh rakyat Sarawak yang menjadi pengundi berdaftar bagi pilihan raya kali ini.


Pertembungan sengit

Pilihan raya kali ini menyaksikan seramai 213 calon yang sah bertanding selepas melalui proses penamaan calon. Ini merupakan rekod calon paling ramai dalam PRN Sarawak setakat ini. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mempunyai 71 kerusi secara keseluruhan dan menyaksikan buat pertama kalinya semua kerusi mempunyai pertandingan. BN bakal ditentang sengit oleh seteru utama mereka iaitu Pakatan Rakyat (PR) yang juga meletakkan calon di semua kerusi. Parti lain yang turut bertanding adalah SNAP, PCM dan Bebas.


Ketidakadilan & angin perubahan di Sarawak

Iklim politik Sarawak menampakkan perubahan yang drastik apabila rakyat Sarawak sudah mula bangkit bersuara mahukan perubahan. Selama 30 tahun di bawah pemerintahan BN, rakyat Sarawak masih dibelenggu kemiskinan, tahap keperluan asas yang mundur dan juga pembangunan yang hanya tinggal janji-janji kosong. Pelik! Negeri yang kaya dengan hasil mahsulnya seperti gas dan minyak, pembalakan dan lain-lagi menyaksikan rakyat Sarawak masih berada ditakuk lama. Ditambah pula, dengan tata kelola pentadbiran negeri yang tidak bersih, mengayakan kroni-kroni dan penyelewengan terhadap tanah orang adat (NCR). Justeru, rakyat Sarawak terutama di bandar sudah mula 'celik' terhadap penindasan dan ketidakadilan yang berlaku keatas mereka. Melihat konsistensi jumlah orang ramai yang membanjiri ceramah-ceramah PR sejak dari awal lagi menampakkan akan ada tanda-tanda BN tidak akan menang selesa. Itu lah yang membuatkan Dato Seri Najib 'terpaksa' berkampung selama 6 hari di Sarawak bagi memastikan BN tidak tumbang kepada pembangkang.


Petunjuk awal: BN bakal jatuh di Sarawak?

Fasa kempen telah melabuhkan tirai. Sudah pasti setiap parti-parti bertanding sudah mengeluarkan senjata terakhir mereka sebagai "buah tangan" kepada para pengundi. Desas-desus dari awal lagi mengatakan PR mampu menafikan 2/3 majoriti BN disokong dengan kajian dari Zentrum Future Studies (pusat penyelidikan bebas) menyatakan tahap sokongan PR buat masa ini 40 peratus berbanding BN 39 peratus. Manakala SNAP 17 peratus dan Bebas sebanyak 4 peratus. Zentrum juga membuat prediction atau jangkaan PR akan menang 28 kerusi, BN 27 kerusi, SNAP 13 kerusi dan Bebas 3 kerusi. Walaubagaimanapun, ini hanyalah petunjuk awal atau jangkaan sahaja kerana kajian Zentrum pernah tersasar apabila PR dikatakan akan menang majoriti tipis dalam PRK Hulu Selangor tetapi berlaku sebaliknya.

Laporan Zentrum juga mendapati PAS dijangka akan menang 3 dari 5 kerusi iaitu Beting Maro, Muara Tuang & Tanjung Datu. Selain itu, bacaan menarik menyaksikan Datuk Salleh Jafarudin mendahului Tan Sri Taib Mahmud bagi DUN Balingian dengan majoriti kecil.


Penutup

Sejarah baru politik Sarawak bakal tercipta sekiranya BN kehilangan kuasa majoriti 2/3 DUN dan lebih-lebih lagi jika mereka tewas pada pilihan raya kali ini. Kuasa rakyat kuasa keramat! Rakyat yang akan menentukan pemimpin yang mampu memperjuangkan hak-hak mereka seterusnya membawa perubahan yang progresif kepada negeri. Harapan baru buat Sarawak!