Tuesday, October 19, 2010

Cerita Hati



Hampir sebulan teratak ini tidak di 'update'. Banyak isu-isu semasa yang keluar di dada akhbar tidak dapat dikongsi disini. Lazimnya saya akan coretkan di sini walaupun hanya sedikit.

Bergelar pelajar tahun akhir di universiti mengundang kerja-kerja yang banyak dan perlu diselesaikan dengan segera.

Antara isu popular yang boleh saya kongsikan di sini ialah:

1) Kes pembunuhan tragis Datuk Sosilawati yang masih di dalam perbicaraan di mahkamah untuk membawa tertuduh menerima hukuman yang setimpal.

2) Kes kemalangan ngeri yang melibatkan bas Delima Ekspres di Lebuhraya Utara-Selatan di Alor Gajah. Kejadian tersebut telah menyebabkan 12 orang terbunuh. Setelah sekian lama tidak kedengaran kemalangan melibatkan bas akhirnya timbul secara mengejut. Ini lah dinamakan takdir...

3) Bajet 2011 yang telah dibentangkan oleh Dato' Seri Najib pada 15/10/2010 (Jumaat) di Parlimen. Jumlah keseluruhan peruntukan kali ini menelan belanja RM212 bilion berbanding Rm191.5 bilion pada Bajet 2010. "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" telah menjadi tema Bajet pada kali ini.

* Saya telah meneliti ke semua intipati bajet ini. Ia sudah tentu mengundang reaksi positif dan negatif daripada pelbagai pihak. Apa pun kita tunggu dan lihat :-)

4) Perhimpunan Agung UMNO kembali bersidang di PWTC. Sudah tentu banyak isu akan dibahaskan oleh para perwakilan nanti. Tan Sri Muhyidin Yassin telah mengingatkan para pembahas usul supaya berbahas dengan baik, penuh fakta dan matang. Hmm.....baguslah macam ni. Guide pembahas supaya tidak berbahas kosong dan emosi. Kita tunggu dan lihat apa transformasi yang dicanangkan para pemimpin parti ini.

Cukup lah sampai sini sahaja. Harap lepas ini, saya kan kembali rajin 'update' blog ni...

Thanks!


RnR
12.22 AM




Sunday, August 22, 2010

Salam Ramadhan Al-Mubarak


Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam di seluruh dunia

Semoga kita di beri kekuatan oleh-Nya

Untuk menjalani pentarbiyahan diri selama sebulan

Moga akhirnya kita menjadi orang yang bertakwa

Amin...

Wednesday, August 11, 2010

Kenyataan Media MPMN : Benarkan Mahasiswa Menjadi Ahli Parti Politik

Kenyataan Media

Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

9 Ogos 2010 (Isnin)

BENARKAN MAHASISWA MENJADI AHLI PARTI POLITIK


Pendahuluan

Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 memperlihatkan ruang lingkup partisipasi mahasiswa dengan politik masih terbatas. Mahasiswa masih lagi dihadkan memberikan idea dan pandangan tentang isu-isu politik negara serta terlibat secara sah dengan parti politik semasa di kampus.

Baru-baru ini, timbul isu yang hangat dibincangkan di media-media dan di kalangan masyarakat adalah membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik. Justeru, segelintir pemimpin kerajaan tampil memberikan pelbagai respon terhadap isu ini. Ada di kalangan mereka yang melontarkan respon yang positif dan ada juga yang memberikan pandang sisi negatif.

Oleh itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) tampil untuk memberikan pendirian terhadap isu ini yang secara jelas perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan.


Pendirian MPMN

Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) berpendirian :

1. Sudah tiba masanya, kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik sebagai proses mematangkan demokrasi di Malaysia dan menjamin hak-hak yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.

2. Kerajaan harus terbuka dan ikhlas memberikan ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan diri di alam kampus sekiranya mahu melihat barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang berkualiti dan berktrampilan tinggi.

3. Mendesak kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan terbuka kepada umum sekiranya isu membenarkan mahasiswa berpolitik diterima sebulat suara ahli kabinet kerajaan Malaysia.

Kami, pimpinan mahasiswa MPMN akan terus komited dan konsisten dalam memperjuangkan suara mahasiswa. Kami akan terus membawa suara mahasiswa sampai kepada para pemimpin kerajaan. Sesungguhnya, proses demokrasi di Malaysia harus segera diberikan nafas baru demi melahirkan generasi kepimpinan negara yang berkualiti, berilmu dan berktrampilan untuk menerajui negara pada masa akan datang.


Di sediakan oleh,

MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA NASIONAL (MPMN)

Friday, July 30, 2010

Saja Nak Kongsi : Mesti Lihat!!!


Video Ringkas Ceramah Isu Semasa oleh YB Saifudin Nasution

Sunday, July 25, 2010

Pemimpin : Hebat bicara atau hebat baktinya?


Menjadi seorang pemimpin yang baik dan diterima oleh orang lain bukan perkara yang mudah. Seorang pemimpin itu harus mempunyai sifat adil, berintegriti, rendah diri dan sedia berkhidmat untuk orang lain (bawahan).

Sebagai seorang pemimpin, anda tidak hanya pandai bercakap dan memberi arahan kepada orang bawahan anda tetapi perlu bersedia mempunyai sikap memberi khidmat kepada orang lain.

Adakah anda mahu menjadi seorang pemimpin yang mempunyai kuasa atau power??? Ataupun adakah anda didorong oleh perasaan mahu membantu orang lain???

Jika anda mahu orang lain berkhidmat untuk anda dan bukan sebaliknya, ikutilah nasihat berikut :

1) Berhenti memberi arahan dan mula mendengar.

2) Berhenti mengejar pangkat dan mula membantu orang lain.

3) Berhenti mementingkan agenda sendiri dan mula berkhidmat untuk orang lain.

Saya tinggalkan perkongsian ini dengan kata-kata motivasi yang diungkapkan oleh Eugene B. Habecker :

" Pemimpin sebenar berkhidmat bagi kepentingan orang lain. Oleh itu, mereka tidak mungkin selalunya popular dan dihormati. Tetapi mereka masih sanggup melakukannya kerana didorong oleh rasa belas kasihan yang ikhlas, bukannya bagi dianggap mulia "


Sekadar perkongsian


Kerjasama UMNO-PAS : Realiti atau Fantasi???



Isu kejasama UMNO-PAS muncul kembali diperkatakan di media-media mahupun di kalangan khalayak umum. Isu ini bukan baru tetapi kalau boleh diibaratkan seperti berita yang sudah lali terdengar di telinga semua pihak.

1. Mengikut sejarah, UMNO-PAS pernah bekerjasama untuk membentuk kerajaan pada tahun 1977 tetapi tidak kekal lama.

2. UMNO sekali lagi mahu bekerjasama dengan PAS selepas kekalahan teruk pada PRU-12 tahun 2008 yang menyaksikan parti oposisi (PR) berjaya menafikan kuasa 2/3 majoriti di Parlimen. Pada kali ini menggunakan istilah 'muzakarah' tetapi juga gagal kerana PAS memilih untuk setia 'bertahalluf siyasi' bersama PKR dan DAP.

3. Dato' Tuan Guru Nik Aziz tetap dengan pendirian beliau sekiranya UMNO mahu bergabung dengan PAS, mereka perlu tukar dasar kepada Islam. Itu sahaja! Beliau tidak mahu dasar Islam dalam pemerintahan sesebuah kerajaan tercemar dan dipinggirkan.

4. Pada minggu lepas, isu ini sekali lagi timbul setelah perkara tersebut disuarakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mahukan UMNO-PAS bekerjasama demi kepentingan orang Melayu dan Islam di Malaysia.

5. Di peringkat akar umbi yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat berpandangan mereka mahukan isu ini menjadi realiti. Para pemimpin UMNO-PAS perlu duduk semeja berbincang secara terbuka.

6. Pandangan peribadi saya, kerjasama ini ada kebaikan dan keburukannya. Fundementalnya ialah kedua-dua parti harus jujur dan amanah sekiranya perjanjian dilakukan kedua-dua pihak selari tuntutan juga prinsip dalam Islam. Jangan pandai berbicara, tapi aspek praktikal atau amalan sungguh mengecewakan. Setiap pemimpin perlu ingat bahawa anda naik menjadi pemimpin melalui kuasa dan amanah rakyat berikan. Jangan lah memungkiri janji itu. Pemimpin juga harus kritikal memikirkan masa depan negara Malaysia ini agar terus hidup aman dan sejahtera selari dengan tuntutan syariat Allah.

7. Justeru, kita menanti adakah isu ini menjadi realiti atau terus fantasi.


Sekadar pandangan