Tuesday, August 16, 2011

Madrasah Ramadhan Menuju Transformasi Diri


Ramadhan kembali hadir menemui umat Islam di seluruh dunia. Sudah pasti amal kebajikan ingin diperhebat kerana bulan yang mulia ini menjanjikan pahala berlipat kali ganda. Bulan penuh barakah ini bukan sahaja melatih diri berlapar dahaga malah ia dijadikan satu madrasah mendidik diri melawan hawa nafsu juga proses mentranformasi diri menjadi insan bertakwa di sisi Allah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda "Awal Ramadahan itu rahmat, pertengahannya pengampunan dan pengakhirannya pembebasan azab seksa api neraka".


Dalil

Perintah kefardhuan berpuasa ke atas semua umat Islam selaras dengan firman Allah pada ayat 183 Surah Ali Imran iaitu mafhumnya "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa seperti mana kaum terdahulu daripada kamu diperintahkan berpuasa, mudah-mudahan kamu bertakwa".


Huraian

Allah s.w.t. memulakan ayat 183 Surah Ali Imran ini dengan berkata "wahai orang-orang yang beriman" untuk menunjukkan bahawa umat Islam yang berpuasa telah melakukan satu proses kepercayaan iaitu kepatuhan melaksanakan perintah Allah iaitu puasa sebagai salah satu rukun Islam. Pada ayat terakhir terdapat kalimah "la alla" yang bermaksud mudah-mudahan begitu signifikan untuk diperbahaskan. Allah s.w.t berfirman "mudah-mudahan kamu bertakwa".

Tingkat atau darjat ketakwaan ini sangat sukar dinilai kerana Allah sahaja yang Maha Mengetahui perihal keadaan hamba-hambaNya. Pelbagai definisi takwa diberi oleh para ulama. Kita melihat salah satunya iaitu ketika mana Saidina Umar r.a bertanya kepada sahabat Nabi Ubai bin Ka'ab "Wahai Ubai apakah yang kamu faham tentang takwa?". Ubai menjawab dengan persoalan kembali kepada Umar. "Ketika kamu berjalan di lorong-lorong di Mekah ini, apakah yang kamu lakukan?" Saidina Umar menjawab "Aku mengangkat kain bajuku kerana terdapat duri-duri di jalanan dan aku berjalan dengan penuh berhati-hati". Ubai lantas menjawab " Itulah wahai Umar yang dimaksudkan dengan takwa".

Oleh itu, proses mencapai level takwa di sisi Allah sangat lah tinggi pendakiannya. Akan tetapi ia tidak mustahil jika iltizam berterusan untuk mencapainya di sematkan di dalam sanubari kita selaku hambaNya. Rebutlah menambah amal ibadat kita di bulan Ramadhan seperti memperbanyakkan bacaan Al-Quran, solat terawih, qiamullail dan sebagainya.


Sekilas sejarah moden

Kita ingin melihat bagaimana dalam lipatan sejarah telah merakamkan seorang pemimpin bernama Habib Bourguiba yang menjadi Presiden pertama Republik Tunisia telah mengharamkan puasa keatas rakyatnya di zaman pemerintahannya sekitar tahun 1961.

Untuk menunjukkan ketegasan beliau dalam mengeluarkan perintah tersebut, beliau bersama menteri kabinetnya muncul di kaca telivisyen dengan mengadakan majlis makan beramai-ramai di dalam bulan puasa ketika itu. Begitu kejam dan jijik pemimpin ini. Sudah la tidak berpuasa, lebih teruk lagi melarang orang lain untuk berpuasa pada ketika itu. Nauzubillah...


Penutup

Kita mengharapkan madarasah Ramadhan tahun ini berjaya ditempuhi dengan penuh keikhlasan dan rendah diri sebagai hambaNya yang lemah. Semoga proses tranformasi diri kearah lebih baik menjadi kenyataan apabila berakhirnya bulan barakah ini. Jangan lah menjadi hamba yang berpuasa tetapi hanya mendapat pahala bertahan lapar dan dahaga sahaja. Itu perkara yang sangat merugikan bagi kita.

Wallahu a'alam..Selamat meneruskan ibadah puasa!


RnR
16 Ramadhan 1432/ 16 Ogos 2011
4.30 pm