Saturday, November 26, 2011

Siasah Syar'iyyah Satu Pengenalan

Pengenalan

Di Malaysia, istilah Siasah Syar'iyyah telah menjadi suatu istilah yang biasa didengar sejak kebelakangan ini. Hal ini sedikit sabanyak telah disumbangkan melalui kewujudan parti politik muslim. Maka pihak-pihak yang bertentangan cuba mengaitkan agenda mereka selaras dengan siasah syar'yyah. Secara tidak langsung istilah ini menjadi sebutan kerana ia berkait rapat dengan politik. Perkembangan ini boleh membantu lahirnya minat daripada pelbagai pihak bagi mengenali siasah syar'iyyah.


Definisi Siasah Dari Segi Bahasa

Perkataan siasah adalah kata terbitan (masdar) daripada kata dasar sasa-yasusu yang membawa pengertian yang pelbagai. Antaranya ialah mengendalikan sesuatu urusan dan mentadbirnya dengan baik. Apabila disebut Sasa al-Amr Siasah ia bermaksud melakukan sesuatu tindakan yang menguntungkan atau mendatangkan kabaikan sama ada dengan cara memimpin, menjaga keperluan atau membantu dan sebagainya.

Dalam menentukan bahasa asal perkataan siasah ahli bahasa Arab tidak sependapat. Al-Maqrizi misalnya menyatakan dalam kitabnya "al-Khutat" perkataan siasah bukan perkataan Arab tetapi perkataan Monggol kemudian telah diubah oleh ahli bahasa Mesir dari Yasah kepada Siasah. Seterusnya, menurut Abd Al Ahmad Utwah yang rajihnya ia dari perkataan Arab.


Definisi Syar'iyyah Dari Segi Bahasa

Syar'yyah diambil daripada lafaz (شرع). Ia menjelaskan tentang sesuatu yang disandarkan kepada syarak dan menerima sebagai sesuatu yang sah. Secara literalnya, syar'iyyah bermaksud sesuatu yang sah di sisi syarak.


Definisi Siasah Syar'iyyah Dari Segi Istilah

Menurut Abd 'Al ahmad Utwah: Membezakan antara siasah yang bersifat Syar'iyyah dengan siasah yang bersifat wad'iyyah (ciptaan manusia).

Secara rumusan, definisi siasah syar'iyyah terbahagi kepada dua:-


1) Siasah Syar'iyyah sebagai metod penentuan hukum di bawah bidang kuasa kerajaan Islam

* Ibn Abidin: Menggandakan hukuman keatas keatas kesalahan/jenayah mengikut peraturan syarak bagi membasmi gejala kerosakan.

* Al-Hamawi & al-Tarablusi: Hukuman yang digandakan.

* Ibn Fudi: Menjaga kemaslahatan/kepentingan manusia dan mengelakkan keburukan dengan cara menggunakan kaedah/mekanisma tertentu bagi mengetahui kebenaran seperti menggunakan qarinah tanpa pengakuan dan bukti atau menahan seseorang yang dituduh melakukan jenayah.


2) Siasah Syar'iyyah sebagai metod atau kaedah pemerintahan negara

* Syekh Abdul Wahab Khallaf: Menjalankan pentadbiran awam sebuah negara Islam mengikut landasan yang menjamin kepentingan/kebaikan dan mengelak keburukan,di mana pengurusan itu tidak terkeluar dari batas-batas syariat dan dasar-dasar umumnya, walaupun ianya tidak menepati pandangan para imam mazhab.

* Syekh Abdul Rahman Taj: Hukum-hukum/peraturan yang mengatur perjalanan pentadbiran negara dan rakyat, di mana ianya hendaklah bertepatan dengan roh syariah, selaras dengan usul-usul kulliyyah seterusnya dapat mencapai objektif kemasyarakatan, walaupun hukum-hukum itu tidak disebut secara langsung oleh nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.


Antara dalil daripada al-Quran yang berkaitan dengan Siasah Syar'iyyah:-

1) Surah al-Nur ayat 55

2) Surah al-Nisa' ayat 58

3) Surah al-Maidah ayat 42 & 44

4) Surah al-Baqarah ayat 213

5) Surah al-Sad ayat 26


Penutup

Siasah Syar'yyah memperlihatkan kita bagaimana ia satu kaedah yang lengkap selari dengan syariat Islam dalam bidang pemerintahan negara. Justeru, kaedah dan metod ini haruslah dijadikan panduan oleh para pemerintah negara dalam menjamin kemaslahatan dan kepentingan rakyat bukannya mengikut acuan dan hawa nafsu sendiri. Pemerintahan yang menepati prinsip-prinsip Islam sudah tentu mendapat keberkatan dan keredaan Allah.


Rujukan

Al-Quran al-Karim

Abd 'Al Ahmad Utwah (1993). al-Madkhal al-Siasah al-Syar'yyah. al-Riyadh: Universiti Imam Muhammad

Abdul Karim Ali & Raihanah Azahari (1999). Hukum islam semasa: bagi masyarakat Malaysia yang membangun. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

No comments: