Friday, June 25, 2010

JI 'membiak' di IPTA?


Isu ini tiba-tiba sahaja hangat menjadi perhatian media dan seluruh lapisan masyarakat. Namun, sajuah mana kebenarannya?

1. Isu ini muncul apabila Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Dato' Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri mengeluarkan kenyataan Jemaah Islamiah (JI) sedang melebarkan pengaruhnya dan melakukan 'rekruitment' terhadap mahasiswa di IPTA.

2. Jika diteliti sebaik-baiknya, menagapa isu ini timbul di tengah-tengah lautan isu semasa yang membabitkan kerajaan??? Contohnya ialah lesen judi, APCO, perubahan lokasi lapangan terbang TUDM dan banyak lagi.

3. Persoalannya di sini adakah kenyataan yang dibuat disertai dengan bukti yang konkrit dan sahih??? Saya tidak menyokong JI berleluasa di IPTA tetapi mengapa isu ini dibesar-besarkan? Siasat kemudian tangkap sahajalah individu yang terlibat.

4. Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu ini sengaja ditimbulkan oleh kerajaan UMNO-BN untuk mengalih perhatian rakyat terhadap lambakan isu yang berlaku ketika ini.

5. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan tindakan melabelkan Islam sebagai ganas adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

6. Sehingga kini, Naib Canselor dan TNC HEP semua IPTA belum mengeluarkan kenyataan terhadap isu ini.

7. Mahasiswa sudah cukup dibelenggu dengan 'culture of fear' di universiti. Jangan lah kerana kemaruk kuasa, mahasiswa dijadikan kambing hitam. Mahasiswa selaku third force dalam masyarakat akan bertindak sekiranya isu ini tiada keabsahannya.

Sebagai konklusi, kerajaan harus mengemukakan bukti terhadap isu ini dan perlu mengambil tindakan sewajarnya.

Sekadar pandangan...

Wednesday, June 9, 2010

Bola oh Bola...Gol!!!

Bahang kejohanan Piala Dunia FIFA 2010 kian terasa. Seluruh dunia pasti akan tertumpu kepada kejohanan berprestij ini yang lazimnya berlangsung empat tahun sekali. Kejohanan edisi ke-19 ini akan berlangsung pada 11 Jun hingga 11 Julai dan menyaksikan Afrika Selatan dipilih sebagai tuan rumah selepas tanggungjawab itu dipikul oleh Jerman pada tahun 2006.

Sukan popular ini pasti membuatkan adik-adik kecil, remaja dan warga tua sudah tidak sabar lagi menanti tiupan wisel perlawanan pembukaan hari jumaat ini.

Sudah pasti, suasana di rumah sudah ada pertaruhan si adik dan si abang pasukan manakah yang akan menjadi juara tahun ini. Warga tua yang meminati sukan ini pula akan memenuhi warung-warung kopi atau restoran mamak untuk membuka bicara tentang 'world cup' ini.

Televisyen pula sudah diselangi iklan Piala Dunia khususnya RTM1. Laman sosial seperti facebook, friendster dan sebagainya turut meriah dengan iklan dan 'post' si pemilik. Telefon bimbit pula telah dipancing dengan
ringtone sorakan Piala Dunia. Macam-macam kan pasal bola.

Kejohanan kali ini akan menyaksikan 32 pasukan akan beradu kekuatan selepas mengharungi pusingan kelayakan sebelum ini. Pasukan-pasukan pilihan seperti Brazil, Sepanyol, Belanda, Argentina dilihat sebagai prospek untuk dinobat selaku juara. Tidak ketinggalan, pasukan Itali selaku juara bertahan, pasukan benua Afrika seperti Ivory Cost dan Ghana pasti menjadi tumpuan untuk mara lebih jauh.

Selain itu, kelibat bintang-bintang bola sepak dunia turut mewarnai kejohanan kali ini seperti Lionel Messi, Kaka, Christiano Ronaldo, Rooney, Henry, van Persie dan ramai lagi. Suasana ceria itu diselami duka apabila mendapat berita terdapat bintang yang cedera sebelum sepak mula berlangsung seperti Drogba, Ferdinand, Nani dan Robben. Ia sedikit sebanyak akan mengganggu rentak persiapan pasukan masing-masing.



Saya pula lain ceritanya. Seorang kaki bola. Jadi, untuk pengetahuan semua pasukan Brazil tetap dihati untukku memberikan sokongan. Sejak kecil lagi saya meminati pasukan ini walaupun jauh dihati juga cenderung kepada pasukan Sepanyol dan Belanda. Sebab ramai bintang :)

Setiap kali Piala Dunia atau '
big game' pasti ramai yang boleh bangun awal atau sanggup tidak tidur semata-mata untuk tengok bola...Jadi, saya menyeru untuk peringatan kita bersama, marilah kita solat tahajud dua rakaat sebelum tengok bola bagi game yang pukul 2 pagi. Mudah-mudahan ada keberkatan disisi Allah.

Sunday, June 6, 2010

Segera runtuhkan keegoan Israel

Bumi Palestin terus menangis apabila flotila pembebasan Gaza yang membawa bantuan kemanusiaan terus disekat Israel. Terbaru, kapal MV Rachel Corrie yang disertai sekumpulan sukarelawan pro-Palestin telah ditawan secara ‘aman’ oleh armada tentera laut Israel. Sikap angkuh dan biadap rejim Israel ini terbukti kerana mereka sebelum ini telah menawan kapal Mavi Marmara yang mengakibatkan 9 orang sukarelawan terbunuh dan lebih 30 orang lagi cedera.


Rakyat Palestin diibaratkan hidup di penjara terbuka kawalan Israel yang menyaksikan setiap usaha membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza sentiasa gagal. Jalan darat terus disekat, tiada laluan udara dan perairan Gaza terus dipantau rejim zionis.


Serangan rejim Israel baru-baru ini telah membawa masyarakat seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan agama turun ke jalan raya mengecam dan memprotes sekeras-kerasnya tindakan biadap mereka itu.


Situasi getir ini juga mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab mengadakan sidang tergempar. Namun tiada resolusi bertindak yang tegas sehingga sekarang.


Dalam perkembangan lain, pemimpin utama dunia termasuk Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam Israel tersebut kerana telah mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.


Justeru, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) mendesak kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap jenayah yang dilakukan Israel. Usul tergempar di Parlimen harus membawa tindakan mengheret rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menuntut keadilan 9 orang sukarelawan yang telah terbunuh.


MPMN juga mendesak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak lebih agresif dan proaktif terhadap jenayah terbaru yang dilakukan Israel seterusnya meminta sekutu kuat rejim Yahudi itu, Amerika Syarikat tidak membenarkan ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia berterusan rejim Israel terhadap Palestin.


Selain itu, kita berharap kerajaan Mesir terus membuka pintu sempadan Rafah yang memisahkan Gaza dan Mesir bagi memastikan usaha bantuan kemanusiaan daripada seluruh dunia dapat dibawa masuk dengan mudah.


MPMN juga menyeru mahasiswa dan masyarakat seluruh dunia bersatu hati dan berdiri diatas paksi keamanan sejagat untuk terus memberikan tekanan terhadap rejim Israel dan menyatakan pendirian tegas membenci sebarang bentuk kezaliman dan penindasan.


Mohd Fadzil Jamal

Timb. Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

Thursday, June 3, 2010

NAMA-NAMA PEJUANG

Berikut senarai nama rakyat Malaysia yang menyertai Misi Talian Hayat untuk Gaza yang berada di atas kapal Mavi Marmara. Kapal tersebut telah diserang dan ditawan oleh komando Israel awal pagi Isnin lalu. Mereka kini berada di Amman, Jordan dan bersiap sedia untuk dibawa pulang ke Malaysia.
  • Noorazman Mohd Samsuddin, Haluan Palestin
  • Dr Mohd Arbai'e Syawal, Haluan Palestin
  • Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, Haluan Palestin
  • Al-Hami Husain Suhaimi, Haluan Palestin
  • Mohd Nizam Mohd Awang, Haluan Palestin
  • Hasanuddin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
  • Jamuliddin Elias, Yayasan Amal
  • Dr Selamat Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
  • Abdul Halim Mohd Redzuan, Muslim Care
  • Mustafa Mansur, Mapim
  • Ashwad Ismail, wartawan Astro Awani
  • Shamsul Kamal Latif, jurukamera Astro Awani

Tuesday, June 1, 2010

12 rakyat M'sia di kapal yang diserang Israel

Dipetik dari : Malaysiakini

Dua belas rakyat Malaysia disahkan berada di kapal Mavi Marmara - kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel.

Mereka termasuk dua wartawan sebuah televisyen berbayar di Malaysia.

Mereka adalah sebahagian daripada misi 11 anggota yang dinamakan Lifeline4Gaza, yang mengambil bahagian dalam 'Flotila Kebebasan' bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Semenajung Gaza.

Adalah dipercayai Lifeline bukan badan kemanusian tunggal dari Malaysia yang terbabit, kerana ada beberapa kumpulan yang bergerak secara berasingan dengan kapal yang lain.

Jurucakap Lifeline4Gaza, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata sembilan daripada mereka adalah sukarelawan dari enam NGO dari Malaysia.

Mereka termasuk Haluan, Aqsa Syarif, Yayasan Amal, Muslim Care, Palestine Centre of Excellence (Pace) dan Jemaah Islamiah Malaysia (JIM).

Dr Hafidzi berkata dia gagal menghubungi kumpulannya itu apabila serangan bermula dan mereka belum dapat mengenal-pasti identiti ke-12 rakyat Malaysia berkenaan.

Sementara itu, menurut ADUN Meri, Dr Abd Rani Osman ang kini di Instanbul juga mengesahkan penahanan rakyat Malaysia itu.

Dr Abd Rani melalui SMS kepada Malaysiakini juga memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 16 aktivis pro-Palestin dibunuh, manakala puluhan lagi cedera dalam serangan itu.

Kapal Mavi Marmara yang dimiliki Turki itu kini dilaporkan dibawa ke Haifa, manakala semua penumpangnya akan dipenjarakan.

Dua wartawan Astro Awani itu dikenalpasti sebagai Ashwad Ismail dan jurugambar dan Samsul Kamal Abdul Latip. Usaha Malaysiakini menghubungi Ashwad setakat ini tidak berhasil.

Manakala dalam laman Twitter-nya, Ashwad hanya mengemaskinikan statusnya kira-kira 14 jam lalu.

"Mavi Marmara on alert. Semua berada pada tahap tertinggi. Dua pesawat pemantau Drone dipercayai milik Israel kelihatan," coretan terakhirnya sebelum tragedi itu dipetik.

Terdahulu, menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, laporan awal mengesahkan dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

DHPP ditubuh, PAS cipta sejarah


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah membuka lembaran baru dalam landskap politik parti itu setelah berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) baru-baru ini. Ini jelas membuktikan PAS telah berjaya memecah tembok perkauman dalam negara ini apabila ketiga-tiga bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India boleh bersatu di bawah payung Islam.


Peristiwa ini sangat signifikan kepada PAS kerana mereka telah berjaya meniupkan kesucian dakwah Islam di negara ini melalui platform politik. Ini akan menyemarakkan semangat PAS mendekati dan menambat hati masyarakat Islam di negara ini melihat Islam itu indah dalam meniti kehidupan.


Penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS ini telah mengingatkan kita tentang sejarah Rasulullah s.a.w. membina kerajaan Madinah dengan paduan orang Islam dan bukan Islam. Pada ketika itu, kebijaksanaan dan kepimpinan Rasulullah terserlah apabila berjaya menyatukan orang bukan Islam yang majoriti dengan umat Islam yang minoriti. Di sini, ketika melihat bagaimana susuk tubuh dakwah manusia terpuji pilihan Allah telah diterima oleh semua bangsa dan agama kerana penterjemahan nilai-nilai Islam yang adil, telus dan berintegriti dalam pemerintahan baginda.


Harapan menggunung tinggi telah diletakkan di atas bahu PAS ini dalam konteks dakwah Islam di negara ini. Ahli PAS dan umat Islam yang lain diseru mendekati dan menjaga ahli DHPP ini bagai bayi yang baru lahir kerana mereka perlu bimbingan dan tunjuk ajar yang sempurna. DHPP juga telah diiktiraf menjadi salah satu sayap parti PAS dengan keanggotaan ahlinya telah mencecah 20,000 orang dan tidak mustahil PAS sebagai salah satu parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) telah semakin hampir menawan Putrajaya pada PRU-13 nanti.