Tuesday, May 8, 2012

Ciri-Ciri Negara Yang Baik & Diredhai Allah


Di dalam Surah Saba' pada penghujung ayat 15 yang bermaksud "Negara yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun". Persoalannya ialah apakah ciri-ciri sebuah negara yang baik?

Terdapat 4 ciri atau sifat negara yang baik yang dijanjikan keampunan oleh Allah s.w.t. :-

1) Makmur
-Kemakmuran itu dinikmati oleh seluruh rakyat bukan kenikmatan yang dikecapi oleh golongan-golongan tertentu sahaja.
-Kita merujuk Surah al-Hasyr pada pertengahan ayat ke 7 yang bermaksud "supaya harta (kekayaan negeri) itu tidak hanya berlegar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu". Di sini Islam menganjurkan supaya kekayaan sebuah negara atau negeri itu diagih-agihkan kepada rakyat dengan sebaik mungkin.
-Kita melihat pula Surah al-Nisa' pada ayat 76 untuk membezakan perjuangan orang beriman dengan orang tidak beriman yang bermaksud "Orang-orang yang beriman berjuang di jalan Allah manakala orang yang tidak beriman berjuang di jalan Taghut (syaitan)". Kita merujuk pula Tafsir Dr Hamka yang memberi tafsiran pada ayat ini yang menyebut terdapat 3 matlamat golongan beriman apabila mereka berkuasa iaitu mereka berusaha mewujudkan masyarakat yang bertakwa, makmur dan adil. Salah satunya makmur itu bermaksud kemakmuran yang dinikmati oleh seluruh rakyat bukan hanya pada golongan-golongan tertentu sahaja.
-Sebagai contoh yang mudah, pemberian projek-projek haruslah diberikan dan dibuka secara adil. Ia tidak harus dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja yang menzahirkan amalan kronisme dan nepotisme.

2) Aman
-Jika melihat dalam konteks Malaysia adakah negara ini benar-benar negara yang aman? Kita tidak boleh menafikan kes jenayah berlaku pada setiap hari pada tahap yang membimbangkan. Antaranya ialah kes bunuh, rogol, culik, merompak dan lain-lain lagi.
-Mari kita merenung ayat 124 Surah Taha yang bermaksud "Dan barang siapa yang berpaling ingkar dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit...". Kehidupan yang sempit dengan pengertian jiwa sentiasa gelisah dan bimbang. Sebagai contoh kita berasa risau dan bimbang dengan kadar jenayah yang semakin menjadi-jadi serta gejala sosial yang kian meruncing di kalangan muda-mudi dalam negara ini.
-Allah berfirman lagi pada Surah al-Nur ayat 63 bermaksud "Maka berjaga-jagalah orang-orang yang menyalahi perintah Kami (Allah) sama ada kamu akan ditimpa bala' bencana atau ditimpa azab yang pedih". Jika difahami di sini ialah jenayah itu adalah bala'. Jangan diingat hanya bala' bencana itu seperti banjir kilat atau kemarau sahaja.
-Jika dilihat dalam konteks Islam, jenayah itu dapat diminimumkan dengan terlaksananya Undang-Undang Jenayah Islam seperti hudud dan qisas. Persoalan di sini adakah Malaysia melaksanakan perintah Allah ini? Yang ada hanya lah omongan kosong pihak pemerintah yang menyatakan Undang-Undang Jenayah Islam ini tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia. Oleh yang demikian, apa yang berlaku hari ini dan sebelumnya harus direnung dengan mata hati agar kita tidak tergolong dalam golongan yang disebutkan pada ayat di atas.
-Kita lihat pula Surah al-Nur ayat ke 55. Secara mafhumnya, Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad). Yang pertama ialah kekuasaan. Allah akan wariskan bumi ini kepada golongan beriman dan beramal soleh. Yang kedua ialah agama Islam (agama yang Allah redha) ini menjadi agama yang teguh dan kukuh. Yang ketiga ialah Allah akan gantikan keamanan (setelah mereka mengalami ketakutan) dalam kehidupan. Ketiga-tiga janji Allah ini bersyarat iaitu selama mana mereka menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan-Ku dan barang siapa yang kufur sesudah itu, mereka itu lah orang-orang yang fasik.

3) Adil
-Adil di sini bermaksud beri kepada yang berhak menerima.
-Kita merujuk Surah al-Ma'idah pada pertengahan ayat ke 8 bermaksud "Dan janganlah kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu tidak berlaku adil. Berlaku adil lah kerana adil itu hampir kepada takwa...".
-Contoh praktikal yang boleh dilaksanakan ialah seorang Menteri Besar dan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri telah bersetuju untuk menjalankan projek Rumah Dhuafa' (orang miskin). Beliau mampu membina hanya 2 buah rumah dalam setiap DUN. Jika beliau seorang yang faham erti adil dalam Islam, beliau akan menjalankan projek tersebut termasuk DUN di bawah wakil rakyat pembangkang.
-Adil juga disebut di dalam Al-Quran pada Surah al-Nisa' pada pertengahan ayat ke 58 yang bermaksud "Dan apabila kamu ingin menghukum di kalangan manusia, hukum lah dengan seadil-adilnya".
-Persoalan yang ingin saya timbulkan: Adil atau tidak orang yang kena tuduh (OKT) atau dituduh tidak dibenarkan membela diri? Jika dilihat undang-undang yang hampir dalam konteks ini ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang terdapat di Malaysia.
-Saya telah menghuraikan 4 dalil zalimnya ISA pada 'post' di dalam blog saya ini yang bertajuk "4 Hujah Kukuh Zalimnya ISA". Anda boleh search dan lihat huraian terperinci yang telah saya bincangkan.
-Ini pula peringatan kepada mereka yang mentaati sesuatu perintah dengan tidak tahu pucuk pangkal sama ada betul atau salah:-
Mari kita renung ayat 97-99 pada Surah Hud yang bermaksud "Kepada Fir'aun dan kaumnya lalu kaum Fir'aun menurut perintah Fir'aun sedang perintahnya itu tidak betul. Fir'aun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat, kemudian ia akan membawa mereka masuk ke neraka, dan seburuk-buruk tempat yang di masuki ialah neraka dan mereka diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini dan pada hari kiamat".
-Jika difahami pada ayat ini ialah perintah Fir'aun supaya membunuh semua kanak-kanak lelaki yang baru lahir setelah mendapat tahu kerajaannya akan hancur di tangan seorang kanak lelaki tidak sepatutnya diikuti oleh pengikutnya. Di sini kita juga dapat memahami jika meneliti sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud "Sesungguhnya ketaatan itu hanya pada perkara makruf".
-Selain itu, ayat 59 Surah al-Nisa' jelas menyatakan Allah hanya menyebut ketaatan itu kepada Allah & Rasul sahaja! Tiada kalimah taat kepada pemimpin. Manusia kita tidak boleh taat sekiranya perintah itu menyalahi syarak. Ketaatan hanya pada perkara makruf!

4) Amar makruf nahi mungkar
-Lihat terjemahan ayat 110 pada Surah Ali Imran (ayat famous). Apa yang difahami pada ayat ini ialah menyuruh kepada makruf dan pada yang sama mencegah yang mungkar dan itu lah tanda kamu beriman kepada Allah. Oleh sebab itu, beriman kepada Allah terletak di penghujung ayat. Allah mahu hamba-Nya membuktikan tanda keimanan kepada Allah dengan melakukan 2 kerja iaitu amar makruf nahi mungkar.
-Jika kita hanya menyuruh makruf tanpa nahi mungkar kita akan ditimpa bala' bencana. Lihat ayat 78-79 Surah al-Ma'idah yang bermaksud "Telah dilaknat orang-orang kafir Bani Israel atas lisan Daud dan Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu mereka menderhakai Allah dan selalu menceroboh. Mereka tidak mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh kaum mereka, demi sesungguhnya amat lah buruk apa yang mereka telah mereka lakukan".
-Lihat lagi peringatan Allah pada ayat 16 pada Surah al-Isra' yang ditafsir oleh Ulama dengan menyatakan sebab merebaknya larangan-larangan Allah dan berlaku segala kemungkaran di dalam sebuah negara adalah golongan ketua (pemimpin) dan orang-orang yang terkemuka. Mereka ada kuasa dan pengaruh yang menjadi ikutan kepada masyarakat.

Sebagai kesimpulan, perjuangan menegakkan sebuah negara yang baik dan diredhai Allah terletak di bahu kita semua. Sekiranya kita melafazkan keimanan kepada Allah, maka kita harus membuktikannya dengan perbuatan atau perlaksanaan dalam kehidupan. Jika semua umat Islam kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah sudah pasti bahawa negara sejahtera dan mendapat keampunan Allah akan menjelma pada suatu hari nanti. InsyaAllah..