Wednesday, January 12, 2011

Malaysia Juara Piala AFF Suzuki Edisi 2010


Malaysia menutup diari 2010 dengan cemerlang apabila skuad bola sepak negara berjaya menjulang Piala AFF Suzuki 2010 buat kali pertama yang menyaksikan Malaysia menewaskan pasukan Sang Garuda Indonesia dengan agregat 4-2.

Skuad Harimau Malaya yang dipimpin oleh K.Rajagopal seharusnya dipuji kerana perjuangan para pemain pada permulaan hingga akhir kejohanan tampak bersungguh-sungguh. Usaha itu ternyata berbaloi apabila mereka berjaya membawa pulang piala idaman itu yang menjadi rebutan setiap pasukan di rantau Asia Tenggara.

Pada kejohanan itu juga menyaksikan Safee Sali dinobatkan peledak berbisa kejohanan dengan mengungguli jaringan 5 gol menewaskan pencabar terdekatnya iaitu Christian Gonzalez dari Indonesia dengan 3 gol.

Saya secara peribadi sebagai salah seorang peminat sukan bola sepak sangat berbangga dengan kejayaan skuad muda negara ini kerana telah mengikuti perkembangan skuad ini dibentuk dari awal lagi. Saya sangat berharap para pemain tidak dibuai dengan kejayaan manis ini ditambah dengan insentif bagaikan 'durian runtuh' oleh semua pihak. Mereka seharusnya terus meningkatkan prestasi, skill individu serta kesefahaman di atas padang sebagai satu pasukan jika ingin terus membawa Malaysia menempa kejayaan yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Buat pengurusan FAM mahupun kerajaan, sudah tiba masanya pelaburan serta perancangan rapi harus dirangka dan dilaksana untuk memastikan pembangunan bola sepak negara terus berada pada tahap terbaik dan yang lebih penting lagi kita mahukan Malaysia kembali digeruni oleh pasukan lain seperti era 80-an dahulu.

Harimau Malaya Boleh!!!

No comments: