Thursday, August 27, 2009

Senator OKU meninggal dunia

Pakar ekonomi Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh meninggal dunia akibat serangan jantung semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini.

Menurut isterinya yang turut berada dalam penerbangan itu, Ismail, 61, ke China kerana menghadiri satu mesyuarat mengenai urusan universitinya, International University College of Technology Twintech.

Hasnah berkata jenazah suaminya akan dibawa ke rumah mereka di no. 7140, Jalan Melati 2, Sungai Kantan, Fasa 2, Kajang.

Beliau berkahwin dengan Ismail selama 27 tahun dan pasangan itu dikurniakan enam anak.

Beliau terkilan kerana arwah suaminya tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan pertama anak mereka pada hujung tahun ini.

"Suami saya beria-ia sangat hendak menghadiri perkahwinan pertama anak kami," kata Hasnah sambil menambah tiga anaknya masih bujang dan tiga lagi masih bersekolah.

Ismail mencipta sejarah sebagai Senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya dan cacat penglihatan di Malaysia.

Allahyarham juga ialah bekas timbalan ketua pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS), ketua pegawai eksekutif Twintech Holdings dan naib canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.

Allahyarham Ismail dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept, 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya termasuk anugerah Guinness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah doktor falsafah.

Al-fatihah buat Allahyarham...Semoga rohnya dicucuri rahmat...Amin...

Wednesday, August 26, 2009

Permatang Pasir : Mimpi 'ngeri' buat BN


Pakatan Rakyat terus diberi kepercayaan oleh rakyat Permatang Pasir untuk memimpin kawasan tersebut setelah calon PAS, Ustaz Salleh Man mendapat 9618 undi mengatasi calon Umno-BN, Rohaizat Othman yang mendapat 5067 undi. Majoriti yang diperolehi Ustaz Salleh ialah 4551 undi.

Bekas ADUN allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman mendapat majoriti 5,433 undi - kemenangan PAS kali ketiga di kerusi itu sejak pilihan raya umum 1999.

Jumlah keluar mengundi merosot kepada 73.1 peratus daripada 82.57 peratus pada pilihan raya umum yang lalu.

Penulis sebelum ini menjagkakan PAS akan kalah atau hanya mendapat majoriti tipis kerana Barisan Nasional menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan dan serangan media yang dikira begitu teruk menghentam PAS. Isu diketengahkan oleh media pro-BN terutamanya RTM dan TV3 ialah mereka memanipulasi kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang mengatakan ahli UMNO tidak akan masuk syurga. Selain itu, kempen memburukkan calon BN, Rohaizat Othman yang dibawa oleh PAS turut menjadi isu.

Penulis ingin bertanya sedarkah BN bahawa mereka lebih banyak menipu rakyat dan membuat kesalahan lebih teruk dari PR yang membawa suara rakyat yang cintakan keadilan. Melihat kepada umur BN hampir 52 tahun memerintah negara, satu usia cukup matang namun hayat mereka telah mencapai tahap kritikal dan perlu ditukar kepada kerajaan yang baru.

Trend pengundi berdasarkan beberapa siri pilihanraya kecil sebelum ini menunjukkan signal bahawa rakyat telah menolak kerajaan BN walaupun disogok dengan bermacam-macam imbuhan. Angin perubahan rakyat telah pun berlaku pada PRU-12 yang lalu, selepas menyaksikan BN mengalami kekalahan teruk dalam sejarah pilihan raya umum. Mereka juga kehilangan lima negeri (sebelum Perak dirampas oleh BN) yang kini dipimpin oleh kerajaan PR. Rakyat kini sudah pandai berfikir dan menilai siapakah yang layak memimpin mereka.

Pakatan Rakyat mengharapkan momentum kemenangan dan perubahan ini dapat dikekalkan sehingga PRU ke-13 sehingga misi menawan Putrajaya tercapai.

Namun, timbul persoalan adakah Pakatan Rakyat (PR) sudah bersedia memimpin Malaysia sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRU ke-13 akan datang? Sama-sama kita saksikan. Sekadar pandangan....

Saturday, August 15, 2009

Kuala Lumpur 13 Ogos - Festival Konvokesyen Universiti Malaya
(FESKUM) 2009 akan menganjurkan forum yang antara lain
membincangkan berkenaan ekonomi Malaysia.

(Wacana akan banyak berkisar tentang liberalisasi ekonomi negara yang sedang giat dilaksanakan di kepimpinan Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun Razak – pemansuhan MeCD, pengguguran syarat pegangan ekuiti bumiputera, liberalisasi sektor kewangan dan sebagainya)

Pengerusi – Saudara Zainulfaqar Yaacob
Hos Rancangan Kubik Minda TV PAS

Panelis- YB Dato’ Haji Husam Musa
Exco Kanan Kerajaan Kelantan
(Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan)

Co-Moderator-
Saudara Mohd Hilmi Ramli (Mantan Presiden PKPIM)
Saudara Wan Fadzrul Wan Bahrum (Wakil Malaysia Think Thank)
Saudara Mohd Hasbie Muda* (Presiden ECONS Malaysia)

Tarikh - 13 Ogos 2009 (8.30 malam – 11.30 malam)

Tempat - Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya


Sejak beberapa tahun lepas, Forum Ekonomi yang melibatkan tokoh-tokoh Negara menjadi acara penting bagi Universiti Malaya.

Terdahulu, FESKUM 2009 bermula sejak 6 hb Ogos lalu mengundang pelbagai kelainan berbanding tahun-tahun lepas dengan pelbagai aktiviti intelektual, dan hiburan yang bermanfaat.

Projek mega tersebut yang dikendalikan sepenuhnya dibawah Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM)sesi 2008/2009.

Konvo UM 09 : Aktivis Pro-Mahasiswa & PMIUM disambut meriah

YDP MPMUM 08/09 (Ridzuan Mohamad) turut hadir memberikan ucapan
tahniah kepada para graduan


Saudara Zaidi (aktivis mahasiswa) berucap penuh semangat...



Saudari Azilah (aktivis mahasiswi Pro-M) sedang memberikan amanat kepada audien



Saudara Shahir (mantan aktivis Pro-M) memberikan ucapan



Para Aktivis Pro-M bergambar bersama graduan



Thursday, August 6, 2009

12 mati akibat H1N1, terkini di Johor

Seorang lagi kanak-kanak, berusia 6 tahun, meninggal dunia 2.30 pagi ini di Hospital Batu Pahat akibat wabak selesema babi A (H1N1), menjadikan jumlah seluruhnya 12 orang meninggal dunia di seluruh negara sejak dua minggu lalu.

Dua korban terbaru wabak tersebut yang dilaporkan sebelumnya terjadi di Melaka.

Seorang lelaki 20 tahun dan remaja 12 tahun dari negeri itu - masing-masing menghidap lelah dan kegagalan buah pinggang - menjadi korban terbaru kes selepas kematian kanak-kanak tiga tahun disahkan akibat virus tersebut.

Mangsa kesembilan Iffah Syazwina Samsuddin dilaporkan meninggal dunia pada 4.30 petang semalam di Hospital Melaka.

Korban kelapan membabitkan seorang guru 51 tahun dari Kuala Selangor yang meninggal dunia Ahad lalu. Sekolah tempat guru itu mengajar ditutup pada 27 Julai.

Setakat ini, 1,476 kes selesema A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara, termasuk 16 kes terbaru termasuk kematian tersebut.

Kematian-kematian lain:

Korban ketujuh, ibu 24 tahun dari Miri, Sarawak yang baru melahirkan anak sulungnya dua minggu lalu meninggal dunia Ahad lepas.

Anaknya bagaimanapun dilaporkan selamat.

Keenam, murid lelaki berusia 11 tahun dari Johor Bahru meninggal akibat komplikasi, 2 Ogos lalu.

Kelima, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Bagan Serai, Perak meninggal dunia Jumaat lalu.

Pada 28 Julai lalu, wanita berusia 20 tahun dari Melaka meninggal dunia akibat pneumonia teruk yang dijangkiti dari persekitaran.

Sehari sebelumnya, seorang lelaki berusia 42 tahun mati akibat wabak itu setelah disahkan menghidap selesema A (H1N1).

Si mati yang mengalami pelbagai komplikasi meninggal akibat pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapat rawatan.

Korban kedua wabak itu di negara ini, lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di hospital swasta di Subang Jaya, 26 Julai.

Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1). ~malaysiakini