Sunday, January 13, 2008

IDENTITI

Oleh Zaid Akhtar
MULANYA memang bukan niat saya menceritakannya kepada sesiapa. Namun tugas saya hanya bercerita. Tegasnya, kisah ini benar. Kalaupun ia tidak menjentik sensitiviti anda.
(1)
Ris tidak tahu saya mengintai tiap gerak-gerinya sejak zaman persekolahan kami. Dia (perlukah saya perincikan?) baik. Cantik. Manis. Lembut. Menawan. Segalanya! Sejak kali pertama saya melihatnya di tingkatan dua, memang hati sudah terpikat. Sukar untuk saya melupakan mata jelinya yang tertutup cantik apabila tertawa itu.Dan sudah pasti yang terlalu menarik perhatian saya adalah kesolehahannya. Kena pada ciri-ciri idaman hati ini. Kelembutannya bila bertutur; merendahkan pandangan pada tempat yang sepatutnya; begitu menghormati @ menghargai guru dan puluhan kriteria lagi. Paling mustahak, Ris (sebagai pelajar SMKA) begitu ayu pada kaca mata saya dengan tudung labuh yang menjadi identiti dan penjagaan aurat yang total.Adapun saya, (mungkin perlu saya nyatakan) bukan pula pelajar terbaik. Namun kadang-kadang agak nakal juga. Tidaklah terlalu segak dan kacak orangnya. Bak kata orang: Hidung taklah terlalu mancung, dan pipi pastinya tidak tersorong-sorong. Saya lelaki seadanya.Hari demi hari. Bulan berpindah tahun. Demikian masa pantas berlari dan kami membesar dan memutik remaja di sekolah ini.Mungkin anda tidak percaya, saya terlalu pemalu orangnya. Lantas bagaimana sewaktu di tingkatan lima ini, harus saya zahirkan isi hati ini? Mahu berterus terang dengan Ris, terasa tidak layak. Siapalah saya di matanya? Mahu memendam rasa, SPM pula kian hampir menjengah; sedang saya makin tidak betah menahan gelora hati yang belum kenal erti cinta ini.Kepada Ziq saya luahkan isi hati saya yang bergelodak benar. Ziq mendengar teliti, barangkali terdetik simpati. Namun malang sungguh, Ziq yang diharap menjadi tempat ‘meluah rasa’ sanggup membocorkan rahsia. Rahsia yang terlalu rahsia bagi saya itu pecah geger. Kawan-kawan tertawa, mengusik, mengutuk dan sebagainya. Lebih teruk, membandingkan kami seperti langit dengan bumi. Saya malu metah. Mana saya mahu letak muka ini?Dan Ris yang turut mengetahui, tersenyum sinis (saya tidak lagi menganggapnya manis) tatkala kami berpapasan sesekali. Saya fikir, pasti dia memandang jijik diri ini. Saya mulai sedar siapa saya. Saya harus mengkoreksi diri. Saya mesti cemerlang. Saya mesti baiki sahsiah diri. Saya mesti miliki gadis yang lebih hebat, lebih baik dan lebih manis daripada Ris suatu hari nanti. Saya mesti membencinya mulai hari ini!
(2)
2002. Saya kini pelajar perubatan di UM. Entah bagaimana September itu saya tercampak ke tapak konvo sebuah IPTA terkemuka. Pesta konvokesyen sedang berlangsung meriah. Jai, sahabat baik masa di SMKAS dulu menghantar SMS, minta saya hadir. Katanya, ada perjumpaan alumni.
Rindu mengenangkan kawan-kawan lama saya bergegas ke sana. Kawan-kawan masih belum ramai yang datang. Saya leka berbual-bual dengan Jai, Qil dan Mud. Sesekali tawa terburai mengingat kisah silam. Namun tawa saya lekas mati tatkala seorang gadis berjeans (agak ketat), berkemeja T hitam paras siku, dan bertudung skarf menutup rambut tetapi menampakkan batang leher tampil mendekati kami. Ramah menyapa Jai, Qil dan Mud.Ris? Itu yang pertama keluar di bibir saya melihatkan gadis itu tertawa sambil mata jelinya tertutup cantik. Rasanya tidak salah Memang dia. Dan memang itulah dia, dapat saya pastikan benar-benar apabila dia menghulurkan tangan mahu menjabat saya.Saya menggeleng. Terpempan. “Zen tak kenal Ris?”Suara saya seperti dahulu. Tidak mampu keluar.Khatimah Syyyy…!Tolong! Jangan sampaikan kepada Ris cerita ini. Mampus saya diseranahnya! Ini rahsia kita. Jangan jadi seperti Ziq yang tidak tahu menjaga rahsia. Juga kepada mereka yang bukan warga sekolah ini, usah sesekali dikhabarkan. Ini soal maruah. Soal identiti. Soal diniy. Justeru, saya ikhlas membisikkan sahaja kisah ini ke telinga, mudah-mudahan kita beroleh iktibar. Dan rasanya pilihan saya untuk membenci Ris dulu adalah tepat.Ini tazkirah. Anda mungkin macam Ris pada hari ini, di sekolah ini. Tapi pada masa hadapan, mampukah anda berjanji?

No comments: