Thursday, April 8, 2010

Aceh digegar gempa 7.2 skala Richter

JAKARTA 7 April - Gempa dengan kekuatan 7.2 skala Richter menggoncang Aceh pagi ini menyebabkan penghuni di kawasan yang pernah dilanda tsunami pada tahun 2004 itu bertempiaran menyelamatkan diri.

Badan Meteorologi dan Geofizik Indonesia sempat mengeluarkan amaran tsunami, tetapi kemudiannya menariknya semula kira-kira dua jam selepas itu.

Belasan orang dilaporkan cedera dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5.15 pagi itu dan berpusat di Sinabang, Pulau Simeuleu dengan kedalaman 34 kilometer.

Pengarah Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Indonesia, Dr. Fauzi berkata, kejadian itu tidak menyebabkan kerosakan yang serius kerana kawasan terbabit mempunyai tanah yang kukuh.

"Keadaan itu berbeza ketika gempa di Padang yang terjadi di kawasan tanahnya lembut," ujar kata beliau dipetik Detikcom di sini hari ini.

Hingga kini belum ada laporan mangsa terkorban di Sinabang dan hanya sejumlah bangunan retak dan tiang elektrik dilaporkan tumbang.

Sehingga petang ini, aktiviti di Banda Aceh kembali seperti biasa, walaupun sebelumnya bekalan elektrik terputus seketika akibat kejadian itu.

Agensi berita Antara melaporkan melaporkan, penduduk yang lari ke kawasan tinggi kerana bimbang kejadian tsunami juga telah pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu Timbalan Gabenor Aceh, Mohammad Nazar berkata, pihaknya akan terus memantau situasi pasca gempa.

Gempa susulan yang dicatatkan juga semakin perlahan iaitu 5.1 dan 5.2 skala Richter.

Sementara itu sejumlah 165 pelajar Malaysia di Aceh dilaporkan selamat dalam kejadian tersebut.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar ketika dihubungi berkata, beliau dimaklumkan oleh pemimpin pelajar di Aceh bahawa mereka semuanya selamat.

Dalam kejadian pada tahun 2004, Aceh antara lokasi yang terburuk dilanda tsunami yang berpunca daripada gempa 9.2 skala Richter yang menyebabkan 230,000 orang terkorban 12 buah negara termasuk Malaysia. - Utusan

No comments: