Tuesday, January 15, 2008

SALJU SAKINAH

Siri 1
MENGINTAI TABIR HIKMAH

Oleh Zaid Akhtar

Barangkali hati tidak sepanas ini jika tidak ditambah kehangatan matahari. Teriknya seakan-akan menyengat seluruh makhluk yang melata di bumi. Perit dan keringat mulai menguasai. Memijar dan merenik di tubuh. Selawat dialun beberapa kali. Mudah-mudahan keberkatan mampu mendinginkan hati.32 darjah celsius. Masih dianggap suhu yang sederhana pada permulaan musim panas begini. Tetapi panas di hatinya mustahil dapat digambarkan dengan kata-kata. Alangkah malunya!
Dia melangkah perlahan-lahan.
Alangkah tebalnya terasa muka!
Dia berselawat lagi.
Alangkah malangnya jika menjadi bahan ketawa!
Dia menyeluk saku jubahnya, mengeluarkan tisu. Peluh yang berbintik-bintik di muka segera dikesat. Namun wajah yang terpaksa menahan malu tadi masih terasa tebalnya. Hati yang sedikit mendidih tadi masih terasa panasnya.
Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menangis mengingatkan kejadian tadi. Malu sungguh. Tetapi betapa tidak matangnya dia andai berkelakuan begitu. Mahu juga rasanya dia berlari pulang ke rumah, tetapi alangkah ruginya membiarkan masa terlepas percuma.
Apalah malangnya hari ini? Apakah hikmahnya di sebalik peristiwa amat memalukan tadi? Tuhan, berikan aku kesabaran!
Bangunan Kulliyyah Syariah semakin ditinggalkan. Hidup mesti diteruskan walaupun halangannya banyak di luar duga. Perancangan hari ini juga sudah bertukar cuma disebabkan satu kejadian yang tidak pernah dialami seumur hayatnya. Dia bercadang ke perpustakaan sementara menanti masuknya waktu Zuhur. Kaki terus melangkah.
“Kak Mai!” Seperti namanya dijeritkan seseorang.
“Kak Mai!”Langkahnya terhenti.
Lekas tubuhnya dipalingkan ke belakang. Matanya mencari-cari gerangan yang memanggil. Tiada. Dia meneruskan langkah.
“Kak Sumayyah!”
Dia menoleh ke kanan. Kelihatan Izzati sedang melangkah ke arahnya, sedikit laju, dan nampak sedikit mengah. Sumayyah berhenti melangkah. Spontan bibirnya mengelopak senyuman. Menunggu di situ. “Kata tadi ada kuliah?” Itu ungkapan yang pertama keluar dari bibir Izzati sebaik sahaja tiba di sisinya.Sumayyah menggeleng. Senyum lagi. Inilah soalan yang sukar dijawab. Tetapi dia sudah menjangka pertanyaan itu apabila terlihat kemunculan gadis ini.
“Prof. Abu Harith batalkan kuliah hari ni?”
Sumayyah geleng sekali lagi. Dia tidak mahu berbohong, dan tidak juga mahu menjelaskan peristiwa memalukan yang berlaku sebentar tadi. Menceritakan keaiban sendiri kepada orang lain adalah suatu kebodohan. Dia memaut lengan baju kurung Izzati.
“Akak nak ke perpustakaan. Jomlah sekali.”
“Kebetulan. Saya pun nak ke sana,” ujar Izzati. “Tapi kita singgah pejabat pos dulu, jenguk peti surat kejap ya.”
“Okey.”
Mereka melangkah bersama. Jalan yang dilalui sentiasa dipenuhi para mahasiswa yang berkejar dengan masa - ke sana ke mari. Masing-masing ada urusan tersendiri. Di sebelah kanan, pohon zaitun rendang melambai-lambai. Di sebelah kiri, Kulliyah Iktisad setinggi empat tingkat. Selepas melintasi bangunan agam fakulti ekonomi itu mereka akan bertemu pintu masuk sebelah barat universiti, sebelum tiba di bangunan Hal Ehwal Pelajar yang menempatkan pejabat pos.
Suria terus membahang. Syukur. Dengan kehadiran Izzati, pijar di hatinya beransur-ansur kurang. Rasa malu dan geram yang menguasainya tadi makin reda.
Lebih kurang sepuluh minit yang lalu, dia bersama gadis ini berada di Kulliyyah Lughah. Sama-sama mengikuti kuliah Nahu 5 oleh Dr. Ali Hammad. Dia tidak mengambil subjek itu tetapi keinginan yang kuat untuk menguasai tatabahasa Arab mendorongnya untuk “menumpang” belajar bersama sejak awal semester.
Sebaik kuliah nahu selesai, dia bergegas ke Kulliyah Syariah kira-kira 50 meter dari situ kerana kuliah mata pelajaran Usul Fiqh 2 yang diambilnya pula akan bermula. Dia tiba sedikit terlewat. Pensyarah sudah masuk. Dan ketika itulah segalanya terjadi. Sumayyah, usah diingat lagi!
“Kak Mai terlibat dengan mesyuarat Lajnah Ilmiah malam esok?” Izzati bertanya sambil pandangannya dihalakan ke depan. Jalan sesak dengan pelajar yang saling berhambatan. Takut juga kalau-kalau terlanggar sesiapa.
“Tak. Akak dah pencen.”
Sumayyah menoleh ke kiri. Pintu masuk jihat barat universiti agak sendat dan riuh dengan pelajar yang keluar masuk. Di belakangnya, di seberang jalan, berdiri megah Hotel Hijazi.
“Mana ada istilah pencen bagi orang berjuang, kak. Kan akak yang kata begitu dulu.”
Sumayyah tersenyum. Terpaksa menelan paku buah keras yang dipulangkan. Izzati tergelak kecil. Langkah kian dipercepatkan. Tidak betah rasanya menahan kehangatan. Mentari makin menyengat.
“Akak dah nak habis tempoh. Dah nak balik. Biar adik-adik pula yang teruskan perjuangan.” Dia sengaja melayan bicara. Sekurang-kurangnya peristiwa yang mengaibkan tadi dapat dilupakan segera. Tidak boleh terlalu mengganggu fikiran, kelak mencetus rasa rendah diri yang berlarutan.
“Tak seronoklah bila Kak Mai tak ada nanti.”
Kebimbangan itu sewajarnya tidak wujud. Barangkali kerana tautan ukhuwah yang erat menyebabkan setiap kehilangan akan sangat dirasai. Barangkali juga kata-kata tadi sekadar untuk mengambil hati. Namun dia yakin, Izzati memang ikhlas dalam berbicara.
"Alahai, kenapa pula macam tu? Marianis, Raihanah, Rahayu kan ada? Semuanya banyak idea, bersemangat, dedikasi. Nak apalagi?”
“Yang mengganti manakan sama yang bakal pulang.” Izzati membalas.
“Masakan begitu. Zati sendiri apa kurangnya?”
Sumayyah menjeling gadis di sebelahnya, sengaja mengusik.
“Tapi takkan sama dengan akak.”
“Apa pula tak sama. Akak makan nasi, orang lain pun makan nasi.”
“Memanglah semua orang makan nasi,” rungut Izzati.
Sumayyah tergelak halus. “Habis tu?”
“Mereka tak sama dengan akak. Akak ada wibawa yang orang lain tak ada.”
Kaki terus melangkah. “Lagi?”
“Akak ada daya kepimpinan, ketokohan.”
“Dah cukup?” Dahi Sumayyah berkerut, tanda kurang selesa.
“Idea dan pendapat akak orang dengar. Kalau akak mula bersuara, pimpinan siswa pun tak berani nak balas. Boleh berdesing telinga.”
“Segala pujian untuk Allah, Zati.” Sumayyah menghela nafas panjang. Dia berpaling, memandang gadis sopan di sebelahnya. “Dah lupa? Pujian macam pisau cukur di leher manusia. Tadi baru pensyarah cakap.”
Sumayyah tersenyum menang melihatkan Izzati tidak berdaya membalas kalimatnya.Mereka tiba di hadapan bangunan Hal Ehwal Pelajar setinggi tiga tingkat. Datarannya agak lengang. Sumayyah mengekori sahaja Izzati ke pejabat pos. Sudah hampir sebulan dia tidak mengintai surat di dalam peti yang disediakan untuk setiap pelajar. Biasanya Fatihah atau Hakimah yang selalu ke mari.Tiba di pintu pejabat pos, mereka berpisah seketika. Sumayyah menuju ke peti surat yang dikongsi dengan dua sahabat serumahnya. Dia mengintai ke dalam peti sebesar kotak kasut itu menerusi lubang kecil, melihat isinya. Ada.Anak kuncinya yang sentiasa dibawa dikeluarkan. Lubang kunci dijolok, anak kunci dipulas ke kanan. Lalu peti terbuka. Surat siapa? Itu yang pertama berlegar di fikiran.Dia menyeluk isi peti surat. Sekeping warkah bercop Kaherah dan bersetem Mesir. Tulisan tangan di atas sampul bercorak papyrus itu seperti dia kenal. Namanya tertera di situ. Surat aku!

No comments: