Thursday, February 24, 2011

Pro-M kembali tawan UM


Pro-Mahasiswa (Pro-M) kembali menjadi 'kerajaan' di Universiti Malaya apabila menguasai 23 daripada 41 kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) sesi 2010/2011 pada pilihan raya kampus baru-baru ini.

Bumi Akademi Pengajian Melayu (APM) menjadi saksi teriakan rasa kesyukuran dan gembira para calon yang bertanding, penyokong serta aktivis Pro-Mahasiswa sebaik sahaja pengumuman kemenangan berkumandang. Laungan takbir dan "Student Power!" antara yang menghiasi sambutan kemenangan kem Pro-Mahasiswa pada waktu itu.


Kejutan & Peningkatan Penguasaan Kerusi

Pilihan raya kampus kali ini menyaksikan peningkatan yang baik apabila Pro-M menyapu bersih 9 kerusi Umum dan 14 kerusi fakulti berbanding 8 kerusi Umum dan 9 kerusi fakulti pada tahun lalu. Secara keseluruhan, Pro-M menguasai 23 kerusi, Penggerak Mahasiswa mendapat 16 kerusi dan Bebas hanya 2 kerusi. Ini sekaligus menyaksikan Pro-Mahasiswa mempunyai kekuatan untuk membentuk kabinet MPMUM dengan 'simple majority'. Keputusan ini juga dianggap luar jangkaan kerana apabila melihat kekuatan di atas kertas Pro-M hanya menghantar 27 orang calon secara keseluruhan berbanding seteru utama Penggerak Mahasiswa dengan 33 orang calon.


Statistik & Peratusan Turun Mengundi

Peratusan jumlah turun mengundi yang dicatatkan hanya 67.11% dengan fakta nombor jumlah yang turun mengundi hanya 9193 orang daripada jumlah keseluruhan pengundi berstatus aktif seramai 13,699 orang. Peratusan ini dianggap hampir sama dengan sesi yang lalu dengan 63% sahaja yang turun mengundi. Ini membuktikan masih ramai mahasiswa UM yang kurang kesedaran dalam politik kampus seterusnya cakna dalam memilih kepimpinan mereka bagi kerusi MPMUM.


Sistem 4E & Penafian Hak Mahasiswa

Pilihan raya kampus UM kali ini terus mengekalkan sistem e-undi disamping menambah 3E lagi iaitu e-calon, e-bantahan dan e-rayuan yang menyaksikan sistem ini terus digunakan oleh HEPA UM tanpa saluran 'demokarasi' iaitu mendapat persetujuan seluruh mahasiswa. Sistem e-undi ini jelas tidak telus apabila setiap undi tidak lagi rahsia kerana sistem boleh 'detect' atau mengenal pasti dengan mudah pengundi memilih siapa dalam proses membuang undi. Selain itu, sistem ini juga boleh terdedah kepada manipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh kerana itu, pihak Pro-Mahasiswa konsisten memperjuangkan proses pengundian harus kembali kepada sistem manual iaitu memilih calon menggunakan kertas undi secara tradisi. Walaupun menang melalui sistem e-undi ini ia tidak bermakna perjuangan menghapuskan sistem ini menemui titik noktah.

Jika dilihat sewaktu proses penamaan calon, Pro-Mahasiswa pada mulanya diuji dengan 6 orang calon diisytihar 'tidak layak bertanding' apabila bermasalah dengan syarat wajib menghadiri sesi taklimat pentadbiran UM. Tetapi, Pro-M terpaksa akur dengan keputusan jawatankuasa induk hanya menerima semula 4 daripada 6 orang calon selepas beberapa aksi protes di hadapan bangunan HEP. Ini sekaligus menafikan hak mahasiswa untuk sama menyumbang dalam proses demokrasi kampus.

Pilihan raya kampus kali ini juga 'panas' apabila seorang calon Umum, saudari Masturah Abu bakar dilaporkan hilang ketika berkempen di luar kampus. Status kehilangannya terus misteri dan masih di dalam siasatan pihak polis. Walaubagaimanpun, Masturah ditemui semula dalam keadaan selamat tetapi tidak bermaya di Bangi selepas 30 jam dilaporkan hilang.


Penutup

Dalam menempuh cabaran berliku, sekatan dan kezaliman, Pro-Mahasiswa mampu tampil mengisi dan menawan hati para pengundi (mahasiswa UM) sekaligus dipilih untuk memimpin kampus Universiti Malaya. Kemenangan Pro-Mahasiswa pada pilihan raya kampus kali ini dianggap signifikan setelah suara majoriti mahasiswa diketepikan sejak pilihan raya lalu. Justeru, mengisi kemenangan satu amanah yang besar untuk membalas kepercayaan pengundi dan seluruh masyarakat kampus sekaligus membuktikan kematangan idealisme, intelektualisme dan aktivisme terus subur dalam diri mahasiswa. Student Power!!!

No comments: