Friday, July 17, 2009

MPMUM ke Luar Kampus

Assalamualaikum & Salam Sejahtera...

Perasaan di hati bercampur gembira, ceria dan duka apabila saya dan pimpinan MPMUM sesi 08/09 lain mendekati rakan-rakan mahasiswa luar kampus.

Lautan syukur keatas Yang Esa kerana mempermudahkan program ziarah mesra MPMUM ke luar kampus. Kami menyelami perasaan & kesusahan mahsiswa luar kampus yang 'jauh' sedikit menikmati nikmat suasana kehidupan 'berkeluarga' di dalam universiti.

Genap tiga hari kami melakukan roadshow dari rumah ke rumah bermula pada malam selasa, rabu dan berakhir malam tadi. Kami bermula di kediaman Vista Angkasa & flat PKNS. Pada malam rabu kami mendekati mahasiswa di Bukit Angkasa & Pantai Permai seterusnya berakhir pada malam tadi di kediaman Kondo Rakyat & Seksyen 17.

Pelbagai pengalaman dirasai oleh pimpinan MPMUM selepas tiga hari bersama mahasiswa luar kampus. Kebanyakan dari mereka menyambut kami dalam keadaan terharu kerana selama ini mereka tidak pernah dikunjungi oleh pimpinan MPMUM yang juga merupakan badan tertinggi pelajar di UM. Sedikit buah tangan kami berikan disamping menerima aduan dan masalah yang membelenggu mereka selama ini.
Saya mewakili pimpinan MPMUM yang juga Pengerusi Biro Penginapan Kolej Kediaman & Luar Kampus mengucapkan ribuan terima kasih kepada AJK MPMUM yang terlibat secara langsung dan tidak langsung mengiringi YB-YB MPMUM mendekati sahabat-sahabat di luar kampus. Bagi sahabat-sahabat mahasiswa luar kampus, saya merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada kalian yang sudi menerima lawatan kami. Segala aduan dan masalah kalian akan saya cuba selesaikan mengikut kudrat saya yang tersedia lemah sebagai seorang manusia.

Semoga amal yang sedikit ini diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t.


"Bersama Menjulang Tradisi Kecemerlangan"

We Unite For UM




Thursday, July 9, 2009

PPSMI dimansuhkan mulai 2012


Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu.

Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012. ~ malaysiakini

Thursday, July 2, 2009

SELAMAT DATANG


Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera...
Salam perjuangan buat mahasiswa & mahasiswi baru sesi 2009/2010

Kami di peringkat MPMUM sesi 08/09 mengucapkan selamat menempuh alam kampus yang penuh dengan cabaran dan rintangan.
Kesungguhan, kesabaran, kecekalan yang tinggi pasti membuahkan kejayaan yang gemilang.

Selamat Maju Jaya!!!

We Unite for UM