Monday, April 19, 2010

Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir Sem 2 2009/2010


Selamat Menghadapi Peperiksaan...

Semoga kejayaan milik kita bersama,

Istimewa daripada :

Pimpinan MPMUM PRO-Mahasiswa 09/10

Sunday, April 18, 2010

APCO : Keghairahan kerajaan dan kerisauan rakyat

Pendedahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mac lalu berhubung peranan badan perhubungan komunikasi antarabangsa yang bernama APCO Worldwide dengan kerajaan Malaysia pimpinan Datuk seri Najib Razak telah menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat sekaligus telah mencalarkan imej Malaysia di luar negara.

APCO yang dikaitkan dengan rejim zionis Israel itu dikatakan berperanan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara. Dari sudut pandang positif, usaha ini dapat menarik pelabur asing ke dalam negara tetapi kita mempertikaikan tindakan kerajaan menggunakan sebuah syarikat yang jelas mempunyai kaitan dengan golongan Yahudi yang sememangnya menjadi musuh umat Islam.

Di laporkan usaha kerajaan mengambil khidmat Sayarikat APCO ini telah menelan hampir 20 juta. Untuk rekod, APCO pernah berperanan membaiki imej pemimpin dunia yang amat buruk dari segi penyalahgunaan kuasa, rasuah dan mempunyai rekod buruk dalam hak asasi manusia seperti Sani Abacha (diktator Nigeria).

Kita di peringkat mahasiswa sangat kecewa dengan berita yang menggemparkan ini kerana ia berkait dengan soal prinsip, maruah dan keselamatan negara. Apa tidaknya, Malaysia yang gah diwar-warkan sebuah negara Islam sanggup bekerjasama dengan alat rejim zionis Israel yang nyata mempunyai kebencian terhadap umat Islam dan telah menghenyak serta menyembelih sauadara Islam kita di Palestin. Keselamatan negara juga dalam keadaan membimbangkan kerana dikhuatiri maklumat strategik negara bocor ke tangan rejim zionis Israel ini.

Kita juga mempersoalkan wang rakyat digunakan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan nasib rakyat yang sepatutnya berautoriti mendapat manfaat daripada kerajaan. Ramai di luar sana seperti golongan miskin dan mahasiswa harus dibantu untuk meningkat taraf hidup mereka. Sebagai contoh wang 20 juta itu boleh dirancang untuk diagihkan kepada golongan miskin secara berperingkat. Selain itu, wang tersebut boleh dijadikan biasiswa kepada mahasiswa terpilih untuk membangunkan modal insan yang nyata memberi manfaat kepada negara.

Walaupun kerajaan telah mengumumkan untuk membatalkan perjanjian dengan syarikat APCO ini, Pendana Menteri pimpinan Datuk Seri Najib harus mewakili kerajaan menjelaskan kepada rakyat untuk menjawab segala persoalan berkaitan isu ini dan segera memperbaiki imej Negara yang telah tercalar di luar negara.

Justeru, kita berharap tiada lagi kerjasama di antara Malaysia dengan rejim zionis Israel ini. Usaha yang telah menimbulkan kerisauan dan kebimbangan rakyat negara ini bukan dari segi aspek keselamatan negara sahaja malah membabitkan tadbir urus kerajaan yang tidak berintegriti, telus dan amanah.


Mohd Fadzil Jamal
Timb. Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

Thursday, April 15, 2010

Forum "Penyuburan Demokrasi Malaysia : Apa peranan Mahasiswa"

Pada 14 April 2010 (Rabu) saya berkesempatan menghadiri sebuah forum sempena penubuhan Pusat Demokrasi & Pilihan raya Malaysia (UMCEDEL) yang bertempat di DKF, Fakulti Sastera & Sains Sosial UM. Forum tersebut membahaskan tajuk "Penyuburan Demokrasi Malaysia : Apa peranan Mahasiswa". Dibarisi ahli panel yang cukup mantap iaitu YB Dato' Saifudin Abdullah, YB Salahuddin Ayub, YB Saifudin Nasution dan YB Anthony Loke Siew Fook.

Berikut merupakan buah fikiran setiap ahli panel yang boleh saya kongsikan :-

1) YB Dato' Saifudin Abdullah
- Sistem demokrasi banyak diparaktikkan di negara dunia lain Indonesia, Amerika Syarikat dan lain-lain.
- Politik kampus perlu 'sihat' : Kerusi Menang tanpa bertanding dalam Pilihanraya kampus (PRK) tidak mencerminkan suasana sihat memahami demokrasi kampus di kalangan mahasiswa.
- 3 'basic demand' daripada mahasiswa : suara mahasiswa didengari, peranan mahasiswa sebagai check & balance kepada kerajaan, isu-isu perlu ditangani mengikut selera dan kehendak mahasiswa.
- Peranan mahasiswa sekarang : aktiviti berbentuk bakti/service, bersikap advokasi (boleh mempenagruhi keputusan)
- Pemain politik perlu punyai ciri politik ilmu bukan politik ampu, politik hikmah bukan politik fitnah, politik bakti bukan politik undi.

2) YB Anthony Loke
- Masyarakat terutama golongan mahasiswa perlu mempunyai pemikiran kritikal.
- Golongan mahasiswa harus memperhebat proses pembinaan minda.
- Pasakan 3M (membaca, menulis, mengira) harus ditambah dengan 1M iaitu "memikir". Aspek kemahiran berfikir harus diasah untuk melatih seseorang itu mempunyai daya fikir yang tajam dan hebat.
- Berfikir + Analisis + Kritik
- Ketakutan melampau terhadap AUKU menyebabkan mahasiswa sekarang lesu
- Mahasiswa perlu menjadi suara pendesak yang boleh mempengaruhi keputusan kerajaan.

3) YB Salahuddin Ayub
- Mahasiswa harus diberi kebebasan di kampus seperti hak bersuara, hak menjalankan pelbagai aktiviti dan sebagainya.
- Prinsip integriti dan kebenaran harus dididik di kalangan anggota masyarakat.
- Dasar Pelajaran Negara harus diubah kerana masih bergantung kepaada Penyata Rahman Talib & Penyata Razak yang tidak relevan dengan situasi semasa.
- Dasar Pelajaran Negara harus menekankan aspek spiritual, pembangunan pemikiran yang kritikal.
- Hasil kajian : Terdapat segelintir mahasiswa yang tidak peka dan hampir tidak tahu isu semasa seperti Liberalisasi ekonomi, IFC.

4) YB Saifudin Nasution
- Melontarkan tajuk cabaran debat "MEB : Antara optimisme kerajaan & kecurigaan rakyat"
- Parlimen Mahasiswa : perlu sokong supaya golongan mahasiswa dapat mengasah kepimpinan dan punyai pendirian sendiri terhadap mana-mana isu.
- Keterlibatan mahasiswa dalam pilihan raya merupakan pesta demokrasi yang baik.
- Jangan ugut mahasiswa sekiranya mahu melihat penyuburan demokrasi di Malaysia.
- Politik matang : Parti kerajaan vs Parti oposisi ( rakyat dapat manfaat)

* Kesimpulan : Semua ahli panel bersepakat menyatakan pendirian hak kebebasan bersuara dan demokrasi kampus yang telus harus dikembalikan kepada mahasiswa.

Friday, April 9, 2010

Kalah kalau pilihanraya sekarang? Nizar: PR menang dulu, kini dan selama-lamanya

Oleh Lim Hong Siang

Mantan Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin tetap yakin bahawa rakyat di bumi Perak akan memilih Pakatan Rakyat (PR) sebagai kerajaan negeri seandainya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan pilihan raya diadakan sekarang.

Sambil menolak analisis soal selidik yang dijalankan oleh ILHAM centre, yang menjangkakan PR akan kalah jikalau pilihan raya diadakan sekarang, berdasarkan perhitungan bahawa sokongan Melayu terhadap PR akan menurun pada kadar 7–10 %, Nizar mendakwa rakyat di bumi Perak telah menjadi "buta warna kulit".



"Saya perlu mengaku bahawa saya tidak dapat menyetujui sepenuhnya analisis tersebut," sebelum beliau menyambung, "Kalau itulah analisisnya, maka Zambry (MB BN) adalah orang pertama yang ketawa dan ketawa dan mengadakan pilihan raya sekarang kerana beliau akan menang sekarang juga."

"Tetapi, saudara-saudara, kita cabar dia. Kalau anda (Zambry/BN) rasa anda akan menang dengan apa-apa cara juga, adakan pilihan raya sekarang dan tengok siapa yang akan menang!"

Malah, beliau sempat mengusik parti musuh politiknya, dengan meminjam slogan UMNO, "Kami menyatakan, kalau ada pilihan raya hari ini, besok, semalam dan bila-bila...dulu, kini dan selama-lamanya, kita Insyaallah akan menang!"

Hampir 40% setuju BN sah kerajaan negeri di Perak

Kata-kata bekas MB Perak dalam forum berjudul "Pencabulan Amalan Federalisme: Implikasi kepada Institusi Perundangan di Malaysia" disambut dengan tepukan gemuruh daripada kira-kira 600 orang hadirin. Forum ini dianjurkan oleh Free Public Forum (FPF) bersama ILHAM Centre pada pada 1 April, dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya, bertempat di Auditorium Dewan Sivik MBPJ.

Selain Nizar Jamaluddin yang juga ahli parlimen Bukit Gantang, ahli panelis yang dibariskan termasuklah pakar perlembagaan Professor Abdul Aziz Bari, pakar perundangan Sulaiman Abdullah dan ahli parlimen Subang-PKR Sivarasah Rasiah. Bagaimanapun, dua orang panelis yang dijadualkan sebelum ini, iaitu bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim dan EXCO Kelantan, Husam Musa gagal hadir.

Sebelum forum dimulakan, Pengarah Urusan ILHAM Centre, Mohd Azlan bin Zainal membentangkan laporan soal selidik yang dijalankan oleh ILHAM, berjudul Tinjauan Lapangan terhadap Isu-isu Semasa di Perak. Tinjauan ini dijalankan antara 1 hingga 4 Mac 2010, iaitu selepas panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan bahawa Zambry Abdul Kadir dari UMNO-BN adalah Menteri Besar Perak yang sah. Tinjauan terhadap 1,031 orang responden ini mengambil tempat di kawasan DUN Kuala Sepetang, dengan struktur penduduk mengikut kaum Melayu 59.96%, Cina 31.67%, India 8.34%, dan lain-lain 0.03%.

Menurut Mohd Azlan, tinjauan ini menunjukkan 39.2% responden bersetuju bahawa Kerajaan BN Perak adalah sah di sisi Undang-Undang Tubuh Perak, sementara 31.0% tidak bersetuju, dan 26.8% tidak pasti. Di samping itu, 37.0% responden bersetuju dengan keputusan mahkamah berkaitan dengan pengesahan Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah, namun pandangan ini tidak dipersetujui oleh 30.0% yang lain dan 28% yang tidak pasti.

PR bakal tewas kalau pilihan raya diadakan

Apa yang menarik, tinjauan tersebut menunjukkan pola di mana responden yang semakin lanjut usia dan semakin rendah taraf pendidikannya, didapati lebih cenderung untuk menyetujui bahawa BN dan Zambry adalah kerajaan negeri dan MB yang sah di Perak.

Malah, ketika diajukan soalan "sekiranya pilihan raya diadakan semula seluruh Perak, jangkaan Parti akan menang", hasil tinjauan masih memihak kepada BN dengan peratusan sebanyak 55.3%, berbanding kepada PR 48.5% dan hanya 11.2% menyatakan tidak pasti.

Ketika merumuskan hasil tinjauan tersebut, ILHAM menjangkakan sokongan kaum Cina kepada PR Perak akan kekal di Perak, tetapi sokongan daripada kaum Melayu akan menurun 7–10 %, dan kaum India pula bergantung kepada isu.

Semasa mengulas analisis tersebut, Nizar Jamaluddin berkata, "...tetapi di Perak, analisis itu mungkin tidak berkesan lagi di Perak. Kerana kami tidak lagi membezakan antara kami dengan Melayu, Cina, India...dalam analisis kita. Itu telah berlalu."

"Merdeka Center dan NGO lain boleh menganalisa berdasarkan faktor-faktor tersebut," Nizar bersambung, "Tapi biar saya beritahu anda dari hati saya, ia tidak berlaku begitu di Perak lagi. Untuk satu dan setengah tahun yang lalu, 11 bulan semasa kita memegang tampuk kuasa, Alhamdulillah kami mampu menghakis perasaan perkauman di Perak. Kita adalah buta warna dalam kulit."

"Dasar Apartheid" di Perak?

Biarpun dipertikaikan sama ada hujah di atas berpijak pada bumi, Nizar tetap mempertahankan kenyataan beliau dengan mengambil contoh bagaimana beliau sebagai calon bukan Cina dari PAS berjaya meraih sokongan 85% pengundi Cina di PRK Bukit Gantang, sokongan kemuncak dari komuniti Cina yang belum dicapai oleh pemimpin Cina dari DAP mahupun MCA. Tidak cukup dengan itu, beliau menggambarkan bagaimana buat pertama kalinya pimpinan DAP dan PKR yang bukan Melayu mula membaca al-Quran dalam DUN.

"Tak pernah ada dalam sejarah negeri Perak, bahawa kehormatan kami antara satu kaum dengan kaum yang lain paling tinggi yang pernah dicapai dalam zaman Barisan Nasional," katanya.

Nizar Jamaluddin yang kini menjadi Ketua Pembangkang dalam DUN Perak menjelaskan kepada hadirin mengapa ADUN PR terpaksa keluar dari DUN Perak secara beramai-ramai dalam persidangan mesyuarat DUN Perak, baru-baru ini.

Nizar mendakwa bahawa PR "mahu jadi pembangkang yang cukup-cukup kuat, untuk menjadikan persidangan itu berjalan licin dan lancar", namun berdepan dengan pencabulan hak, apabila pembesar suara ADUN PR ditutup, malah media tidak dibenarkan masuk ke dewan untuk mengikuti persidangan yang mengambil masa hanya lima jam ini, kecuali beberapa media milikan UMNO seperti TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan sebagainya.

Beliau bertanya, "Bolehkah anda bayangkan? Nak masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri Perak, Barisan Nasional masuk pukul 9:30 (pagi), ikut pintu A, pakai lif nombor tiga. Bukan hanya Afrika Selatan ada (dasar)Apartheid, Ipoh ada. Pakatan Rakyat masuk ikut pintu B, pakai lif nombor enam, masuk pukul 9:45 (pagi). Nak masuk macam masuk kapal terbang, ada scanner, ada x-ray,...ada telefon, rampas; ada video cam, rampas..."

Tolak Ketuanan Melayu

Sebelum mengakhiri ucapannya, Nizar Jamaluddin menyeru agar konsep "Ketuanan Melayu" ditolak. Beliau membacakan ayat dari Quran, menterjemahkannya, "Wahai orang-orang yang beriman, kamu hendaklah laksanakan kebenaran sentiasa. Dan kamu mestilah jadi saksi yang adil, dan janganlah sikap kamu benci kepada kaum dan bangsa lain menjadikan kamu tidak adil. Berlaku adilah kau, sesungguhnya ia cukup rapat dengan ketaqwaan dan bertaqwalah kamu sesungguhnya Allah maha mengetahui dalam perkhabarannya berkenaan apa yang kamu lakukan..."

"Kita hari ini sewajarnya membuangkan (konsep) 'Ketuanan Melayu' yang diuar-uar dan diasak oleh UMNO-Barisan Nasional," tegasnya, "I repeat(Saya mengulangi), mengapa kita jadi hari ini, kerana sindrom Ketuanan Melayu tanpa kita sedari menular di hati sanubari kita."

Malah, Nizar mengingatkan bahawa tiada kalimah Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau berkata, "UMNO ingatkan, Malaysia bapak dia punya! Hari ini Pakatan Rakyat, kita menyeru seluruh rakyat, untuk membantu kita dalam perarakan ke Putrajaya. Kita kini dalam perarakan ke Putrajaya, menjujung banner Ketuanan Rakyat!"

Sulaiman: Nizar tetap MB sah

Sementara itu, meskipun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Zambry Abdul Kadir sebagai MB yang sah pada 9 Februari yang lalu, namun dalam hati pengamal undang-undang, Sulaiman Abdullah, Nizar Jamaluddin kekal sebagai MB Perak yang sah.

Penghakiman ini membuatkan beliau "teringat peristiwa yang berlaku berabad-abad dahulu". Sulaiman (gambar kiri) berkata, "...Galileo Galilei, iaitu ahli astronomi dan fizik, yang mengatakan bahawa bumi kita mengelilingi matahari. Tetapi pihak berkuasa berpendapat bahawa matahari yang mengelilingi bumi kita, dan bumi kita tidak bergerak. Jadi, apabila Galileo tidak bersetuju menarik balik pendapat dia, mereka cuba membakarkan dia sehinggalah dia setuju dengan pendapat palsu mereka."

"Tetapi semasa dia dikeluarkan dari api itu, dia berbisik juga, 'tetapi ia(bumi) bergerak', bumi kita yang bergerak," katanya.

Sulaiman menerima tepukan gemuruh dari bawah pentas, apabila dengan nada yang tenang mengatakan, "Jadi, beberapa mahkamah, beberapa pembesar negara, boleh mengatakan bahawa di sisi undang-undang, Dato Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin bukan Menteri Besar Perak. Tetapi dalam hati nurani saya, menurut undang-undang Tuhan, undang-undang manusia yang baik, saya percaya bahawa beliau tetap Menteri Besar Perak yang sah!" ~Detikdaily

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu

Thursday, April 8, 2010

PRK Hulu Selangor : Calon BN daripada MIC

Perdana menteri, Dato' Seri Najib mengesahkan Barisan Nasional akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Najib berkata ini selaras dengan semangat setiakawan dalam BN memandangkan kerusi itu adalah milik MIC sebelum ini. Beliau bagaimanapun tidak mengumumkan siapakah calon dari MIC itu.

Najib yang juga Pengerusi BN meletakkan harapan tinggi untuk merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor ini daripada Pakatan Rakyat (PR).

Sebelum ini, MIC telah mengemukakan timbalan presidennya, Datuk G Palanivel untuk bertanding sekali lagi di Hulu Selangor.

Umno bahagian juga mendesak supaya kerusi itu dikembalikan kepada Umno.

Bagaimanapun, semalam dilaporkan bahawa Umno boleh menerima calon dari MIC tetapi bukan Palanivel.

Aceh digegar gempa 7.2 skala Richter

JAKARTA 7 April - Gempa dengan kekuatan 7.2 skala Richter menggoncang Aceh pagi ini menyebabkan penghuni di kawasan yang pernah dilanda tsunami pada tahun 2004 itu bertempiaran menyelamatkan diri.

Badan Meteorologi dan Geofizik Indonesia sempat mengeluarkan amaran tsunami, tetapi kemudiannya menariknya semula kira-kira dua jam selepas itu.

Belasan orang dilaporkan cedera dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5.15 pagi itu dan berpusat di Sinabang, Pulau Simeuleu dengan kedalaman 34 kilometer.

Pengarah Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Indonesia, Dr. Fauzi berkata, kejadian itu tidak menyebabkan kerosakan yang serius kerana kawasan terbabit mempunyai tanah yang kukuh.

"Keadaan itu berbeza ketika gempa di Padang yang terjadi di kawasan tanahnya lembut," ujar kata beliau dipetik Detikcom di sini hari ini.

Hingga kini belum ada laporan mangsa terkorban di Sinabang dan hanya sejumlah bangunan retak dan tiang elektrik dilaporkan tumbang.

Sehingga petang ini, aktiviti di Banda Aceh kembali seperti biasa, walaupun sebelumnya bekalan elektrik terputus seketika akibat kejadian itu.

Agensi berita Antara melaporkan melaporkan, penduduk yang lari ke kawasan tinggi kerana bimbang kejadian tsunami juga telah pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu Timbalan Gabenor Aceh, Mohammad Nazar berkata, pihaknya akan terus memantau situasi pasca gempa.

Gempa susulan yang dicatatkan juga semakin perlahan iaitu 5.1 dan 5.2 skala Richter.

Sementara itu sejumlah 165 pelajar Malaysia di Aceh dilaporkan selamat dalam kejadian tersebut.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar ketika dihubungi berkata, beliau dimaklumkan oleh pemimpin pelajar di Aceh bahawa mereka semuanya selamat.

Dalam kejadian pada tahun 2004, Aceh antara lokasi yang terburuk dilanda tsunami yang berpunca daripada gempa 9.2 skala Richter yang menyebabkan 230,000 orang terkorban 12 buah negara termasuk Malaysia. - Utusan