Saturday, July 28, 2012

Muhasabah Ramadhan

Kekal, berubah atau semakin teruk? Itu persoalan yang harus dijawab oleh setiap muslim yang berpuasa di bulan Ramadhan untuk menilai adakah pemahaman terhadap falsafah puasa telah meresap ke dalam minda dan jiwa mereka. Madrasah Ramadhan yang dilalui selama sebulan seharusnya mampu memberi impak sekiranya falsafah puasa tersebut dihayati dengan sebenar-benarnya selari dengan hikmah puasa yang mampu membentuk insan yang bertakwa kepada Allah.

Kini, kita sedang hampir menghabiskan fasa pertama Ramadhan dan terdapat dua fasa lagi yang bakal ditempuh. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Awal Ramadhan itu rahmat, pertengahannya pengampunan dan pengakhirannya adalah pembebasan azab seksa api neraka".

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh barakah dan bulan 'bonus' kepada seluruh umat Islam untuk mencetak seberapa banyak pahala bagi menampung dosa-dosa yang telah lalu. Setiap amalan baik yang dilakukan di bulan Ramadhan terdapat ganjaran yang besar dan sangat berbeza di bulan-bulan yang lain. Selain itu, satu perkara yang paling istimewa adalah Lailatul Qadar (malam al-Qadar) yang dijanjikan Allah merupakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.




Setiap hari yang berlalu di bulan Ramadhan harus kita koreksi di mana tahap puasa kita agar puasa yang kita lalui tidak hanya menahan lapar dan dahaga bahkan lebih teruk tidak memberi apa-apa kesan kepada diri kita. Menurut Imam al-Ghazali terdapat tiga tahap puasa iaitu:-

1. Puasa Orang Awam: Puasa yang menahan lapar dan dahaga juga menjaga perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

2. Puasa Orang Soleh: Puasa yang menahan lapar dan dahaga, menjaga perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan menahan anggota badan serta pancaindera daripada melakukan maksiat kepada Allah.

3. Puasa Para Nabi dan Siddiqin: Puasa terhadap keinginan perkara-perkara duniawi dan yang lebih penting menahan diri daripada memikirkan hal-hal selain Allah SWT.

Justeru, marilah kita bersama-sama muhasabah diri kita dengan menilai tahap puasa yang sedang dan akan kita lalui selama sebulan. Tiada istilah terlambat untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Semuanya bergantung kepada kemahuan dan iman yang ada di dalam diri kita.

Mari kita merenung sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu".

Kesimpulannya, proses rekonstruksi keazaman perlu ditanam di dalam jiwa setiap muslim yang berpuasa agar perubahan positif menjadi insan yang bertakwa dapat dijana apabila keluar dari madrasah Ramadhan kelak.



No comments: