Monday, March 26, 2012

4 Hujah Kukuh Zalimnya ISA!!!

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah tidak lagi relevan pada masa kini walaupun pihak kerajaan berhajat untuk memindanya agar 'mesra alam'. Akta ini sudah tersasar jauh dari matlamat asal penggubalannya iaitu ketika zaman memerangi komunis.
Hasrat kerajaan untuk menangani aktiviti subversif dilihat murni akan tetapi akta ini sudah disalah guna untuk kepentingan politik pemerintah. Individu yang tidak berdosa telah menjadi mangsa akta zalim ini. Ada di antara mereka merengkok di dalam tahanan bertahun-tahun tanpa dibacarakan untuk mendapat pengadilan yang sewajarnya sekaligus keluarga tercinta ditinggalkan dalam keadaan terabai dan tidak terurus.

Islam sangat mementingkan soal keadilan kepada semua penganutnya. Setiap muslim berhak untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya. Dalam konteks kenegaraan, kerajaan atau pemerintah wajar berlaku adil terhadap rakyat manakala rakyat wajib patuh terhadap segala perundangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Namun begitu, kerajaan yang adil menurut Islam haruslah mengikut seluruh prinsip pentadbiran dan pemerintahan Islam agar rakyat yang berada di bawah hidup dalam keadaan aman dan harmoni tanpa rasa tertindas.

Berikut 4 hujah untuk membuktikan zalimnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA):-

1. Surah Sad ayat 24

"Nabi Daud berkata: "Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam pelbagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih; sedang mereka amatlah sedikit!" Dan Nabi Daud (setelah berfikir) mengetahui sebenarnaya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat)"

*Lihat Nota Kaki ayat ini (No. 1524) Tafsir Pimpinan Ar-Rahman versi Rumi
Ringkasan: Nabi Daud segera memohon ampun kepada Allah kerana ia telah terlanjur mengatakan orang yang kena tuduh berlaku zalim sebelum mendengar keterangannya, padahal sewajibnya sebagai seorang kadhi/hakim haruslah tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman sebelum memberi peluang tertuduh membela diri.


2. Surah al-Baqarah ayat 111

"...Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar"


3. Hadis ke-33 (Matan Arbai'in@Hadis 40)

Dari Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kalau diberikan kepada manusia-apa saja-yang didkwakan mereka, tentu akan mendakwa beberapa orang lelaki kan harta satu kaum dan darah mereka tetapi saksi atas orang yang mendakwa dan sumpah atas yang ingkar (tertuduh).

~Hadis Riwayat al-Baihaqi~

*Keterangan hadis: Hadis ini mempunyai kedudukan dan nilai yang utama dalam jurusan kehakiman, di mana seorang hakim dalam Islam adalah dikehendaki memutuskan sesuatu perkara dengan adil berdasarkan keterangan yang diberikan kepadanya.


4. Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan

Jika seseorang itu ditangkap maka ia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera sebab-sebab ia ditangkap dan ia hendaklah dibenarkan berunding dengan seorang pengamal undang-undang yang dipilih olehnya dan dibela oleh pengamal undang-undang itu.


Kesimpulannya, Islam sudah mempunyai susun atur dalam pendakwaan kes ke atas seseorang. Begitu juga kepada tertuduh yang berhak diberi kebebasan untuk membela diri. Seterusnya hakim haruslah mengadili perbicaraan dengan adil setelah mendengar hujah dari pihak pendakwa dan tertuduh.

Persoalannya, sampai bila akta zalim ini terus menindas tertuduh tanpa diberi ruang perbicaraan yang adil? Jika anda berada di tempat tertuduh atau menjadi salah seorang ahli keluarga tertuduh, adakah anda boleh menghadapi semua ini?

Sekadar pandangan & perkongsian. Wallahu A'lam.