Wednesday, June 9, 2010

Bola oh Bola...Gol!!!

Bahang kejohanan Piala Dunia FIFA 2010 kian terasa. Seluruh dunia pasti akan tertumpu kepada kejohanan berprestij ini yang lazimnya berlangsung empat tahun sekali. Kejohanan edisi ke-19 ini akan berlangsung pada 11 Jun hingga 11 Julai dan menyaksikan Afrika Selatan dipilih sebagai tuan rumah selepas tanggungjawab itu dipikul oleh Jerman pada tahun 2006.

Sukan popular ini pasti membuatkan adik-adik kecil, remaja dan warga tua sudah tidak sabar lagi menanti tiupan wisel perlawanan pembukaan hari jumaat ini.

Sudah pasti, suasana di rumah sudah ada pertaruhan si adik dan si abang pasukan manakah yang akan menjadi juara tahun ini. Warga tua yang meminati sukan ini pula akan memenuhi warung-warung kopi atau restoran mamak untuk membuka bicara tentang 'world cup' ini.

Televisyen pula sudah diselangi iklan Piala Dunia khususnya RTM1. Laman sosial seperti facebook, friendster dan sebagainya turut meriah dengan iklan dan 'post' si pemilik. Telefon bimbit pula telah dipancing dengan
ringtone sorakan Piala Dunia. Macam-macam kan pasal bola.

Kejohanan kali ini akan menyaksikan 32 pasukan akan beradu kekuatan selepas mengharungi pusingan kelayakan sebelum ini. Pasukan-pasukan pilihan seperti Brazil, Sepanyol, Belanda, Argentina dilihat sebagai prospek untuk dinobat selaku juara. Tidak ketinggalan, pasukan Itali selaku juara bertahan, pasukan benua Afrika seperti Ivory Cost dan Ghana pasti menjadi tumpuan untuk mara lebih jauh.

Selain itu, kelibat bintang-bintang bola sepak dunia turut mewarnai kejohanan kali ini seperti Lionel Messi, Kaka, Christiano Ronaldo, Rooney, Henry, van Persie dan ramai lagi. Suasana ceria itu diselami duka apabila mendapat berita terdapat bintang yang cedera sebelum sepak mula berlangsung seperti Drogba, Ferdinand, Nani dan Robben. Ia sedikit sebanyak akan mengganggu rentak persiapan pasukan masing-masing.



Saya pula lain ceritanya. Seorang kaki bola. Jadi, untuk pengetahuan semua pasukan Brazil tetap dihati untukku memberikan sokongan. Sejak kecil lagi saya meminati pasukan ini walaupun jauh dihati juga cenderung kepada pasukan Sepanyol dan Belanda. Sebab ramai bintang :)

Setiap kali Piala Dunia atau '
big game' pasti ramai yang boleh bangun awal atau sanggup tidak tidur semata-mata untuk tengok bola...Jadi, saya menyeru untuk peringatan kita bersama, marilah kita solat tahajud dua rakaat sebelum tengok bola bagi game yang pukul 2 pagi. Mudah-mudahan ada keberkatan disisi Allah.

No comments: