Friday, July 30, 2010

Saja Nak Kongsi : Mesti Lihat!!!

video

Video Ringkas Ceramah Isu Semasa oleh YB Saifudin Nasution

Sunday, July 25, 2010

Pemimpin : Hebat bicara atau hebat baktinya?


Menjadi seorang pemimpin yang baik dan diterima oleh orang lain bukan perkara yang mudah. Seorang pemimpin itu harus mempunyai sifat adil, berintegriti, rendah diri dan sedia berkhidmat untuk orang lain (bawahan).

Sebagai seorang pemimpin, anda tidak hanya pandai bercakap dan memberi arahan kepada orang bawahan anda tetapi perlu bersedia mempunyai sikap memberi khidmat kepada orang lain.

Adakah anda mahu menjadi seorang pemimpin yang mempunyai kuasa atau power??? Ataupun adakah anda didorong oleh perasaan mahu membantu orang lain???

Jika anda mahu orang lain berkhidmat untuk anda dan bukan sebaliknya, ikutilah nasihat berikut :

1) Berhenti memberi arahan dan mula mendengar.

2) Berhenti mengejar pangkat dan mula membantu orang lain.

3) Berhenti mementingkan agenda sendiri dan mula berkhidmat untuk orang lain.

Saya tinggalkan perkongsian ini dengan kata-kata motivasi yang diungkapkan oleh Eugene B. Habecker :

" Pemimpin sebenar berkhidmat bagi kepentingan orang lain. Oleh itu, mereka tidak mungkin selalunya popular dan dihormati. Tetapi mereka masih sanggup melakukannya kerana didorong oleh rasa belas kasihan yang ikhlas, bukannya bagi dianggap mulia "


Sekadar perkongsian


Kerjasama UMNO-PAS : Realiti atau Fantasi???



Isu kejasama UMNO-PAS muncul kembali diperkatakan di media-media mahupun di kalangan khalayak umum. Isu ini bukan baru tetapi kalau boleh diibaratkan seperti berita yang sudah lali terdengar di telinga semua pihak.

1. Mengikut sejarah, UMNO-PAS pernah bekerjasama untuk membentuk kerajaan pada tahun 1977 tetapi tidak kekal lama.

2. UMNO sekali lagi mahu bekerjasama dengan PAS selepas kekalahan teruk pada PRU-12 tahun 2008 yang menyaksikan parti oposisi (PR) berjaya menafikan kuasa 2/3 majoriti di Parlimen. Pada kali ini menggunakan istilah 'muzakarah' tetapi juga gagal kerana PAS memilih untuk setia 'bertahalluf siyasi' bersama PKR dan DAP.

3. Dato' Tuan Guru Nik Aziz tetap dengan pendirian beliau sekiranya UMNO mahu bergabung dengan PAS, mereka perlu tukar dasar kepada Islam. Itu sahaja! Beliau tidak mahu dasar Islam dalam pemerintahan sesebuah kerajaan tercemar dan dipinggirkan.

4. Pada minggu lepas, isu ini sekali lagi timbul setelah perkara tersebut disuarakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mahukan UMNO-PAS bekerjasama demi kepentingan orang Melayu dan Islam di Malaysia.

5. Di peringkat akar umbi yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat berpandangan mereka mahukan isu ini menjadi realiti. Para pemimpin UMNO-PAS perlu duduk semeja berbincang secara terbuka.

6. Pandangan peribadi saya, kerjasama ini ada kebaikan dan keburukannya. Fundementalnya ialah kedua-dua parti harus jujur dan amanah sekiranya perjanjian dilakukan kedua-dua pihak selari tuntutan juga prinsip dalam Islam. Jangan pandai berbicara, tapi aspek praktikal atau amalan sungguh mengecewakan. Setiap pemimpin perlu ingat bahawa anda naik menjadi pemimpin melalui kuasa dan amanah rakyat berikan. Jangan lah memungkiri janji itu. Pemimpin juga harus kritikal memikirkan masa depan negara Malaysia ini agar terus hidup aman dan sejahtera selari dengan tuntutan syariat Allah.

7. Justeru, kita menanti adakah isu ini menjadi realiti atau terus fantasi.


Sekadar pandangan

Wednesday, July 7, 2010

Selamat Menempuh Alam Kampus!

Pendahuluan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua mahasiswa baru IPTA dan IPTS sesi akademik yang baru bagi kampus seluruh negara. Sekalung penghargaan dan tahniah kerana berjaya menempatkan diri ke menara gading.

Alam kampus baru bermula. Harapan menggunung tinggi daripada ibubapa dan keluarga tergalas di bahu masing-masing untuk berjaya dalam pengajian kelak. Mahasiswa baru perlu bersedia menempuh cabaran dalam manimba ilmu pada masa kini yang penuh dengan liku-liku berduri.


Mahasiswa dan Perjuangan Menuntut Ilmu

Sukarno pernah berkata “ Berikan aku sepuluh orang pemuda, nescaya aku akan goncangkan dunia”. Madah motivasi ini perlu tersemat di dalam sanubari setiap mahasiswa yang juga golongan muda untuk memacu potensi diri kearah kecemerlangan dalam kehidupan. Sosok tubuh orang muda kaya dengan idea dan inovasi baru perlu selari dengan ilmu di dada agar memenuhi tuntutan menuntut ilmu.

Penggalian dan kembara ilmu di menara gading perlu dijadikan matlamat utama bagi setiap mahasiswa. Antara ilmu-ilmu yang perlu menjadi fokus golongan mahasiswa hari ini untuk diterokai adalah sejarah dan tamadun, teknologi maklumat, ekonomi, undang-undang dan perlembagaan, politik dan sebagainya.

Ilmu yang dikutip di bilik-bilik kuliah perlu juga ditambah dengan ilmu-ilmu tambahan seperti kemahiran berpersatuan, kegiatan khidmat masyarakat, kemahiran komunikasi dan sebagainya agar menjadi nilai tambah kepada pembangunan diri. Sudah pasti lambakan anasir negatif abad moden ini akan menjadi tembok penghalang impian tersebut. Budaya tradisi 3K di kalangan mahasiswa iaitu kuliah, kafe dan katil tidak harus dijadikan amalan seharian sekiranya mahu menjadi mahasiswa yang benar-benar berjaya dan berkualiti.


Mahasiswa sebagai “Jurubicara Ummah”

Menjadi insan terpilih menjengah gerbang ilmu perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh mahasiswa agar menyumbang dalam pembangunan ummah bertamadun. Mahasiswa perlu kembali kepada title yang sudah sebati dengan diri mereka sebagai jurubicara ummah. Masyarakat sivil di luar sana menanti kehadiran golongan intelektual seperti mahasiswa untuk menabur bakti dan mencurah ilmu kepada mereka.

Mengungkap kata-kata Bapak Mohd Natsir seorang cendekiawan Indonesia iaitu “Bisa ada percetakan yang mampu mencetak pemimpin, pemimpin tidak lahir dari bilik kuliah, tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan di dokong oleh umat”. Nah, sudah pasti mahasiswa yang ingin menjadi seorang pemimpin yang matang perlu berada di tengah-tengah masyarakat untuk memimpin mereka.

Dalam kamus gerakan mahasiswa era 70-an pernah terlakar apabila mahasiswa memimpin rakyat dalam Peristiwa Baling 1974 yang menyaksikan perjuangan pada waktu itu adalah menuntut keadilan sosial. Mahasiswa juga benar-benar berfungsi menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan dengan lantang meyuarakan pendapat di samping konsisten memperjuangkan nasib rakyat. Semangat dan idealisme perjuangan ini lah yang perlu dijadikan teladan untuk menjadi seorang mahasiswa yang benar-benar matang dan berkualiti.


Penutup

Segulung ijazah pada hari ini tidak bermakna sekiranya mahasiswa tidak mempersiapkan diri dengan ilmu untuk memimpin masyarakat. Lambakan kebobrokan sosial yang melanda golongan remaja perlu menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk ditangani dengan segera. Justeru, mahasiswa disaran memanfaatkan peluang menimba ilmu dan pengalaman di kampus untuk menyumbang kearah pembangunan agama, bangsa dan negara.



Mohd Fadzil Jamal

Timb. Pengerusi MPMN