Tuesday, February 12, 2008

SALJU SAKINAH

Siri 3
MENGUSIR GUNDAH DI HATI
Oleh Zaid Akhtar

ASAR hampir masuk. Bila-bila masa sahaja azan akan berkumandang dari masjid universiti. Suara Bilal Saad yang sedikit sengau tetapi mersik itu pastinya sekali lagi akan menjejali ruang udara kampus dan kawasan sekitarnya.
Sumayyah menggenyeh-genyeh matanya. Dia cuba bangkit perlahan-lahan. Seboleh mungkin, akan dielakkannya daripada tidur dalam waktu Asar. Amalan itu boleh mewarisi kepapaan. Dia ingat benar kata-kata Ustaz Omar yang mengajarnya Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah ketika di sekolah menengah dulu.
Dia tidak pasti sudah berapa jam dia terlena. Seingatnya, sejurus selesai menunaikan fardu Zuhur secara berjemaah sepulangnya dari perpustakaan tadi, dia terus merebahkan jasadnya ke tilam. Rasa bungkam, kecewa, malu dan pelbagai lagi cuba diusirnya sejauh mungkin dengan tidur. Walaupun itu bukan penawar terbaik dia kira, namun itulah ikhtiar pertamanya bagi membuang kesedihan dan kemurungan yang mulai bertakung di hati.
Kedukaan itu sedikit berkurangan, tetapi dia pasti ia akan datang kembali. Keluh-kesah begini – sering datang dan pergi -hanya mampu diubati oleh bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan taqarrub kepada Ilahi. Jika bayangan silam itu mampir lagi, dia mesti banyak bertadarus dan bermunajat.
Kadangkala terasa juga mahu menyumpah seranah, malah sesekali terdetik juga rasa sesal lantaran terlanjur menjalin tautan hati dan mengimpikan hari bahagia. Tetapi dia lekas sedar, itu karat mazmumah yang masih bersarang di jiwa. Sebagai seorang muslimah, dia wajib yakin, segala-galanya sudah ditentukan Allah. Dan hanya dengan mencintai Tuhan tidak akan ada sebarang penyesalan.
Dia menarik nafas sebelum melepaskannya perlahan-lahan. Mulai sekarang dia mesti belajar menerima hakikat pertemuan dan perpisahan. Ada hikmahnya, ada rahsianya. Cuma manusia kadangkala menjadi tidak sabar dan sering bertindak menurut nafsu dan perasaan.
Sumayyah menyentuh bantalnya yang sedikit basah. Dia menggeleng. Bagaimana aku boleh tewas dengan perkara sekecil ini? Alangkah tidak wajarnya, alangkah kecilnya jiwa.
Aku mesti bertindak lebih matang. Mesti lebih berjiwa besar!
Dia berlunjur dan melakukan sedikit regangan. Bersenam. Kemudian perlahan-lahan dia bingkas, melangkah beberapa tapak sebelum menarik kerusi meja tulisnya dan duduk. Bayu awal musim panas yang sesekali menerobos jendela menabrak pipinya. Nyaman nian.
Bait Fatimah az-Zahra’ sunyi sepi. Mungkin Hakimah dan Fatihah sedang terlena. Mungkin juga mereka belum pulang dari kampus. Semasa dia pulang tadi, tiada sesiapa pun di rumah. Namun pada kebiasaannya, pada waktu begini, masing-masing berkurung di kamar sambil diulit mimpi sesudah keletihan dibakar terik matahari musim panas.
Sumayyah memandang kalendar meja di atas meja tulisnya. Bulan Mei sudah berlangsung separuh. Hari ini 16 hari bulan. Dia mencapai marker-pen dan memangkah angka enam belas pada kalendar itu. Jadual peperiksaan akhir yang tertampal di dinding dijeling sekilas. Ya, tinggal beberapa hari sahaja lagi dia akan menamatkan perjuangannya sebagai seorang mahasiswa.
Sesekali kedengaran suara lantang Diana Haddad mendendangkan lagu Ammaneih. Dia pasti, ia datang dari rumah gadis Kristian yang terletak di aras dua pangsapuri empat tingkat bersetentang dengan bangunan pangsapuri yang didudukinya. Nawwal namanya, sangat peramah dan berasal dari Amman - memang peminat setia penyanyi Lubnan itu.
Kuliah hanya berbaki kurang dua minggu. Selepas itu bermulalah minggu ulang kaji, dan pada minggu seterusnya peperiksaan akhir akan menjelma. Bermakna tidak sampai sebulan dia akan kembali ke tanah air tercinta. Tidak sampai sebulan lagi dia akan meninggalkan Dataran Syam.
Wajah abah, umi, Kak Long dan Kak Ngah tiba-tiba lekas terpapar di ruang mata. Dan dia teramat sedar, ada amanah yang masih terbeban di pundak bahunya yang belum terlaksana. Amanah yang sangat besar dan terpaksa dipikulnya sepanjang permusafirannya ke sini. Amanah keluarga.
Apa khabar agaknya mereka?
Rindu lekas bersemarak.
Sejak bergelar mahasiswa di Universiti Yarmouk hampir empat tahun yang lalu, hanya sekali dia pulang ke tanah air. Itupun pada cuti musim luruh tahun pertama, semata-mata kerana pernikahan Kak Long. Lantas setiap kali cuti bermula, dia tidak seperti pelajar lain yang berebut menempah tiket untuk balik bercuti. Sebaliknya dia pernah memilih Mesir sebagai destinasi percutiannya sambil menziarahi rakan-rakan dan tempat-tempat menarik di sana. Paling tidak pun, kalau ketandusan biaya, dia akan melawat lokasi-lokasi bersejarah di dalam Jordan sahaja. Selebihnya masa dihabiskan dengan membaca dan menadah kitab. Umi merungut-rungut juga memujuknya supaya pulang pada cuti musim panas atau luruh, tetapi berjaya dipujuknya dengan baik ditambah abah tidak pula melarang.
“Peluang itu bukan datang selalu. Semasa belajar di rantau inilah. Dah bekerja dan berumahtangga esok, lagilah payah nak ke mana-mana,” Kak Ngah, kakak yang sangat rapat dengannya turut menyokong tindakannya.
Sihatkah abah? Bagaimana perusahaan kerepek yang abah usahakan secara kecil-kecilan selepas bersara? Tentu banyak pendapatan tambahan walaupun sudah memiliki pencen. Bolehlah buat biaya pergi haji sekali lagi.
Umi juga bagaimana agaknya? Sudah semakin pulihkah daripada kencing manis yang tiba-tiba menyerang awal tahun ini? Umi kena selalu makan ubat dan dengar nasihat doktor.
Kak Long pula, bila lagi akan menimang cahaya mata pertama? Usah tertekan, kak. Mungkin belum ada rezeki.
Dan Kak Ngah, tentu seronok sesudah berjawatan selesa; apakah terus-terusan dibuai keindahan alam pertunangan? Jangan ditangguh-tangguhkan lagi pernikahan, kak. Banyak dugaan dan fitnahnya.
Rindu memang terus-terusan bernyala. Hanya kepulangannya yang mampu memadamkan segala rindu dendam yang selama ini hanya dikendurkan melalui e-mel, chatting sesekali dengan Kak Ngah, juga panggilan telefon.
Sabarlah hati sabarlah. Tinggal beberapa minggu saja lagi.

No comments: