Sunday, March 8, 2009

SIDANG TERGEMPAR DUN BAWAH POKOK SAH


Sidang Dun Perak yang terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan 3 Mac lalu adalah sah dan tidak menyalahi undang-undang.

Menurut pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari menyatakan pihak polis awal-awal lagi sudah melanggar perlembagaan apabila menerima arahan dari SUK dan bukan dari speaker yang menjadi kuasa tertinggi dalam dewan.

Dua usul yang diluluskan oleh dewan diperakui sah dan perlu dilaksanakan. Malah Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin boleh menghadap Tuanku Sultan untuk tindakan seterusnya.


Mengimbas apa terjadi pada 3 Mac lalu, insiden menyedihkan apabila Speaker, V. Sivakumar dan 28 Adun Pakatan Rakyat di halang oleh polis dari memasuki DUN untuk mengadakan sidang tergempar. Antara alasan yang di lontarkan adalah sidang tersebut tidak mendapat perkenan Sultan.

Situasi ini telah menjadikan krisis politik negeri Perak semakin haru-biru dan rakyat Perak berada dalam keadaan tidak selesa. Kemelut ini hanya boleh diselesaikan dengan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Tuanku Sultan.

Dalam kenyataan berasingan, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Dato' Ambiga Sreenivasan menegaskan kekebalan Speaker termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu pada Perkara 72(1) dan 72(2).

Beliau menyatakan tidak akta atau undang-undang yang boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kecuali Parlimen memindanya.

Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan meyebut "Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah".

Perkara 72(2) : "Tiada seseorang pun boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua pembicaraan dalam mana-mana mahkamah menegenai apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberi olehnya apabila mengambil bahagian dalam perjalanan mana-mana Dewan Negeri atau mana-mana jawatankuasanya".



No comments: