Tuesday, November 29, 2011

Hijrah: Antara Menuju Allah atau Kesesatan

Istilah hijrah mempunyai maksud yang mendalam jika difahami dan dihayati oleh umat manusia dalam kehidupan. Secara umumnya, kita boleh mendefinisikan hijrah sebagai perkara yang dilakukan dalam bentuk perkataan atau perbuatan yang menjurus ke arah kebaikan. Hijrah ke arah kebaikan dari segenap aspek sangat besar nilaiannya di sisi Allah seperti mana Rasulullah s.a.w. mematuhi perintah Allah berhijrah dari Makkah ke Madinah.

Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barang siapa hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu."

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai ringkasan coretan ini, mari lah kita sama-sama menghayati tujuan utama penciptaan manusia di muka bumi:

1) Beribadah kepada Allah

"Tidak aku ciptakan jin & manusia itu semata-mata untuk beribadah kepada-Ku"
(Surah al-Dzaariyat: 56)

2) Sebagai khalifah

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat "Sesungguhnya aku hendak menjadika seorang khalifah di muka bumi." Mereka bertanya "Adakah Engkau (Ya Tuhan Kami) hendak menajdikan di bumi itu orang yang membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Allah berfirman: "Sesungguhnya aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."
(Surah al-Baqarah: 30)

3) Menunaikan Amanah Allah

Amanah yang dimaksudkan di sini ialahقامة الدين وسياسة الدنيا به" yang bermaksud mebangunkan Islam dan mentadbir dunia dengan Islam. Tidak cukup cantik sekiranya mentafsirkan dengan agama kerana pengertian agama cukup terbatas. Oleh itu, definisi tepat adalah Islam kerana Islam merupakan cara hidup yang syumul diturunkan oleh Allah sebagai panduan umat manusia dan dijamin selamat di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, Islam yang diturunkan oleh Allah sudah cukup sempurna memberikan panduan yang terbaik bagi seorang muslim dari segenap aspek. Justeru, sebagai hamba-Nya kita sendiri yang memilih jalan sama ada ingin menuju ke arah kebaikan atau terus tersesat ke arah keburukan. Firman Allah yang bermaksud "Barang siapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan pada hari akhirat kelak dia di kalangan orang-orang yang rugi".

Saturday, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah 1433H



1432 Hijrah telah meninggalkan kita..Kini 1433 Hijrah membuka lembaran baru kehidupan kita..

Semoga kedatangan tahun baru Islam ini memberikan suntikan semangat

kepada kita untuk berubah ke arah lebih baik dari segenap aspek..

Salam Maal Hijrah!!!

Siasah Syar'iyyah Satu Pengenalan

Pengenalan

Di Malaysia, istilah Siasah Syar'iyyah telah menjadi suatu istilah yang biasa didengar sejak kebelakangan ini. Hal ini sedikit sabanyak telah disumbangkan melalui kewujudan parti politik muslim. Maka pihak-pihak yang bertentangan cuba mengaitkan agenda mereka selaras dengan siasah syar'yyah. Secara tidak langsung istilah ini menjadi sebutan kerana ia berkait rapat dengan politik. Perkembangan ini boleh membantu lahirnya minat daripada pelbagai pihak bagi mengenali siasah syar'iyyah.


Definisi Siasah Dari Segi Bahasa

Perkataan siasah adalah kata terbitan (masdar) daripada kata dasar sasa-yasusu yang membawa pengertian yang pelbagai. Antaranya ialah mengendalikan sesuatu urusan dan mentadbirnya dengan baik. Apabila disebut Sasa al-Amr Siasah ia bermaksud melakukan sesuatu tindakan yang menguntungkan atau mendatangkan kabaikan sama ada dengan cara memimpin, menjaga keperluan atau membantu dan sebagainya.

Dalam menentukan bahasa asal perkataan siasah ahli bahasa Arab tidak sependapat. Al-Maqrizi misalnya menyatakan dalam kitabnya "al-Khutat" perkataan siasah bukan perkataan Arab tetapi perkataan Monggol kemudian telah diubah oleh ahli bahasa Mesir dari Yasah kepada Siasah. Seterusnya, menurut Abd Al Ahmad Utwah yang rajihnya ia dari perkataan Arab.


Definisi Syar'iyyah Dari Segi Bahasa

Syar'yyah diambil daripada lafaz (شرع). Ia menjelaskan tentang sesuatu yang disandarkan kepada syarak dan menerima sebagai sesuatu yang sah. Secara literalnya, syar'iyyah bermaksud sesuatu yang sah di sisi syarak.


Definisi Siasah Syar'iyyah Dari Segi Istilah

Menurut Abd 'Al ahmad Utwah: Membezakan antara siasah yang bersifat Syar'iyyah dengan siasah yang bersifat wad'iyyah (ciptaan manusia).

Secara rumusan, definisi siasah syar'iyyah terbahagi kepada dua:-


1) Siasah Syar'iyyah sebagai metod penentuan hukum di bawah bidang kuasa kerajaan Islam

* Ibn Abidin: Menggandakan hukuman keatas keatas kesalahan/jenayah mengikut peraturan syarak bagi membasmi gejala kerosakan.

* Al-Hamawi & al-Tarablusi: Hukuman yang digandakan.

* Ibn Fudi: Menjaga kemaslahatan/kepentingan manusia dan mengelakkan keburukan dengan cara menggunakan kaedah/mekanisma tertentu bagi mengetahui kebenaran seperti menggunakan qarinah tanpa pengakuan dan bukti atau menahan seseorang yang dituduh melakukan jenayah.


2) Siasah Syar'iyyah sebagai metod atau kaedah pemerintahan negara

* Syekh Abdul Wahab Khallaf: Menjalankan pentadbiran awam sebuah negara Islam mengikut landasan yang menjamin kepentingan/kebaikan dan mengelak keburukan,di mana pengurusan itu tidak terkeluar dari batas-batas syariat dan dasar-dasar umumnya, walaupun ianya tidak menepati pandangan para imam mazhab.

* Syekh Abdul Rahman Taj: Hukum-hukum/peraturan yang mengatur perjalanan pentadbiran negara dan rakyat, di mana ianya hendaklah bertepatan dengan roh syariah, selaras dengan usul-usul kulliyyah seterusnya dapat mencapai objektif kemasyarakatan, walaupun hukum-hukum itu tidak disebut secara langsung oleh nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.


Antara dalil daripada al-Quran yang berkaitan dengan Siasah Syar'iyyah:-

1) Surah al-Nur ayat 55

2) Surah al-Nisa' ayat 58

3) Surah al-Maidah ayat 42 & 44

4) Surah al-Baqarah ayat 213

5) Surah al-Sad ayat 26


Penutup

Siasah Syar'yyah memperlihatkan kita bagaimana ia satu kaedah yang lengkap selari dengan syariat Islam dalam bidang pemerintahan negara. Justeru, kaedah dan metod ini haruslah dijadikan panduan oleh para pemerintah negara dalam menjamin kemaslahatan dan kepentingan rakyat bukannya mengikut acuan dan hawa nafsu sendiri. Pemerintahan yang menepati prinsip-prinsip Islam sudah tentu mendapat keberkatan dan keredaan Allah.


Rujukan

Al-Quran al-Karim

Abd 'Al Ahmad Utwah (1993). al-Madkhal al-Siasah al-Syar'yyah. al-Riyadh: Universiti Imam Muhammad

Abdul Karim Ali & Raihanah Azahari (1999). Hukum islam semasa: bagi masyarakat Malaysia yang membangun. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

UEFA Champions League 2011: Arsenal sah ke pusingan kalah mati, APOEL cipta sejarah




Perlawanan kelima peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (awal pagi Rabu & Khamis) baru-baru ini menyaksikan aksi dan kisah dramatik setiap pasukan yang bertanding. Antara keputusan yang boleh dicatatkan di sini ialah Arsenal menewaskan Borussia Dortmund 2-1, Barcelona menewaskan AC Milan 3-2, Manchester City tewas 1-2 di tangan Napoli juga Chelsea tewas kepada Bayer Leverkusen 1-2.



Paling mencuri tumpuan ialah kelab kerdil APOEL yang berpengkalan di Cyprus telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi kelab Cyprus pertama yang layak ke pusingan kalah mati bagi sejarah Liga Juara-Juara Eropah. Kejayaan membanggakan itu dikongsi pengurus pasukan dan para pemain yang telah membuktikan kelab kerdil seperti mereka mampu melakar kejutan dan bersaing pada aksi merebut piala berprestij di Eropah tersebut.

Kisah duka pula melanda kem pasukan yang sedang menungguli carta Liga Inggeris (EPL) iaitu Manchester City apabila harapan mereka tampak sukar untuk layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah apabila tewas 1-2 kepada Napoli di gelanggan lawan. Mereka perlu menang pada perlawanan terakhir menentang Bayern Munich di laman sendiri sambil mengharapkan tuah Napoli tewas kepada Villareal pada perlawanan lain peringkat kumpulan A.




Tuesday, August 16, 2011

Madrasah Ramadhan Menuju Transformasi Diri


Ramadhan kembali hadir menemui umat Islam di seluruh dunia. Sudah pasti amal kebajikan ingin diperhebat kerana bulan yang mulia ini menjanjikan pahala berlipat kali ganda. Bulan penuh barakah ini bukan sahaja melatih diri berlapar dahaga malah ia dijadikan satu madrasah mendidik diri melawan hawa nafsu juga proses mentranformasi diri menjadi insan bertakwa di sisi Allah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda "Awal Ramadahan itu rahmat, pertengahannya pengampunan dan pengakhirannya pembebasan azab seksa api neraka".


Dalil

Perintah kefardhuan berpuasa ke atas semua umat Islam selaras dengan firman Allah pada ayat 183 Surah Ali Imran iaitu mafhumnya "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa seperti mana kaum terdahulu daripada kamu diperintahkan berpuasa, mudah-mudahan kamu bertakwa".


Huraian

Allah s.w.t. memulakan ayat 183 Surah Ali Imran ini dengan berkata "wahai orang-orang yang beriman" untuk menunjukkan bahawa umat Islam yang berpuasa telah melakukan satu proses kepercayaan iaitu kepatuhan melaksanakan perintah Allah iaitu puasa sebagai salah satu rukun Islam. Pada ayat terakhir terdapat kalimah "la alla" yang bermaksud mudah-mudahan begitu signifikan untuk diperbahaskan. Allah s.w.t berfirman "mudah-mudahan kamu bertakwa".

Tingkat atau darjat ketakwaan ini sangat sukar dinilai kerana Allah sahaja yang Maha Mengetahui perihal keadaan hamba-hambaNya. Pelbagai definisi takwa diberi oleh para ulama. Kita melihat salah satunya iaitu ketika mana Saidina Umar r.a bertanya kepada sahabat Nabi Ubai bin Ka'ab "Wahai Ubai apakah yang kamu faham tentang takwa?". Ubai menjawab dengan persoalan kembali kepada Umar. "Ketika kamu berjalan di lorong-lorong di Mekah ini, apakah yang kamu lakukan?" Saidina Umar menjawab "Aku mengangkat kain bajuku kerana terdapat duri-duri di jalanan dan aku berjalan dengan penuh berhati-hati". Ubai lantas menjawab " Itulah wahai Umar yang dimaksudkan dengan takwa".

Oleh itu, proses mencapai level takwa di sisi Allah sangat lah tinggi pendakiannya. Akan tetapi ia tidak mustahil jika iltizam berterusan untuk mencapainya di sematkan di dalam sanubari kita selaku hambaNya. Rebutlah menambah amal ibadat kita di bulan Ramadhan seperti memperbanyakkan bacaan Al-Quran, solat terawih, qiamullail dan sebagainya.


Sekilas sejarah moden

Kita ingin melihat bagaimana dalam lipatan sejarah telah merakamkan seorang pemimpin bernama Habib Bourguiba yang menjadi Presiden pertama Republik Tunisia telah mengharamkan puasa keatas rakyatnya di zaman pemerintahannya sekitar tahun 1961.

Untuk menunjukkan ketegasan beliau dalam mengeluarkan perintah tersebut, beliau bersama menteri kabinetnya muncul di kaca telivisyen dengan mengadakan majlis makan beramai-ramai di dalam bulan puasa ketika itu. Begitu kejam dan jijik pemimpin ini. Sudah la tidak berpuasa, lebih teruk lagi melarang orang lain untuk berpuasa pada ketika itu. Nauzubillah...


Penutup

Kita mengharapkan madarasah Ramadhan tahun ini berjaya ditempuhi dengan penuh keikhlasan dan rendah diri sebagai hambaNya yang lemah. Semoga proses tranformasi diri kearah lebih baik menjadi kenyataan apabila berakhirnya bulan barakah ini. Jangan lah menjadi hamba yang berpuasa tetapi hanya mendapat pahala bertahan lapar dan dahaga sahaja. Itu perkara yang sangat merugikan bagi kita.

Wallahu a'alam..Selamat meneruskan ibadah puasa!


RnR
16 Ramadhan 1432/ 16 Ogos 2011
4.30 pm


Friday, April 15, 2011

BN bakal jatuh di Sarawak?


Pendahuluan

Kehangatan pilihan raya negeri Sarawak kali ke 10 telah memasuki fasa terakhir. Proses pembuangan undi yang dijadualkan pada 16 April (Sabtu) bakal menentukan kerajaan baru yang bakal dibentuk untuk membela nasib rakyat Sarawak ke arah lebih baik dan maju. Mungkinkah Barisan Nasional (BN) akan terus kekal berkuasa? Atau ada kejutan baru dalam sejarah politik bumi kenyalang ini dengan menyaksikan buat pertama kalinya parti oposisi iaitu Pakatan Rakyat (PR) bakal membentuk kerajaan baru Sarawak? Segala persoalan ini akan dipulangkan kepada seluruh rakyat Sarawak yang menjadi pengundi berdaftar bagi pilihan raya kali ini.


Pertembungan sengit

Pilihan raya kali ini menyaksikan seramai 213 calon yang sah bertanding selepas melalui proses penamaan calon. Ini merupakan rekod calon paling ramai dalam PRN Sarawak setakat ini. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mempunyai 71 kerusi secara keseluruhan dan menyaksikan buat pertama kalinya semua kerusi mempunyai pertandingan. BN bakal ditentang sengit oleh seteru utama mereka iaitu Pakatan Rakyat (PR) yang juga meletakkan calon di semua kerusi. Parti lain yang turut bertanding adalah SNAP, PCM dan Bebas.


Ketidakadilan & angin perubahan di Sarawak

Iklim politik Sarawak menampakkan perubahan yang drastik apabila rakyat Sarawak sudah mula bangkit bersuara mahukan perubahan. Selama 30 tahun di bawah pemerintahan BN, rakyat Sarawak masih dibelenggu kemiskinan, tahap keperluan asas yang mundur dan juga pembangunan yang hanya tinggal janji-janji kosong. Pelik! Negeri yang kaya dengan hasil mahsulnya seperti gas dan minyak, pembalakan dan lain-lagi menyaksikan rakyat Sarawak masih berada ditakuk lama. Ditambah pula, dengan tata kelola pentadbiran negeri yang tidak bersih, mengayakan kroni-kroni dan penyelewengan terhadap tanah orang adat (NCR). Justeru, rakyat Sarawak terutama di bandar sudah mula 'celik' terhadap penindasan dan ketidakadilan yang berlaku keatas mereka. Melihat konsistensi jumlah orang ramai yang membanjiri ceramah-ceramah PR sejak dari awal lagi menampakkan akan ada tanda-tanda BN tidak akan menang selesa. Itu lah yang membuatkan Dato Seri Najib 'terpaksa' berkampung selama 6 hari di Sarawak bagi memastikan BN tidak tumbang kepada pembangkang.


Petunjuk awal: BN bakal jatuh di Sarawak?

Fasa kempen telah melabuhkan tirai. Sudah pasti setiap parti-parti bertanding sudah mengeluarkan senjata terakhir mereka sebagai "buah tangan" kepada para pengundi. Desas-desus dari awal lagi mengatakan PR mampu menafikan 2/3 majoriti BN disokong dengan kajian dari Zentrum Future Studies (pusat penyelidikan bebas) menyatakan tahap sokongan PR buat masa ini 40 peratus berbanding BN 39 peratus. Manakala SNAP 17 peratus dan Bebas sebanyak 4 peratus. Zentrum juga membuat prediction atau jangkaan PR akan menang 28 kerusi, BN 27 kerusi, SNAP 13 kerusi dan Bebas 3 kerusi. Walaubagaimanapun, ini hanyalah petunjuk awal atau jangkaan sahaja kerana kajian Zentrum pernah tersasar apabila PR dikatakan akan menang majoriti tipis dalam PRK Hulu Selangor tetapi berlaku sebaliknya.

Laporan Zentrum juga mendapati PAS dijangka akan menang 3 dari 5 kerusi iaitu Beting Maro, Muara Tuang & Tanjung Datu. Selain itu, bacaan menarik menyaksikan Datuk Salleh Jafarudin mendahului Tan Sri Taib Mahmud bagi DUN Balingian dengan majoriti kecil.


Penutup

Sejarah baru politik Sarawak bakal tercipta sekiranya BN kehilangan kuasa majoriti 2/3 DUN dan lebih-lebih lagi jika mereka tewas pada pilihan raya kali ini. Kuasa rakyat kuasa keramat! Rakyat yang akan menentukan pemimpin yang mampu memperjuangkan hak-hak mereka seterusnya membawa perubahan yang progresif kepada negeri. Harapan baru buat Sarawak!


Tuesday, March 15, 2011

Sekitar Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 2

Pada hujung minggu yang lepas iaitu tanggal 12 Mac 2011 bersamaan hari Sabtu berlangsung Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional kali ke 2 bertempat di Pusat Konvensyen KUIS. Pelbagai aktiviti menarik disusun buat seluruh hadirin yang hadir. Antaranya ialah perlantikan Pengerusi MPMN 2011, cadangan usul kepada kepimpinan mahasiswa nasional & pidato pemimpin negara.
Golongan mahasiswa antara kelompok yang menyerikan dan membanjiri majlis ini. Mahasiswa yang hadir ke program tersebut terdiri daripada pelbagai kampus IPTA/S dan IPG seluruh Malaysia.

Penulis sedang menyampaikan ucapan penangguhan MPMN sesi 2010


Menyarungkan kot kepada saudara Syahid (Pengerusi MPMN 2011) sebagai simbolik penyerahan tugas..


Bersama rakan seperjuangan Zulfadhli Al Fahmi


Gambar kenangan sebelum pulang...

Thursday, February 24, 2011

Pro-M kembali tawan UM


Pro-Mahasiswa (Pro-M) kembali menjadi 'kerajaan' di Universiti Malaya apabila menguasai 23 daripada 41 kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) sesi 2010/2011 pada pilihan raya kampus baru-baru ini.

Bumi Akademi Pengajian Melayu (APM) menjadi saksi teriakan rasa kesyukuran dan gembira para calon yang bertanding, penyokong serta aktivis Pro-Mahasiswa sebaik sahaja pengumuman kemenangan berkumandang. Laungan takbir dan "Student Power!" antara yang menghiasi sambutan kemenangan kem Pro-Mahasiswa pada waktu itu.


Kejutan & Peningkatan Penguasaan Kerusi

Pilihan raya kampus kali ini menyaksikan peningkatan yang baik apabila Pro-M menyapu bersih 9 kerusi Umum dan 14 kerusi fakulti berbanding 8 kerusi Umum dan 9 kerusi fakulti pada tahun lalu. Secara keseluruhan, Pro-M menguasai 23 kerusi, Penggerak Mahasiswa mendapat 16 kerusi dan Bebas hanya 2 kerusi. Ini sekaligus menyaksikan Pro-Mahasiswa mempunyai kekuatan untuk membentuk kabinet MPMUM dengan 'simple majority'. Keputusan ini juga dianggap luar jangkaan kerana apabila melihat kekuatan di atas kertas Pro-M hanya menghantar 27 orang calon secara keseluruhan berbanding seteru utama Penggerak Mahasiswa dengan 33 orang calon.


Statistik & Peratusan Turun Mengundi

Peratusan jumlah turun mengundi yang dicatatkan hanya 67.11% dengan fakta nombor jumlah yang turun mengundi hanya 9193 orang daripada jumlah keseluruhan pengundi berstatus aktif seramai 13,699 orang. Peratusan ini dianggap hampir sama dengan sesi yang lalu dengan 63% sahaja yang turun mengundi. Ini membuktikan masih ramai mahasiswa UM yang kurang kesedaran dalam politik kampus seterusnya cakna dalam memilih kepimpinan mereka bagi kerusi MPMUM.


Sistem 4E & Penafian Hak Mahasiswa

Pilihan raya kampus UM kali ini terus mengekalkan sistem e-undi disamping menambah 3E lagi iaitu e-calon, e-bantahan dan e-rayuan yang menyaksikan sistem ini terus digunakan oleh HEPA UM tanpa saluran 'demokarasi' iaitu mendapat persetujuan seluruh mahasiswa. Sistem e-undi ini jelas tidak telus apabila setiap undi tidak lagi rahsia kerana sistem boleh 'detect' atau mengenal pasti dengan mudah pengundi memilih siapa dalam proses membuang undi. Selain itu, sistem ini juga boleh terdedah kepada manipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh kerana itu, pihak Pro-Mahasiswa konsisten memperjuangkan proses pengundian harus kembali kepada sistem manual iaitu memilih calon menggunakan kertas undi secara tradisi. Walaupun menang melalui sistem e-undi ini ia tidak bermakna perjuangan menghapuskan sistem ini menemui titik noktah.

Jika dilihat sewaktu proses penamaan calon, Pro-Mahasiswa pada mulanya diuji dengan 6 orang calon diisytihar 'tidak layak bertanding' apabila bermasalah dengan syarat wajib menghadiri sesi taklimat pentadbiran UM. Tetapi, Pro-M terpaksa akur dengan keputusan jawatankuasa induk hanya menerima semula 4 daripada 6 orang calon selepas beberapa aksi protes di hadapan bangunan HEP. Ini sekaligus menafikan hak mahasiswa untuk sama menyumbang dalam proses demokrasi kampus.

Pilihan raya kampus kali ini juga 'panas' apabila seorang calon Umum, saudari Masturah Abu bakar dilaporkan hilang ketika berkempen di luar kampus. Status kehilangannya terus misteri dan masih di dalam siasatan pihak polis. Walaubagaimanpun, Masturah ditemui semula dalam keadaan selamat tetapi tidak bermaya di Bangi selepas 30 jam dilaporkan hilang.


Penutup

Dalam menempuh cabaran berliku, sekatan dan kezaliman, Pro-Mahasiswa mampu tampil mengisi dan menawan hati para pengundi (mahasiswa UM) sekaligus dipilih untuk memimpin kampus Universiti Malaya. Kemenangan Pro-Mahasiswa pada pilihan raya kampus kali ini dianggap signifikan setelah suara majoriti mahasiswa diketepikan sejak pilihan raya lalu. Justeru, mengisi kemenangan satu amanah yang besar untuk membalas kepercayaan pengundi dan seluruh masyarakat kampus sekaligus membuktikan kematangan idealisme, intelektualisme dan aktivisme terus subur dalam diri mahasiswa. Student Power!!!

Tuesday, February 22, 2011

Bob Lokman sertai PAS


1) Selebriti @ artis terkenal tanah air, Bob Lokman membuat kejutan menyertai PAS baru-baru ini sewaktu program perhimpunan 30,000 Pemuda PAS di Kota Sarang Semut, Kedah.

2) Beliau menyerahkan borang ahli PAS kepada YAB Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Razak pada program tersebut.

3) Apabila ditanya mengapa menyertai PAS? Beliau dengan rendah diri menjawab "Saya hendak mendidik anak-anak engan nilai-nilai Islam. Saya rasa ada masalah dalam sistem kehidupan & saya masuk tempat yang ada "jemaah" & saya akan selamat". Beliau juga menyatakan keinsafan menegakkan Islam satu perkara yang wajib.

4) Secara peribadi, saya kagum dengan semangat & azam yang ditunjukkan abang Bob Lokman. Ini juga adalah hidayah dari Allah yang menyedarkan beliau akan tanggungjawab ada pada diri seterusnya keluarga, anak-anak dan agama.

5) Kita mengharapkan lebih ramai lagi artis, penggiat seni atau sesiapa sahaja kembali mengahyati erti Islam yang sebenar. Janganlah hanya nyatakan Islam di bibir sahaja tetapi akhlak, amalan, tindak-tanduk serta penghayatan terhadap Islam tiada dalam kamus diri kita sebagai hamba Allah yang hina di muka bumi ini. Mudah-mudahan kita sentiasa dalam keredhaan Allah.

Thursday, February 17, 2011

Salam Maulidur Rasul




Hosni Mubarak 'tunduk' dengan kuasa rakyat



1) Hosni Mubarak akhirnya tunduk dengan kuasa rakyat. Itu lah yang boleh diperkatakan setelah 18 hari rakyat Mesir bangkit bersuara dengan turun ke jalan memprotes beliau supaya berundur dari kerusi "Presiden".

2) Mesir kini di bawah pemerintahan tentera sementara menunggu proses membentuk kerajaan baru.

3) Setiap kerajaan@pemerintah dunia jangan terlalu sombong dengan kuasa yang ada. Kuasa seharusnya digunakan untuk membantu dan membela nasib rakyat seterusnya membawa negara ke arah yang lebih baik.

4) Telah terbukti dalam lipatan sejarah, pemimpin yang sombong dan angkuh akhirnya tumbang & tersungkur seperti Firaun. Oleh itu, ingatlah wahai pemimpin sekalian "Yang menentukan anda diangkat menjadi pemimpin adalah rakyat"...Jadilah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat...Kuasa rakyat kuasa keramat!



Monday, February 7, 2011

Kuliah Siri 1 (Akhlak Nabi)




1) Surah Al-Ahzab: Ayat 40

Hujah: Rasulullah s.a.w. pentup segala Nabi


2) Surah Al-Zukhruf: Ayat 61

Nabi Isa turun ke dunia menjelang kiamat menyambung risalah yang ditinggalkan Rasulullah


3) Surah Al-Taubah: Ayat 33

Nabi diutus kedunia untuk beri bimbingan, petunjuk, pimpinan yang betul/terbaik


4) Surah Al-Qalam: Ayat 4

Allah memuji Nabi mempunyai akhlak yang agung


5) Aisyah ditanya, apakah akhlak Nabi?

Akhlak Nabi adalah al-Quran..(dengar tafsirannya)


6) Surah Al-Ahzab: Ayat 21

Nabi Muhammad s.a.w adalah contoh teladan yang terbaik..

-Bercakap kemudian beramal


7) Apakah akhlak?

Akhlak ialah:-

-Kelakuan/tabiat/watak

-sifat-sifat yang bersemadi dalam jiwa seseorang

Thursday, January 27, 2011

PRK N5 Tenang: Milik Siapa?


Kempen PRK Dun Tenang semakin panas apabila kedua-dua parti bertanding menggunakan senjata masing-masing untuk menawan hati pengundi di kawasan itu. Kerusi Tenang kosong ekoran kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil. PRK Tenang kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara PAS dan BN. PAS dan Pakatan Rakyat mempertaruhkan calon bekas guru iaitu Normala Sudirman manakala BN pula diwakili oleh bekas ADO iaitu Mohd Azahar Ibrahim.


Isu 'panas' sekitar Hari Berkempen

Barisan Nasional (BN) memulakan kempen dengan menyerang calon PAS melalui isu berjabat tangan. Mereka mendakwa calon PAS, Normala Sudirman 'tidak mesra' rakyat pabila tidak bersalam dengan lelaki baik yang muslim dan non-muslim. Isu ini tercetus apabila Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek mempertikaikan prinsip calon PAS itu yang tidak bersalam dengan lelaki. Ini menyaksikan para pemimpin bukan Islam dalam Pakatan Rakyat menjawab sendiri dengan bijak tuduhan Presiden MCA itu. Isu ini juga mendapat reaksi hebat Ketua DHPP Pusat, Hu Pang Chaw yang mencabar MCA berdebat secara terbuka isu berjabat tangan/negara Islam. Alhamdulillah..manisnya dakwah dalam PR..Harap ia berkekalan selamanya =)

PAS juga tidak kurang hebatnya apabila menggunakan senjata yang sama dengan mendakwa calon BN, Azahar Ibrahim pernah berlaku cuai sewaktu beliau menjadi penolong pegawai daerah (ADO) yang pernah mengakibatkan sebidang tanah dilelong dan beliau juga pernah disaman oleh pembeli tanah tersebut. Azahar dengan nada selamba "Kita gentleman. Kita akan teruskan aktiviti kempen tanpa mengikut rentak pembangkang". Betuk ke ni??? Jangan sampai takut dek bayang-bayang sendiri sudah.


Kekuatan Calon & Parti Bertanding

Waktu berkempen tinggal 3 hari lagi. Pembuangan undi yang dijadualkan 30 Januari ini masih menjadi teka-teki kerana peluang PAS dan BN masih seimbang walaupun umum menyedari Tenang merupakan kubu kuat UMNO/BN. Seramai 14,753 pengundi biasa dan 18 pengundi pos layak memilih Adun Tenang. UMNO/BN sudah pasti menaruh kepercayaan kepada pengundi Melayu terutama peneroka FELDA untuk memastikan mereka kekal di kubu kuat mereka ini. Tetapi, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang awal-awal lagi telah menyatakan FELDA buka lagi talian hayat UMNO/BN. Kita sama-sama saksikan nanti =)

Jika dilihat kepada aspek calon pula, Azahar Ibrahim (BN) yang merupakan bekas ADO dan bendahari Pemuda UMNO Labis tampak gah untuk menawan hati pengundi. Status beliau juga sebagai anak kepada bekas wakil rakyat yang juga ayahnya iaitu Ibrahim Daud pernah meninggalkan legasi sekitar 1999-2004. Bagi calon PAS pula, Normala Sudirman tidak boleh dipertikaikan dari sudut kehebatannya sebagai bekas guru. Dengan berbekalkan status seorang guru, beliau sudah pasti dikenali sebahagian besar pengundi di Tenang. Beliau yang juga dilantik sebagai Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tenang dan juga Ketua Muslimat PAS Labis sudah pasti menjadi 'modal besar' untuk dikenali oleh masyarakat sekitar kawasan itu sekaligus berpontensi mencabar calon BN dalam merebut kerusi Dun Tenang.


Penutup

Apa pun andaian dari pelbagai pihak terhadap PRK Tenang ini, jawapannya sudah pasti ada ditangan setiap pengundi berdaftar Dun Tenang. Mereka yang bakal menentukan siapa yang layak mewakili mereka sebagai ADUN. Kita tunggu dan lihat pada 30 Januari ini. Sama-sama kita nantikan debarannya.

Buku Jingga: Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia


Program 100 Hari Pakatan Rakyat (PR)

Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan.

Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari PR mendapat rakyat, PR akan melaksanakan program berikut:


1) Mereformasikan institusi SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

2) Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

3) Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.

4) Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampang perbelanjaan subsidi rakyat.

5) Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.

6) Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

7) Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

8) Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

9) Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.

10) Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.


NEGARA DALAM KRISIS!!!

Rakyat Terus Dibebankan...


2.6% purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000-2010 berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara miskin).

4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.

34% dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran di bawah paras kemiskinan.

40% dari rakyat Malaysia berada dala lingkungan isi rumah yang berpendapatan kurang RM1500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia.

75% dari keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputera.

RM466 bilion hutang peribadi yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia.

Wednesday, January 12, 2011

Malaysia Juara Piala AFF Suzuki Edisi 2010


Malaysia menutup diari 2010 dengan cemerlang apabila skuad bola sepak negara berjaya menjulang Piala AFF Suzuki 2010 buat kali pertama yang menyaksikan Malaysia menewaskan pasukan Sang Garuda Indonesia dengan agregat 4-2.

Skuad Harimau Malaya yang dipimpin oleh K.Rajagopal seharusnya dipuji kerana perjuangan para pemain pada permulaan hingga akhir kejohanan tampak bersungguh-sungguh. Usaha itu ternyata berbaloi apabila mereka berjaya membawa pulang piala idaman itu yang menjadi rebutan setiap pasukan di rantau Asia Tenggara.

Pada kejohanan itu juga menyaksikan Safee Sali dinobatkan peledak berbisa kejohanan dengan mengungguli jaringan 5 gol menewaskan pencabar terdekatnya iaitu Christian Gonzalez dari Indonesia dengan 3 gol.

Saya secara peribadi sebagai salah seorang peminat sukan bola sepak sangat berbangga dengan kejayaan skuad muda negara ini kerana telah mengikuti perkembangan skuad ini dibentuk dari awal lagi. Saya sangat berharap para pemain tidak dibuai dengan kejayaan manis ini ditambah dengan insentif bagaikan 'durian runtuh' oleh semua pihak. Mereka seharusnya terus meningkatkan prestasi, skill individu serta kesefahaman di atas padang sebagai satu pasukan jika ingin terus membawa Malaysia menempa kejayaan yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Buat pengurusan FAM mahupun kerajaan, sudah tiba masanya pelaburan serta perancangan rapi harus dirangka dan dilaksana untuk memastikan pembangunan bola sepak negara terus berada pada tahap terbaik dan yang lebih penting lagi kita mahukan Malaysia kembali digeruni oleh pasukan lain seperti era 80-an dahulu.

Harimau Malaya Boleh!!!