Monday, November 16, 2009

Kepimpinan Islam

PENGENALAN


Kepimpinan berkesan merupakan satu elemen penting untuk menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Bahkan kejayaan pengurusan sesebuah organisasi boleh dikatakan bergantung kepada nilai keberkesanan sesebuah organisasi. Terdapat banyak definisi bagi kepimpinan ini sama ada daripada pandangan Barat atau Islam sendiri.

Menurut Coulder (1965) memberikan ciri untuk menunjukkan istilah kepimpinan ini dapat difahami antaranya ialah mereka yang pencapiannya atas dasar beberapa matlamat dianggap sebagai inggi, mereka yang statusnya diktiraf sebagai lebih tinggi daripada orang lain yang terlibat dalam aktiviti yang sama.[1]

Pengertian kepimpinan secara umum boleh didefinisikan sebagai satu cara mengorganisasikan kegiatan manusia melalui pemusatan kuasa untuk mencapai matlamat kehidupan bermasayarakat.

Ibn Taimiyah (1971) pula menyatakan bahawa kepimpinan merupakan tuntutan utama agama. Tanpa kepimpinan, urusan pentadbiran agama dan bangsa tidak dijalankan secara sempurna.

Secara khususnya kepimpinan Islam merupakan satu proses yang dapt menggerakkan sekumpulan manusia untuk memenuhi kehendak Islam bagi jangka masa pendek dan panjang yang mampu menghasilkan suatu wawasan untuk menuju matlamat Islam.[2] Ini bermaksud kepimpinan Islam menurut cara-cara Islam seperti yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w.

Dalam sejarah Islam, kepimpinan yang paling berkesan adalah kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah berjaya membawa umat Islam kepada objektif yang sebenar kehidupan iaitu pengabdian kepada Allah s.w.t. Kepimpinan Rasulullah juga telah diiktiraf oleh umat seluruh dunia termasuklah para pemikir Barat bahkan baginda telah dilatakkan dalam kalangan manusia yang paling berpengaruh di dunia oleh penulis Barat.[3]



ISTILAH-ISTILAH DALAM KEPIMPINAN ISLAM


KHALIFAH

Khalifah dari sudut bahasa ialah pengganti orang lain yang tidak hadir, meninggal dunia, tidak berkemampuan dan lain-lain. Khalifah juga membawa maksud al-Sultan al-Azzam (kekuasaan yang paling besar dan paling tinggi).[4] Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“(Ingatlah) Ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah (Adam) di atas muka bumi”[5]

Dalam konteks yang lebih luas, khalifah bermaksud gealaran yang telah diberikan kepada seseorang yang menduduki tempat seseorang yang lain semasa ketiadaannya.[6] Di sini dihubungkan dengan jawatan pengganti Rasulullah s.a.w. dalam melaksanakan tuntutan syarak.

Mohd Azam Mohamed Adil, Rafeah Saidon dan Noorul Huda Sahari (2006) mendefinisikan khalifah sebagai ketua Negara yang bertanggungjawab di atas keagamaan dan kenegaraan.[7] Ulama Salaf pula mereka mentafsirkan khalifah merupakan orang yang mengetuai hal-hal keagamaan dan keduniaan sebagai kesinambungan tugas Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itu, khalifah berfungsi memimpin umat islam sesuai dengan tuntutan syarak yang bertindak sebagai pengganti, pemelihara agama dan mengurus hal-hal berkaitan keduniaan terutama pentadbiran negara.

Oleh itu, seseorang yang memegang jawatan kahlifah ini harus mengikut undang-undang dan hukum Islam sebagaiman juga rakyat jelata. Khalifah ini juga tidak boleh bertindak sesuka hati dengan mengikut hawa nafsu dan fikiran semata-mata.

Khalifah yang pertama selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. ialah Saidina Abu Bakar al-Siddiq. Beliau telah menggantikan tempat Rasulullah dan memimpin umat Islam ketika itu. Gelaran ini telah digunakan sepanjang pemerintahan khalifah yang empat (khalifah al-Rasyidin). Penggunaan gelaran khalifah ini diikuti oleh pemimpin seterusnya.[8]

Oleh itu sebagai kesimpulannya ialah khalifah berfungsi sebagai pengganti Rasulullah s.a.w. untuk memimpin Negara seterusnya memikul tanggungjawab yang lebih penting sebagai pemimpin agama.


AMIR AL-MUKMININ

Amir bermaksud ketua atau pemimpin manakala mukminin bermaksud orang-orang mukmin. Amir al-Mukminin pula membawa maksud ketua bagi orang Islam. Orang yang pertama diberi gelaran ini ialah Umar al-Khattab selaku Ketua Negara Islam yang kedua.[9] Gelaran ini juga telah digunakan sehingga zaman al-Uthmaniyyah.[10]

Gelaran ini juga pernah digunakan kepada Rasulullah s.a.w. pada zaman Jahiliah lagi di mana pada ketika itu baginda digelar Amir Mekah dan Amir Hijaz.[11] Di samping itu, pemimpin tentera juga menggunakan perkataan Amir seperti Amir al-Jaisy.


IMAM

Berasal dari perkataan Amma iaitu hadapan. Apabila dikatakan seseorang itu imam kepada sesuatu kaum, maknanya dia berada dihadapan. Justeru manusia harus mentaati perintahnya selagi mana imam tersebut mentaati perintah Allah dan RasulNya.

Imam juga membawa maksud orang yang menjadi ikutan sama ada perkataan atau perbuatannya benar atau salah.[12] Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia Dengan nama imamnya”[13]

Dalam konteks yang lebih luas, Imam bermaksud pemimpin bileh digunakan dalam pelbagai konteks termasuklah kepimpinan dalam mengerjakan ibadat dan kepimpinan dalam mengetahui sesuatu atau aliran pemikiran dan manhaj perundangan. Al-Mawardi (1966) menyatakan suatu kedudukan yang diadakan untuk menggntikan tugas kenabian dalam urusan memelihara agama dan mengendalikan urusan keduniaan.

ULU’L AMR

Mengandungi dua perkataan iaitu Ulu dan al-Amr. Menurut Ahli Sunnah, Ulu’l Amr ialah orang-orang yang dibai’ah oleh orang-orang Islam di dalam pemerintahan dan orang-orang yang memberi bai’ah kepada mereka wajib mentaati mereka.[14] Firman Allah s.w.t. mengenai Ulu’l Amr yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”[15]

QIYADAH

Qiyadah ialah orang yang memandu ternakan. Pemandu berada di hadapan, manakala binatang ternakan itu berada di belakang. Al-qa’id seorang yang menjadi ketua kepada sesuatu kaum atau kumpulan.

Al-qiyadah adalah orang yang dilantik memegang teraju kepimpinan, urusan pentadbiran awam,termasuk khalifah, ketua tentera, ketua polis,para menteri, kadi dan kesemua pegawai yang memegang terajun kepimpinan pentadbiran awam negara.


RI’AYAH

Al-ri’ayah adalah bermaksud pemeliharaan dan penjagaan. Orang yang memelihara atau menjaga sesuatu dinamakan ra’in, jama’nya ra’un.

Ra’un ialah orang yang memelihara segala amanah yang diamanahkan kepadanya, menunaikan segala janji yang pernah di buatnya serta tidak mensia-siakannya. Al-Rai’ ialah orang yang memelihara, mengurus atau memimpin. Dituntut berlaku adil dan menjaga amanah dengan sempurna.


RI’ASAH

Al-ri’asah adalah seerti dengan al-za’amah dan al-siyadah yang bermakna keketuaan. Al-Ra’is ialah ketua kaum (kumpulan), dia sebagai Amir dan kaum itu sendiri memperakui kepimpinannya ke atas mereka. Al-Ra’is juga bermakna orang yang membimbing ke jalan yang betul.


SIYADAH

Al-siyadah bermakna ketuanan. Al-sayyid adalah orang yang dilantik menjadi tuan ( ketua) kepada orang lain. Al-sayyid juga sering dikaitkan dengan orang memiliki sesuatu seperti hamba.

Qatadah menyatakan al-sayyid di sini bererti pemimpin di bidang ilmu pengetahuan dan peribadatan. Ibn Jabir & al- Dahhak berpendapat al-sayyid bererti pemimpin di bidang ilmu pengetahuan dan ketaqwaan.

Mujahid al-sayyid bermakna orang yang mulia di sisi Tuhan manakala Ibn Zaid menyatakan al-sayyid ialah orang dapat menahan kemarahanya.


ASAS-ASAS KEPIMPINAN ISLAM


Terdapat lima asas yang mengawal kepimpinan Islam iaitu:[16]


1) Berpandukan al-Quran dan al-Sunnah

Al-Quran merupakan sumber pertama perundangan Islam. Allah s.w.t. telah memberi jaminan bahawa al-Quran terpelihara daripada sebarang penyelewengan sehingga Hari Kiamat.

Al-Sunnah pula merupakan sumber kedua perundangan Islam bahkan ia merupakan penjelasan kepada al-Quran dan sebagai pelengkap bagi sistem Islam. Umat Islam wajib mengambil al-Quran & al-Sunnah sebagai perlembagaan. Hadis Nabi menyebut :

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang engkau tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana engkau berpegang kepada kedua-duanya : Kitabullah & Sunnah Nabi-Nya”


2) Menegakkan Kebenaran

Al-Haq atau kebenaran menjadi tunggak dalam ajaran Islam yang perlu diterapkan sama ada di peringkat individu sehinggalah ke peringkat negara. Firman Allah yang bermaksud :

“(Allah Yang menyatakan itu) Dia lah Yang telah mengutus RasulNya (Muhammad, s.a.w) Dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama Yang benar (ugama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas Segala bawaan ugama Yang lain; dan cukuplah Allah menjadi saksi (tentang kebenaran apa Yang dibawa oleh RasulNya itu).”[17]

Seseorang pemimpin wajib sentiasa berada dalam kebenaran. Kebenaran yang dibawa Islam mesti ditegakkan setiap masa. Ideologi yang lain tidak boleh menjadi dasar sehingga boleh mempengaruhi kepimpinan.


3) Syura

Syura adalah mengeluarkan pendapat setelah mengadakan perbincangan atau mesyuarat.[18] Syura juga adalah satu system pemerintahan oleh Allah kepada RasulNya dan dikembangkan oleh sahabat serta sarjana-sarjana Islam sesuai dengan perkembangan zaman dan tempat.[19]

Ibn Manzur daalam Lisan al-Arab mendefinisikan syura ialah penyaringan madu iaitu menyaring madu dari sarangnya. Di sini dapat difahami syura memerlukan unsure-unsur kerahan fikiran dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Syura merupakan prinsip pertama dalam kepimpinan Islam. Para pemimpin Islam wajib melaksanakan syura dengan orang yang dapat memberikan pandangan yang baik. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”[20]

Pelaksanaan syura ini menjadi asas dalam melaksanakan keputusan. Syura juga berfungsi sebagai tempat menyelia tindakan pemimpin agar tidak terkeluar daripada garis panduan seorang pemimpin dalam menjalankan tugasnya. Pemimpin sudah tentu tidak wajib melaksanakan syura dalam semua perkara. Perkara -perkara biasa hendaklah dihadapi dengan cara dan kaedah yang lain. Perkara biasa dan perkara yang melibatkan perancangan dan polisi hendaklah dibezakan serta dijelaskan oleh ahli-ahli terlibat mengikut saiz, keperluan, sumber manusia, dan suasana yang memerlukan dan mendesak. Pemimpin mestilah mengikut dan melaksanakan keputusan yang dibuat dalam lingkungan syura. Dia hendaklah mengelakkan diri daripada bermain dengan kata-kata yang menonjolkan pendapatnya atau mengubah keputusan yang diputuskan oleh syura.

Secara umumnya, panduan untuk memahami perjalanan kegiatan syura ini adalah seperti dibawah:

1) Hal pentadbiran dan pengurusan hendaklah dikendalikan oleh pemimpin.

2) Urusan yang memerlukan keputusan yang pantas dan segera hendaklah ditangani oleh pemimpin dan dibentangkan kepada jamaah mesyuarat atau melalui telefon persidangan.

3) Ahli-ahli atau wakil mereka hendaklah mampu memeriksa dan mempersoalkan tindakan pemimpin secara bebas tanpa mempunyai perasaan malu.

4) Dasar-dasar yang hendak diambil, objektif jangka panjang dan keputusan yang penting mestilah dibuat oleh wakil yang dipilih dalam suatu proses syura yang besar. Perkara ini tidak boleh diserahkan kepada pemimpin sahaja.

Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menkadi contoh yang baik kepada umatnya dalam hal menghormati dan melaksanakan dasar ini. Mereka bermesyuarat dalam mengambil keputusan terhadap sesuatu perkara. Antara contoh amalan syura yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat adalah seperti berikut :

1. Sewaktu Perang Uhud, baginda bermesyuarat dengan umat Islam untuk menentukan strategi perang; sama ada bertahan di Madinah atau keluar menyerang. Majoriti berpendapat lebih baik keluar, tetapi baginda dan beberapa orang sahabat lain tidak bersetuju demikian, namun baginda tetap mengikut pendapat majoriti.

2. Dalam peristiwa Hudaibiah, baginda bermesyuarat dan berpendapat lebih baik ditawan golongan musyrik, tetapi Abu Bakar berkata baginda “Kita datang bukan untuk membunuh seseorang tetapi untuk mengambil umrah.” Baginda bersetuju dengan pendapat Abu Bakar r.a.

3. Sesudah baginda Rasulullah s.a.w. wafat, orang Islam telah berkumpul di Thaqifah Bani Saidah. Orang Ansar mengeluarkan pendapat mereka tentang khalifah. Orang Muhajirin juga berbuat demikian. Mereka sama-sama bermesyuarat dan akhirnya bersetuku melantik Abu Bakar r.a.


4) Adil

Al-Quran datang untuk mendidik dan mengatur umatnya kearah kebaikan. Ia juga melahirkan orang yang berilmu dan menegakkan system yang benar. Al-Quran juga hadir membawa dasar-dasat yang menjamin keutuhan dan kesejahteraan umat manusia.

Adil yang dikehendaki oleh Islam dan perlu ada pada seorang pemimpin terbahagi pada dua iaitu adil pada agama dan adil pada akhlak. Adil pada agama adalah teguh dengan ajaran islam dan menunaikan sgala syariatnya manakala adil pada akhlak ialah berbudi pekerti, bertaqwa dan wara'.

Al-Mawardi berpendapat bahawa adil di sini ialah dia seorang yang bercakap benar, amanah pada zahirnya, bersih diri daripada perkara haram dan daripada perkara dosa, juga bersih daripada perkara yang meragukan, sentiasa tenang dan keadaan biasa dan dalam keadaan marah, kualiti maruahnya dihayati dalam urusan agama dan dunia.

Sememangnya menjadi kewajipan ke atas sesiapa yang diberikan kekuasaan oleh Allah memerintah hamba-hambaNya dan mentadbir sebahagian daripada bumiNya untuk menjadikan keadilan sebagai asas pegangannya, tonggak sandarannya kerana ia membawa kepada kebaikan ummah dan kemakmuran negara.[21]

Pemimpin hendaklah berlaku adil dalam menjalankan tugasnya tanpa melihat kepada bangsa, warna kulit ataupun agama. Sifat-sifat buruk seperti dendam, hasad dan sebagainya bukan menjadi sifat pemimpin Islam. Walaupun terhadap orang yang dibencinya namun tidak menghalangnya melakukan keadilan dan memberi hak yang saksama terhadap orang yang dipimpinnya. Allah telah berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekalikali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”[22]

Dalam Islam kebenaran dan keadilan adalah antara unsur yang mesti diberi penekanan dan tidak boleh bertolak ansur dengannya. Kebenaran tidak boleh dijual beli dengan harta benda dunia dan kedudukan serta dianggap pengkhianat agama bagi sesiapa yang tidak mementingkan kebenaran dan keadilan. Firman Allah S.W.T. tentang kepentingan keadilan ini yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu

bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya.

Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin

menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa

yang kamu kerjakan[23]


5) Kebebasan Mengeluarkan Pendapat

Kebebasan adalah nilai keindividuan dan hak asasi paling mahal yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada manusia. Dengan nilai inilah, manusia dapat dibezakan daripada segala makhluk bernyawa. Kedatangan Islam adalah untuk menjamin hak-hak kebebasan ini dengan segala rupa bentuknya, dan memeliharanya daripada dipersiakan atau dipermainkan oleh kuku-kuku besi dan pelanggaran hak asasi orang lain.

Pemimpin Islam mestilah menyediakan ruang yang membolehkan orang yang dipimpinnya bebas memberi pandangan dan idea yang membina. Peluang diberikan sepenuhnya kepada orang yang dipimpin menyampaikan pandangan secara bebas dan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan. Kedudukan sebagai seorang pemimpin bukan menjadi halangan untuk menjelaskan kebenaran. Inilah yang menjadi amalan umat pimpinan Khulafa al-Rasyidin yang sanggup menegur peminpin dengan amaran mata pedang jika pemimpin mereka melakukan kesilapan.

Kepimpinan Islam bukanlah satu bentuk kepimpinan yang zalim. Islam mewajibkan seseorang pemimpin mesti bersikap adil, berunding dan sentiasa hormat menghormati antara pemimpin dan yang dipimpin. Seseorang pemimpin bertanggungjawab bukan sahaja kepada para pengikutnya tetapi yang lebih berat ialah tanggungjawab terhadap Allah s.w.t.



[1] Ahmad Redzuwan Mohd Yunus (2001), Demokrasi Dan Kepimpinan Islam Suatu Perbandingan, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., hlm. 21

[2] Ibid., hlm. 22

[3] Ab. Mumin Ab. Ghani & Fadilah Mansor (Eds.), (2006), Dimensi Pengurusan Islam : Mengurus Kerja dan Mengurus Modal Insan. Cet. 1. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, hlm. 163

[4] Ahmad Redzuwan Mohd Yunus (2001), op.cit., hlm. 26

[5] Surah al-Baqarah : 30

[6] Ahmad Redzuwan Mohd Yunus (2001), op.cit., hlm. 26-27

[7] Mohd Azam Mohamed Adil, Rafeah Saidon & Noorul Huda Sahari (2006), Perundangan Dan Kenegaraan Islam, Cet. 1, Kuala Lumpur : iBook Publication Sdn. Bhd., hlm. 100

[8] Ahmad Redzuwan Mohd Yunus (2001), op.cit., hlm. 27

[9] Ibid.

[10] Lutpi Ibrahim (1993), Konsep Imamah Dan Khilafah Serta Implikasinya Menurut Ahlu’s-Sunnah Wa’l Jama’ah, Cet. 1, Shah Alam : Hizbi Sdn. Bhd., hlm. 5

[11] Ahmad Redzuwan Mohd Yunus (2001), op.cit., hlm. 28

[12] Lutpi Ibrahim (1993), op.cit., hlm. 5

[13] Surah al-Isra’ : 72

[14] Lutpi Ibrahim (1993), op.cit., hlm. 5

[15] Surah al-Nisa’ : 59

[16] Ahmad Redzuwan Mohd Yunus (2001), op.cit., hlm. 33-38

[17] Surah al-Fath : 28

[18] Lutpi Ibrahim (1993), op.cit., hlm. 3

[19] Mohd Azam Mohamed Adil, Rafeah Saidon dan Noorul Huda Sahari (2006), op.cit. hlm. 98

[20] Surah al-Syura : 38

[21] Khalid Ali Muhammad Al-Anbariy (2008), Sistem Politik Islam, Kuala Lumpur : Telaga Biru, hal. 191.

[22] Surah al-Maidah : 8

[23] Surah al-Nisa’ : 13



*Artikel ini merupakan sebahagian isi kertas kerja penulis yang bertajuk "Prinsip Asas dan Tingkah Laku Pengurusan Islam"


http://fadziljamal.blogspot.com

Wednesday, November 4, 2009

Selamat Menghadapi Peperiksaan...



Kepada semua Mahasiswa Universiti Malaya

Saya mengucapkan Selamat Menghadapi Peperiksaan akhir semester 1 09/10

Moga kalian mendapat keputusan cemerlang~~

Usaha + Doa+ Tawakkal

Insyaallah berjaya...

Sunday, November 1, 2009

Arsenal belasah Spurs


Arsenal terus mengekalkan memontum kemenangan mereka apabila menewaskan Tottenham Horstpur 3-0 malam tadi. Spurs yang begitu yakin mampu menewaskan Arsenal sebelum perlawanan bermula tergamam apabila jentera serangan Arsenal yang diketuai Robin van Persie dan playmaker kreatif, Cesc Fabregas sukar digugat.

Permulaan yang agak seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan pada awal permainan tetapi mula berubah pada pertengahan permainan babak pertama. Arsenal yang menguasai permainan di akhir babak pertama akhirnya mendapat gol pertama pada minit ke 42 menerusi Robin van Persie apabila menyempurnakan hantaran lntang Bacary Sagna.

Seterusnya, Cesc Fabregas membuktikan beliau pemain berkualiti yang dimiliki Arsenal apabila melakukan gerakan solo dari tengah padang dengan menggelecek lima pemain Spurs sebelum melepaskan rembatan untuk gol kedua Arsenal pada minit ke 43.

Bermula babak kedua, Spurs melakukan gerakan melalui jentera tengah mereka yang dketuai Jenas dan Bentley tetapi akhirnya tenggelam dengan penguasaan Fabregas, Arshavin, Diaby dan Alex Song.

Arsenal akhirnya melengkapkan kemenangan bergaya mereka apabila penyerang prolifik mereka Robin van Persie menjaringkan gol ke tiga Arsenal pada minit ke 60.

Arsenal kini berada di tangga ketiga dalam carta EPL di belakang dua kelab gergasi iaitu Manchester United dan Chelsea.