Tuesday, November 29, 2011

Hijrah: Antara Menuju Allah atau Kesesatan

Istilah hijrah mempunyai maksud yang mendalam jika difahami dan dihayati oleh umat manusia dalam kehidupan. Secara umumnya, kita boleh mendefinisikan hijrah sebagai perkara yang dilakukan dalam bentuk perkataan atau perbuatan yang menjurus ke arah kebaikan. Hijrah ke arah kebaikan dari segenap aspek sangat besar nilaiannya di sisi Allah seperti mana Rasulullah s.a.w. mematuhi perintah Allah berhijrah dari Makkah ke Madinah.

Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barang siapa hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu."

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai ringkasan coretan ini, mari lah kita sama-sama menghayati tujuan utama penciptaan manusia di muka bumi:

1) Beribadah kepada Allah

"Tidak aku ciptakan jin & manusia itu semata-mata untuk beribadah kepada-Ku"
(Surah al-Dzaariyat: 56)

2) Sebagai khalifah

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat "Sesungguhnya aku hendak menjadika seorang khalifah di muka bumi." Mereka bertanya "Adakah Engkau (Ya Tuhan Kami) hendak menajdikan di bumi itu orang yang membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Allah berfirman: "Sesungguhnya aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."
(Surah al-Baqarah: 30)

3) Menunaikan Amanah Allah

Amanah yang dimaksudkan di sini ialahقامة الدين وسياسة الدنيا به" yang bermaksud mebangunkan Islam dan mentadbir dunia dengan Islam. Tidak cukup cantik sekiranya mentafsirkan dengan agama kerana pengertian agama cukup terbatas. Oleh itu, definisi tepat adalah Islam kerana Islam merupakan cara hidup yang syumul diturunkan oleh Allah sebagai panduan umat manusia dan dijamin selamat di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, Islam yang diturunkan oleh Allah sudah cukup sempurna memberikan panduan yang terbaik bagi seorang muslim dari segenap aspek. Justeru, sebagai hamba-Nya kita sendiri yang memilih jalan sama ada ingin menuju ke arah kebaikan atau terus tersesat ke arah keburukan. Firman Allah yang bermaksud "Barang siapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan pada hari akhirat kelak dia di kalangan orang-orang yang rugi".

Saturday, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah 1433H



1432 Hijrah telah meninggalkan kita..Kini 1433 Hijrah membuka lembaran baru kehidupan kita..

Semoga kedatangan tahun baru Islam ini memberikan suntikan semangat

kepada kita untuk berubah ke arah lebih baik dari segenap aspek..

Salam Maal Hijrah!!!

Siasah Syar'iyyah Satu Pengenalan

Pengenalan

Di Malaysia, istilah Siasah Syar'iyyah telah menjadi suatu istilah yang biasa didengar sejak kebelakangan ini. Hal ini sedikit sabanyak telah disumbangkan melalui kewujudan parti politik muslim. Maka pihak-pihak yang bertentangan cuba mengaitkan agenda mereka selaras dengan siasah syar'yyah. Secara tidak langsung istilah ini menjadi sebutan kerana ia berkait rapat dengan politik. Perkembangan ini boleh membantu lahirnya minat daripada pelbagai pihak bagi mengenali siasah syar'iyyah.


Definisi Siasah Dari Segi Bahasa

Perkataan siasah adalah kata terbitan (masdar) daripada kata dasar sasa-yasusu yang membawa pengertian yang pelbagai. Antaranya ialah mengendalikan sesuatu urusan dan mentadbirnya dengan baik. Apabila disebut Sasa al-Amr Siasah ia bermaksud melakukan sesuatu tindakan yang menguntungkan atau mendatangkan kabaikan sama ada dengan cara memimpin, menjaga keperluan atau membantu dan sebagainya.

Dalam menentukan bahasa asal perkataan siasah ahli bahasa Arab tidak sependapat. Al-Maqrizi misalnya menyatakan dalam kitabnya "al-Khutat" perkataan siasah bukan perkataan Arab tetapi perkataan Monggol kemudian telah diubah oleh ahli bahasa Mesir dari Yasah kepada Siasah. Seterusnya, menurut Abd Al Ahmad Utwah yang rajihnya ia dari perkataan Arab.


Definisi Syar'iyyah Dari Segi Bahasa

Syar'yyah diambil daripada lafaz (شرع). Ia menjelaskan tentang sesuatu yang disandarkan kepada syarak dan menerima sebagai sesuatu yang sah. Secara literalnya, syar'iyyah bermaksud sesuatu yang sah di sisi syarak.


Definisi Siasah Syar'iyyah Dari Segi Istilah

Menurut Abd 'Al ahmad Utwah: Membezakan antara siasah yang bersifat Syar'iyyah dengan siasah yang bersifat wad'iyyah (ciptaan manusia).

Secara rumusan, definisi siasah syar'iyyah terbahagi kepada dua:-


1) Siasah Syar'iyyah sebagai metod penentuan hukum di bawah bidang kuasa kerajaan Islam

* Ibn Abidin: Menggandakan hukuman keatas keatas kesalahan/jenayah mengikut peraturan syarak bagi membasmi gejala kerosakan.

* Al-Hamawi & al-Tarablusi: Hukuman yang digandakan.

* Ibn Fudi: Menjaga kemaslahatan/kepentingan manusia dan mengelakkan keburukan dengan cara menggunakan kaedah/mekanisma tertentu bagi mengetahui kebenaran seperti menggunakan qarinah tanpa pengakuan dan bukti atau menahan seseorang yang dituduh melakukan jenayah.


2) Siasah Syar'iyyah sebagai metod atau kaedah pemerintahan negara

* Syekh Abdul Wahab Khallaf: Menjalankan pentadbiran awam sebuah negara Islam mengikut landasan yang menjamin kepentingan/kebaikan dan mengelak keburukan,di mana pengurusan itu tidak terkeluar dari batas-batas syariat dan dasar-dasar umumnya, walaupun ianya tidak menepati pandangan para imam mazhab.

* Syekh Abdul Rahman Taj: Hukum-hukum/peraturan yang mengatur perjalanan pentadbiran negara dan rakyat, di mana ianya hendaklah bertepatan dengan roh syariah, selaras dengan usul-usul kulliyyah seterusnya dapat mencapai objektif kemasyarakatan, walaupun hukum-hukum itu tidak disebut secara langsung oleh nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.


Antara dalil daripada al-Quran yang berkaitan dengan Siasah Syar'iyyah:-

1) Surah al-Nur ayat 55

2) Surah al-Nisa' ayat 58

3) Surah al-Maidah ayat 42 & 44

4) Surah al-Baqarah ayat 213

5) Surah al-Sad ayat 26


Penutup

Siasah Syar'yyah memperlihatkan kita bagaimana ia satu kaedah yang lengkap selari dengan syariat Islam dalam bidang pemerintahan negara. Justeru, kaedah dan metod ini haruslah dijadikan panduan oleh para pemerintah negara dalam menjamin kemaslahatan dan kepentingan rakyat bukannya mengikut acuan dan hawa nafsu sendiri. Pemerintahan yang menepati prinsip-prinsip Islam sudah tentu mendapat keberkatan dan keredaan Allah.


Rujukan

Al-Quran al-Karim

Abd 'Al Ahmad Utwah (1993). al-Madkhal al-Siasah al-Syar'yyah. al-Riyadh: Universiti Imam Muhammad

Abdul Karim Ali & Raihanah Azahari (1999). Hukum islam semasa: bagi masyarakat Malaysia yang membangun. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

UEFA Champions League 2011: Arsenal sah ke pusingan kalah mati, APOEL cipta sejarah




Perlawanan kelima peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (awal pagi Rabu & Khamis) baru-baru ini menyaksikan aksi dan kisah dramatik setiap pasukan yang bertanding. Antara keputusan yang boleh dicatatkan di sini ialah Arsenal menewaskan Borussia Dortmund 2-1, Barcelona menewaskan AC Milan 3-2, Manchester City tewas 1-2 di tangan Napoli juga Chelsea tewas kepada Bayer Leverkusen 1-2.



Paling mencuri tumpuan ialah kelab kerdil APOEL yang berpengkalan di Cyprus telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi kelab Cyprus pertama yang layak ke pusingan kalah mati bagi sejarah Liga Juara-Juara Eropah. Kejayaan membanggakan itu dikongsi pengurus pasukan dan para pemain yang telah membuktikan kelab kerdil seperti mereka mampu melakar kejutan dan bersaing pada aksi merebut piala berprestij di Eropah tersebut.

Kisah duka pula melanda kem pasukan yang sedang menungguli carta Liga Inggeris (EPL) iaitu Manchester City apabila harapan mereka tampak sukar untuk layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah apabila tewas 1-2 kepada Napoli di gelanggan lawan. Mereka perlu menang pada perlawanan terakhir menentang Bayern Munich di laman sendiri sambil mengharapkan tuah Napoli tewas kepada Villareal pada perlawanan lain peringkat kumpulan A.