Monday, April 30, 2012

Islam, Demokrasi & Pilihan Raya di Malaysia


Pengenalan

Artikel ini mempunyai dua bahagian penting. Pertama, penulis ingin membawa pembaca melihat hubungan antara Islam dan demokrasi terutamanya aspek-aspek yang selari dan mempunyai perbezaan. Kedua, hubungan antara Islam dan demokrasi diaplikasikan dalam konteks perjalanan pilihan raya di Malaysia.

Dari sudut teori, secara umum telah diterima terdapat keselarian di antara Islam dan demokrasi, walaupun secara hakikinya mungkin terdapat beberapa perbezaan yang agak ketara antara Islam dan demokrasi. Salah satunya, persoalan sumber kedaulatan di mana sumber kedaulatan dalam demokrasi adalah rakyat (People Sovereignty) manakala dalam Islam sumber kedaulatan adalah Allah (Divine Sovereignty). Dengan berpegang kepada beberapa pra-syarat atau asas hukum (usul fiqh) seperti konsep mubah dan memberi penekanan kepada senarai keutamaan (fiqh al-awlawiyyat), maka kewujudan parti politik yang mengambil bahagian dalam proses pilihan raya adalah dibenarkan dalam Islam. Pihak ulama tersohor dari Universiti Al-Azhar telah mengemukakan pandangan yang sama sejak tahun 1950-an lagi. Walaubagaimanapun, membenar parti politik berpartisipasi dalam pilihan raya di bawah naungan sistem demokrasi harus difahami berdasarkan dua pendekatan yang bersifat berjaga-jaga. Pertama, mengelakkan daripada negara-negara Islam diperintah secara autoriatarian (dan lebih buruk lagi totalitarian) dalam mana-mana aspek seperti ketelusan dan pertanggungjawaban dilihat amat mahal harganya, maka sudah semestinya proses pilihan raya dalam sistem demokrasi perlu diberi keutamaan. Kedua, apabila sebuah negara Islam membenarkan proses pilihan raya dijalankan maka persoalan yang perlu ditanya seterusnya ialah: Apakah proses pilihan raya yang dijalankan itu benar-benar mengikut tuntutan demokrasi? Secara lebih khusus apakah ia memenuhi tuntutan sebenar aspek-aspek persaingan (competition) dan perwakilan (representation) iaitu dua pra syarat yang perlu wujud bagi membolehkan satu-satu sistem politik itu dilabel sebagai demokratik. Selain itu, adakah padang permainan yang disediakan adalah sama rata atau sebaliknya adalah sesuatu yang juga relevan dalam konteks ini.

Syura dan Demokrasi

Perkataan syura berakar umbi daripada perkataan syawara yang di antara maksudnya ialah 'mengeluarkan madu dari sarang lebah'. Dari kata dasar syura terhasil perkataan musyawarah yang bermaksud nasihat, perundingan dan permuafakatan. Apa yang menarik di sini perkataan 'madu' dihubungkait dengan perkataan 'syura' dalam erti kata madu adalah ubat kepada pelbagai penyakit. Menggunakan analogi yang sama, syura adalah ubat kepada penyakit politik yang pelbagai terutamanya politik didefinisikan dari perspektif sekular sebagai 'seni serba mungkin' (the art of the possible). Apa yang lebih menarik di sini ialah al-Quran (al-Syuura 42: 38) telah meletakkan aktiviti syura sebaris dengan solat. Ini amat difahami kerana mengikut beberapa hadis, Rasulullah SAW adalah orang yang paling kerap bermesyuarat (bersyura) dengan para sahabat dan hadis juga ada menyebut bahawa agama Islam (al-din) itu bertunjangkan nasihat (syura).

Sistem demokrasi moden secara asasnya berdasarkan dua aspek iaitu perwakilan dan persaingan. Apa yang dimaskudkan dengan sistem demokrasi moden berteraskan aspek perwakilan ialah sistem pilihan raya dalam sistem demokrasi moden membenarkan calon-calon yang bertanding di atas tiket parti politik yang berbeza sebagai satu kaedah mewakili rakyat terbanyak dalam kawasan-kawasan tertentu yang telah dikenalpasti. Sistem demokrasi moden yang membenarkan seorang atau beberapa wakil rakyat mewakili rakyat terbanyak dalam satu-satu kawasan melalui proses pilihan raya dikenali sebagai demokrasi secara tidak langsung (indirect democracy). Disebabkan penambahan pengundi yang ramai dalam negara moden, maka pengundian atau demokrasi secara langsung (direct democracy) sebagaimana yang diamalkan masyarakat Yunani Kuno tidak mungkin lagi dilaksanakan.

Aspek persaingan pula tidak begitu jelas tertonjol dalam definisi atau ciri-ciri syura sebagaimana sebelum ini walhal aspek persaingan merupakan adalah sesuatu yang pokok dalam sistem demokrasi. Dalam konteks ini al-Quran (Surah al-Hajj: 40) menggunakan konsep daf'un yang secara literalnya bermaksud 'tolak-menolak'. Secara lebih luas ia merujuk kepada aspek persaingan yang sihat (healthy competition), dalam ertikata persaingan yang berteraskan undang-undang permainan (rules of the game) yang didasarkan kepada nilai-nilai moral yang suci. Atas dasar inilah Islam tidak memperakui padang permainan yang tidak sama rata semasa berlangsungnya proses pilihan raya. Ini bermakna Islam menekankan beberapa pentingnya diwujudkan suasana yang membolehkan persaingan secara sempurna (perfect competition) dapat berlangsung dan menolak sistem politik yang melahirkan suasana yang membawa kepada persaingan yang tidak sempurna (imperfect competition) semasa pilihan raya diadakan. Contohnya seperti manipulasi media, tekanan dan ugutan, rasuah dan sebagainya akan melahirkan suasana yang tidak sempurna semasa pilihan raya dijalankan.

Berdasarkan sejarah Islam memperlihatkan kepada kita betapa pekanya Salahuddin Al-Ayyubi ketika berlakunya Perang Salib dengan Richard The Lion Heart terhadap permainan yang sama rata dalam peperangan. Apabila mendapat tahu yang Richard telah tercedera dalam peperangan, maka Salahuddin menagarahkan bala tenteranya supaya berhenti berperang. Bukan setakat itu sahaja, beliau turut menghantar doktor peribadi ke khemah Richard untuk mengubatinya. Alangkah besarnya jiwa pemimpin Islam yang dipandu wahyu Allah! Apabila Richard telah sembuh dari lukanya maka Salahuddin memberi isyarat kepada tenteranya untuk memulakan peperangan semula. Sekiranya kita analogikan peperangan sebagai pilihan raya, maka kesimpulan yang boleh kita kemukakan ialah Salahuddin amat faham akan makna 'padang permainan yang sama rata'. Dari peristiwa ini jugalah kita juga boleh simpulkan, dari satu segi, bahawa suatu sistem yang tidak demokratik adalah juga merupakan satu sistem yang tidak Islamik.

Penutup

Sekiranya Malaysia merupakan negara Islam yang telah menerima pakai sistem demokrasi, maka pihak pemerintah atau kerajaan haruslah bertanggungjawab memacu sistem politik negara ini mengikut lunas-lunas dan prinsip-prinsip Islam yang sebenar. Sistem demokrasi yang menjunjung konsep ketuanan rakyat harus diletakkan kembali pada tempatnya yang betul agar rakyat bebas memilih pemimpin seterusnya menentukan kerajaan yang mereka mahukan dalam proses pilihan raya yang adil dan telus.

Sunday, April 15, 2012

Perkongsian Ilmu Buku '40 Hadis Palsu Popular'


Dalam suasanan masyarakat yang kian dahagakan ilmu, sebuah buku berkaitan Hadis Palsu telah diluncurkan di tengah-tengah masyarakat bagi mengisi ruang ilmu sebagai panduan & pedoman berguna. Buku yang berjudul '40 Hadis Palsu Popular' ini hasil karya saudara Abdul Razak Mutahalib ini telah memberi sumbangan bermakna dalam karya Islam versi Bahasa Melayu khususnya dalam bidang hadis.

Secara keseluruhan, buku ini baik dan sesuai kepada semua lapisan masyarakat untuk mengambil manfaatnya. Saya akan kongsikan beberapa isi di dalam buku ini sebagai perkongsian semua agar 'menyuntik' semangat anda untuk mendapatkannya di kedai-kedai buku seterusnya mendalami sendiri sebagai pedoman dalam kehidupan.

Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu pengenalan, 40 hadis palsu popular dan rumusan. Apa yang saya ingin kongsikan adalah hadis yang diulas terperinci pada bahagian kedua. Saya akan kongsikan 3 hadis sahaja yang terdapat di dalam buku ini. Ianya sangat sinonim dengan masyarakat pada masa kini.


1) Menuntut Ilmu Sehingga ke China

"Tuntutlah ilmu walau ke negara China"

Ulasan Sarjana Hadis

Hadis ini dikategorikan palsu oleh para sarjana hadis. Antaranya ialah Al-Jarrahi dalam kitabnya "Kash al-Khafa", Ibn Arraq al-Kannani dalam kitabnya "Tanzih al-Syariah" dan Ali al-Qari dalam kitabnya "al-Maudhu'at al-Kabir".

Hadis ini dihukum palsu kerana kecacatan yang terdapat pada sanadnya. Dalam sanad hadis ini, seorang pelapor(periwayat) yang bernama Abu Atikah Tharif bin Sulaiman merupakan seorang yang lemah dan tergolong sebagai salah seorang yang memalsukan hadis.


2) Menuntut Ilmu Daripada Buaian

"Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad"

Ulasan Sarjana Hadis

Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz berkata: "Tidak ada asal usul bagi hadis ini dan ia adalah palsu". Kata-kata beliau dinukilkan oleh Syeikh Said bin Soleh dalam bukunya "Ahadith Mardudah".


3) Meraikan Maulid Nabi

"Siapa yang merayakan hari kelahiranku, maku aku akan menjadi pemberi syafaat (pertolongan) kepadanya pada hari kiamat. Dan siapa yang memberi sedekah satu dirham untuk maulidku, seolah-olah dia sudah memberi sedekah satu gunung emas semata-mata untuk jalan Allah"

Ulasan Sarjana Hadis

Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan Abu Sulaiman ketika dtanya tentang hadis ini, beliau berkata: "Ini merupakan pendustaan kepada Rasulullah yang hanya direka oleh para ahli bidaah".


Akhirnya, besarlah harapan saya agar semua pembaca dapat membeli seterusnya menghayati mutiara ilmu yang terdapat di dalam buku ini. Semoga ia menjadi panduan dan pedoman kita semua dalam kehidupan. Semoga penulis buku ini mendapat ganjaran sebaiknya di sisi Allah s.w.t. Amin!

Tuesday, April 3, 2012

Doa dipermudahkan Urusan


Maksud: "Ya Allah tidak ada kemudahan kecuali sesuatu Yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki"


Setiap perjalanan hidup manusia di muka bumi telah Allah tentukan. Dia lah Tuhan Yang Maha Agung & Maha Adil kepada setiap hambanya. Setiap manusia ada bahagiannya masing-masing. Ada yang yang berada di atas dan ada yang berada di bawah, ada juga dianugerahkan perasaan gembira dan ada juga yang sentiasa berduka.

Setiap ujian yang Allah berikan, perlu ditempuhi dengan sabar untuk membuktikan sejauh mana keimanan seseorang itu sebagai hamba-Nya. Ternyata manusia bersifat lemah! Oleh itu, kita dituntut supaya berdoa agar setiap urusan atau ujian sentiasa dipermudahkan Allah. Amin!!!